Sessi soal jawab wacana kecoh, Zairil tenang menjawab

Roketkini
SHAH ALAM, 16 MEI: Gara-gara tidak dapat mengawal emosi dan semangat perkauman yang tinggi, sessi soal jawab Wacana Sinar Harian semalam kecoh seketika.
Presiden Persatuan Wartawan Melayu, Datuk Yazid Othman bingkas bangun pada sessi pertanyaan audien wacana ‘Pasca PRU13: Ke mana haluan politik Melayu’ dan menuduh kononnya tidak wujud kebebasan akhbar di Pulau Pinang kerana wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan sidang media Kerajaan Negeri.

“Di mana kebebasan media di Pulau Pinang, sedangkan akhbar seperti Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan di Pulau Pinang,” soalnya, di samping mendakwa terdapat diskriminasi kaum di Universiti Malaya yang kononnya melebihkan pensyarah berketurunan Cina.

Soalan beliau disambut gelak ketawa berdekah-dekah daripada hadirin yang lantas menyuruhnya duduk sambil menyifatkan soalan itu sebagai dangkal.

Seorang lagi audien turut beremosi ketika bertanya mengenai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sambil meluahkan kebimbangan mengenai penguasaan orang Cina pada masa hadapan.

Beliau berkata, kononnya setelah Lim Guan Eng mengambil alih pentadbiran, Ketua Menteri itu mengumum untuk memansuhkan DEB di Pulau Pinang; yang kemudiannya disambut gelak ketawa hadirin yang menyuruhnya berhenti sambil bertanya, ‘Ini cadangan ke soalan?’

Kedua-dua penyoal terpaksa ditenangkan oleh pihak penganjur.

Keadaan yang tegang seketika kembali seperti sedia kala apabila Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dengan tenang menjawab soalan kedua-duanya.

“Kebebasan media tidak bermakna ada kebebasan untuk memfitnah,” ujarnya menerangkan kenapa Utusan Malaysia tidak dijemput membuat liputan sidang akhbar Kerajaan Negeri terutamanya oleh Ketua Menteri.

“Sudah cukup fitnah yang disiarkan Utusan Malaysia,” katanya sambil memberitahu bahawa akhbar milik UMNO itu terlalu kerap disaman fitnah oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

“Lim Guan Eng saman Utusan, Lim Guan Eng menang. Karpal Singh saman Utusan, Karpal Singh menang, Azan Ismail pun saman Utusan, Azan menang. Malah apabila dibuat rayuan pun Utusan kalah dalam rayuan itu,” katanya, disambut sorak sorai penyokong Pakatan Rakyat yang hadir ke wacana itu, di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

Malah, menurutnya lagi, fitnah pemansuhan DEB seperti yang dibangkitkan penyoal kedua itu pun adalah antara saman terhadap Utusan Malaysia yang dimenangi Guan Eng.

“Saya rasa penyumbang dana terbesar untuk Pakatan Rakyat dalam PRU kali ini ialah Utusan Malaysia,” ujarnya berseloroh. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan