Sayang semuanya sudah terlambat...

SHIRZAD LIFEBOAT
SETELAH dua pilihan raya umum berturut-turut menyaksikan perubahan sokongan tradisional rakyat kepada BN mengucup begitu drastik ke peringkat sesetengah parti utama dalam barisan tersebut menjadi seperti tidak relevan sama sekali , rasanya sudah agak terlambat bagi pemimpin BN, terutama sekali pemimpin Umno untuk merumuskan sebarang kesimpulan bersabit prestasi buruk mereka.
Tak perlu bagi pemimpin Umno menyalahkan Cina kononnya terdapat tsunami kaum tersebut atau menyalahkan orang Melayu yang tidak memberikan undi mereka kepada calon daripada Umno. Ini kerana apapun hasil post-mortem ad hoc mereka atau bedah-siasat terperinci (itupun jika dilakukan), Umno sebagai tonggak kepada BN akan hanya membuat kenyataan di sana sini tetapi tidak akan melakukan sesuatu yang konkrit untuk memperbetulkannya.
Jika prestasi buruk tahun 2008 dianalisis dengan jujur dan pemimpin Umno pula jujur untuk memperbaiki segala kelemahan mereka sejak setidak-tidaknya dari tahun 2004 (selepas pilihan raya umum ke-11), rakyat sudah tentu sedikit sebanyak dengan kerajaan yang dikuasi BN.

Tapi malangnya perkataan ‘reformasi’ sejauh mana melibatkan Umno hanyalah tidak lebih dari sebuah retorik dan gula-gula upahan untuk ahli-ahli dan penyokong Umno yang sudah semakin kehilangan keyakinan kepada parti tersebut.

Kecuali tekanan yang dikenakan ke atas Abdullah Ahmad Badawi untuk meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri, tidak ada apa-apa lagi usaha jelas bagi Umno untuk memperbetulkan keadaan atau memperbaiki kelemahan.

Apabila keadaan yang sama, malah lebih buruk berlaku ke atas BN dan Umno pada PRU13, ramai yang tertanya apa sudah jadi dengan BN (dibaca Umno, MCA dan Gerakan) yang sama sekali gagal memperlihatkan keutuhan sebagai sebuah parti yang diyakini oleh kaum yang diwakili oleh parti masing-masing.

Jawapannya tentulah mudah. Sementara parti dalam Pakatan Rakyat muncul sebagai pejuangan tulen rakyat dan memperjuangkan isu-isu langsung mengenai kesejahteraan rakyat, Umno-BN pula hanya wujud sebagai sebuah parti tanpa arah dan hala tuju jitu. Sebagaimana dilihat umum perjuangan Umno-BN hanyalah perjuangan pemimpin barisan parti berkenaan bagi mengekalkan pegangan ke atas kuasa demi kepentingan diri dan puak.

Inilah antara sebab utama mengapa Umno-BN gagal menangani dan menyelesaikan isu demi isu bersabit dengan rakyat. Bermula daripada kegagalan Pak Lah setelah diberikan kepercayaan oleh rakyat dari semua kaum pada PRU12, sehinggalah pelantikan Najib Tun Razak, pemimpin Umno-BN cuma bercakap, bercakap dan bercakap, membuat penafian, membuat penafian dan membuat penafian, serta memberikan alasan demi alasan.

Kalaupun ada usaha baru dan segar yang dilakukan oleh Umno-BN, maka ia dalam bentuk memfitnah, mengadu domba di antara kaum, memperhebatkan politik takut di kalangan orang Melayu menerusi pelbagai media yang dikuasai oleh mereka.

Jika hal ini boleh dianggap sebagai perjuangan, maka itu sahajalah perjuangan Umno-BN yang dapat dilihat. Dan ia sama sekali tidak kena mengena dengan perjuangan rakyat.

Tidak ramai yang masih lupa bagaimana dengan penuh ‘eks’ Najib ketika mengumumkan Kabinet beliau setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Pak Lah berkata kononnya era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir. Namun hari demi hari berlalu sehinggalah tempoh mandat Pak Lah yang ditumpang oleh Najib berakhir, tidak ada tanda-tanda menunjukkan segala apa yang disebut oleh Najib itu tidak lebih dari retorik politik yang begitu 'typical' lahir dari mulut pemimpin Umno-BN.

Hari ini, wajah ‘eks’ Najib hilang sama sekali di malam keputusan PRU13. Tiba-tiba dia tersedar daripada lamunan betapa politik adalah mengenai pentadbiran kebajikan rakyat dan bukan semata-mata tentang projek dan jauh daripada kenyataan demi kenyataan politik yang tidak membawa sebarang erti kepada kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

Tak perlulah Najib atau Maharaja Umno yang telah pencen daripada jawatan Perdana Menteri lama dulu menyalakan kaum Cina kerana tidak memihak kepada BN kerana sebahagian besar daripada pengundi Melayu juga tidak lagi menaruh keyakinan kepada Umno. Tidak yakin kepada Umno bermaksud tidak meyakini BN.

‘Apa lagi yang orang Cina mahu?’ Orang Cina mahukan kerajaan yang adil, telus dan tidak korup. Mereka tidak perlu kepada Perdana Menteri yang memukul gong ketika perayaan Tahun Baru Cina. Dan bagi orang Melayu yang mengundi parti Pakatan Rakyat, mereka mahukan perkara yang sama dan serupa. Bagi mereka, tidak ada gunanya Najib dan pemimpin Umno bercakap hidup Melayu, sedangkan Melayu cuma luarannya sahaja tampak seperti hidup selesa tetapi terpaksa berhutang hanya untuk meneruskan kehidupan seharian.

Rumusan ringkasnya, rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Rakyat menolak pemimpin dan kerajaan yang ‘hipokrat’. Sayang, semuanya sudah terlambat buat Umno dan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan