Mengapa Azmin dan Dr Rani Tidak Ada Dalam Senarai Exco?

Mohd Sayuti Omar
Hari ini setelah lebih dua minggu pilihan raya berlalu kerajaan Selangor terbentuk dengan rasminya apabila 10 orang Exconya telah selamat mengangkat sumpah. Mungkin semua orang lega terutamanya Khalid Ibrahim yang mengangkat sumpah lebih awal sebagai MB, tetapi masih belum memanggil mesyuarat Exco kerana 'kelewatan' pembentukan barisan majlis mesyuarat Kerajaan Selangor.

Namun pun begitu, ada sesuatu yang boleh dipertikaikan disebalik pembentukan kerajaan Selangor itu. Mungkin orang akan bertanya, (atau tidak mahu bertanya), mengenai kedudukan Mohamed Azmin Ali dan Dr Rani Osman, mengapa mereka tidak termasuk dalam senarai Exco? Apakah nama mereka tidak disenarai oleh parti atau mengapa?

Tidak mungkin parti PKR dan PAS tidak menyenaraikan nama mereka. Mereka berdua adalah Pengerusi Perhubungan parti masing-masing di Selangor. Dr Rani ialah Pesuruhjaya PAS Selangor manakala Azmin ialah Ketua Perhubungan PKR Selangor.

Boleh jadi parti telah menyenaraikan nama mereka, tetapi ada pihak yang tidak mahukan mereka? Siapakah yang tidak mahukan mereka dan apakah sebabnya? Pemerhati politik tentu ingin mengetahuinya. Kita tahu untuk penjawat MB dan Exco ia memerlukan perkenan Sultan. Sekiranya Sultan tidak berkenan maka mereka tidak dapat menjadi MB atau Exco. Di sini menunjukkan Sultan berkuasa sama dalam pembentukan kerajaan sesebuah negeri seperti Selangor itu.

Apabila tiada nama Azmin dan Dr Rani ini menunjukkan sultan tidak merestui mereka?

Timbul persoalan apakah kuasa dan peranan Sultan sejauh itu sekali? Apakah kuasa sultan mengatasi kuasa parti politik dan cara itu tepat dan benar? Maksudnya Sultan boleh menafikan apa-apa cadangan yang dibuat oleh parti? Apa yang berlaku ini menunjukkan begitulah hakikatnya. Ini bermakna sehebat mana kuasa parti, sekuat mana kuasa parti kalau, Sultan tidak memberi perkenan maka seseorang yang ditunjuki parti itu tidak boleh memegang jawatan MB atau Exco. Apakah erti dan makna semua ini?

Kelakuan ini juga boleh menolak kebimbangan tidak berasas sesetegah pihak sebelum ini yang telah menerima dakyah pihak-pihak tertentu. Kononnya sekiranya Pakatan Rakyat menang, negeri ini akan dikuasi oleh orang Cina. Dengan apa yang berlaku ke atas Azmin, Dr Rani dan Husam Musa di Kelantan itu, menjelaskan bahawa kuasa 'penuh' dalam menentukan ketua kerajaan terletak di tangan sultan? Maknanya selagi sultan tidak bertukar menjadi Cina atau India maka selama itulah penguasa atau pentadbiran negara ini orang Melayu.

Kalau begitulah yang menjadi amalan dan peraturan digunapakai elok kalau sebelum menamakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya parti kena mengemukakan calon-calon mereka kepada sultan terlebih dahulu untuk mengetahui akan sultan berkenan atau tidak. Ini penting bagi mengelakkan hal-hal yang sudah berlaku itu terjadi.

Kerana kalau sultan tidak memberi perkenaan, calon-calon yang dibayangkan untuk jadi MB atau Exco oleh parti yang menang tidak akan dapat dilaksanakan kerana mereka yang dicadang itu tidak mendapat perkenan sultan. Ini menjelaskan dalam apa juga perkara perkenaan sultan diperlukan.

Di sini semacam ada pertindihan kuasa dan konflik dalam demokrasi? Sepatutnya mana-mana parti yang menang dengan mendapat majoriti berhak menamakan sesiapa di kalangan anggotanya untuk menjadi MB atau Exco. Kalau hak parti itu sudah tidak dihiraukan lagi, maka elok dipinda undang-undang atau peraturan semua nama-nama calon yang akan bertanding dalam pilihan raya mestilah mendapat perkenaan sultan. Biarlah kedudukan ini jelas bagi mengelakkan kekeliruan dan timbul pertanyaan umum.

Pertindihan atau konflit demokrasi serta situasi begini bukan baru. Ia juga pernah berlaku sebelum ini. Sudah sampai masanya satu mekanisme diambil bagi mengelakkan situasi sebegini yang tidak membantu menyuburkan demokrasi negara ini. Pertindihan ini perlu dilengsaikan dan diselarikan, iya kalau semuanya diserahkan kepada sultan dan raja sebutlah biar terang.
http://msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan