Khalid Samad hentam pembodek pemimpin PAS

Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor Khalid Samad menyalahkan kumpulan 'pembodek' pemimpin PAS yang membolehkan calon parti itu bertanding di DUN Kota Damansara sehingga Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Mengemukakan empat kesan "tidak baik" sebagai bukti kesilapan PAS bertanding di situ, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam menegaskan perkara itu perlu diakui oleh semua pihak khususnya pemimpin PAS.

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid (kanan) menggariskan empat akibat tindakan ahli PAS itu, antaranya hubungan PKR dan PAS menjadi tegang, hubungan sesama ahli parti terjejas dan komitmen PAS dalam Pakatan dipersoal masyarakat.

"Ringkaskan cerita, saya di sini ingin isytiharkan, sekiranya tiada siapa yang lain sanggup memberitahu pimpinan bahawa mereka tersilap, biarlah saya seorang menyatakannya! Dahulu semasa menyanggah Hassan Ali pun saya seorang diri, maka biarlah kali ini juga saya seorang diri.

"Yang lain boleh terus menyatakan ‘sayang’ mereka terhadap pimpinan dan terus ‘membodek’ mereka. Sedangkan sayang pimpinan bukan isunya di sini.

"Dan sekiranya benar sayang sekalipun, betulkan mereka apabila mereka tersilap bukan terus membodek mereka. Itu sayang yang sebenar... Saya tidak sanggup khianat," tegas Khalid dalam blognya itu.

Beliau mengulas banyak tulisan dalam internet membincangkan isu tindakan PAS bertanding di Kota Damansara dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya umum itu penyandang kerusi itu Dr Nasir Hashim (kiri) kecundang dalam pertembungan enam penjuru selepas hanya memperolehi 14,860 undi.

Pengerusi PSM itu yang bertanding atas tiket PKR berdepan calon PAS Ridzuan Ismail, calon BN Halimaton Saadiah dan tiga calon Bebas. Ridzuan mendapat 7,312 undi, manakala Halimaton mendapat 16,387 undi.

Jumlah undi yang diperolehi Dr Nasir (14,860) dan Ridzuan (7,312) jika dicampur, akan berjumlah 22,172 undi, yang jelas jauh dapat mengatasi undi calon yang memperolehi 16,387 undi.

Menyifatkan tindakan PAS bertanding di DUN itu sebagai "tidak berbaloi", Khalid menegaskan sekiranya tindakan sebaliknya diambil pada masa tersebut, semua kesan buruk tersebut dapat dielakkan.

"Lainlah kalau memang terbuku di hati ingin Umno menang, supaya hubungan PAS/PKR tegang, PAS/PAS bergaduh dan masyarakat sangsi akan komitmen PAS terhadap PR!... Oleh itu dari sudut strategi ianya perlu diakui sebagai satu kesilapan dan ditolak," katanya.

Walaupun seorang pemimpin mendapat kebaikan sekalipun dengan ijtihad silap yang dilakukannya, Khalid berkata ia tidak bererti perkara itu "perlu dipertahankan setelah kesilapannya jelas kelihatan".

"Mempertahankan ijtihad yang salah, setelah sudah jelas kesilapannya adalah kerja-kerja membodek pemimpin yang dikutuk Allah!

Khalid mengakhiri tulisannya dengan memetik pesanan Khalifah Abu Bakar (RA) yang bermaksud: "Cakap benar adalah amanah dan berdusta adalah khianat!".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan