Nasrudin bin Hassan
1. Tiada dikotomi antara ulama', profesional dan aktivis dalam PAS. Ini penegasan saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Malah ini juga konsensus kami seluruh saf kepimpinan Jawatan Kuasa Harian, EXCO dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sebarang usaha memisahkannya adalah kerja jahat musuh luar atau dalam yang mahu merosakkan reputasi PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di negara ini.
2. Ulama' memerlukan Profesional dan Aktivis bagi memacu perjuangan suci ini ke mercu jaya. Sebagaimana Profesional memerlukan Ulama' untuk terus memimpin dan mentarbiyah serta memandu arah bahtera perjuangan ini. Demikian jua Ulama' dan Profesional tidak boleh meminggirkan para Aktivis PAS untuk melaksanakan tugas - tugas besar perjuangan ini agar ia dipikul bersama dan menempa kejayaan dengan gemilang.
3. Kepimpinan Ulama' bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk mewujudkan dikotomi sekaligus memisahkan Trio Kepimpinan PAS yang berlangsung sejak dulu. Sebaliknya Kepimpinan Ulama' adalah konsep sebuah Kepimpinan "Ilmu" dan "pendokongnya yang berilmu" menepati kehendak Islam untuk memimpin perjuangan atau parti ini dengan benar dan pula menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang memisahkan semua unsur baik dan positif bagi memperkukuhkan jamaah.
4. Semua pihak mesti menginsafi keperluan Trio Kepimpinan ini. Ulama', Profesional dan Aktivis mesti saling kukuh mengukuh bukan runtuh meruntuh, saling bina membina bukan saling hina menghina dan saling bentuk membentuk bukan saling kutuk mengutuk. Justeru semua segmen mempunyai kekurangan tersendiri yang mesti diakui sebagaimana semua segmen itu juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mesti dihormati.
5. Apabila kesilapan atau kepincangan berlaku, maka ia adalah mewakili individu tersebut bukan ulama' atau profesional atau aktivis. Jangan rosakkan institusi Ulama', Profesional dan Aktivis yang merupakan institusi penting untuk kekal dan wujud dalam bahtera perjuangan ini. Sebagai contoh, apabila seorang guru melakukan perbuatan mungkar seperti zina maka kita tidak boleh menghukum Guru adalah Penzina sebaliknya individu tersebutlah penzina. Demikian juga dalam hal ini.
6. Kepimpinan Ulama' yang diperjuangkan dan diasaskan sejak 1982 yang lalu dan menjadi Konsep Kepimpinan yang sangat berjaya menjulang PAS sebagai sebuah Gerakan Islam Kontemporary yang disegani dari dalam dan luar negara akan terus dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan gandingan seimbang serta sepadu antara Ulama', Profesional dan Aktivis.
7. PAS adalah sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam agar cara dan gaya hidupnya dapat direalisasikan dalam masyarakat negara kita. Justeru itu, pemimpin dan anggotanya mesti berilmu bagi memastikan dasar dan matlamat perjuangan dapat didokong serta dilaksanakan dengan baik. Berilmu bukan sahaja kewajipan pemimpin dan anggota PAS malah ia adalah kewajipan asas seorang muslim justeru Islam menentang dan memusuhi kejahilan.
8. Mana - mana individu atau pihak yang meletakkan diri mereka bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang didokong oleh PAS, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi matlamat dan dasar perjuangan yang betul. Ulama' kah ia, Profesional kah ia atau Aktivis kah ia , itu bukan persoalannya. Persoalannya sikap individu yang memesong diri dari dasar, matlamat, ilmu, amal, adab dan akhlak perjuangan Islam mesti diluruskan. Sementara kebiadaban dan kedegilan mempertahankan sikap yang salah itu pula mesti ditentang.
9. Islam adalah agama hikmah. Islam adalah agama yang maha luas dan kaya dengan pendekatan yang hebat dan menarik menepati zaman dan tempat. Maka pendokongnya juga mesti berhikmah dan berpandangan luas serta hebat seiring dengan kehebatan Islam dalam melayan karenah zaman, tempat dan seluruh warganya.
10. Kepimpinan Ulama' adalah antara hikmah yang dipamerkan oleh PAS yang menggandingkan semua segmen [Ulama', Profesional dan Aktivis secara seimbang dan sepadu]. Gandingan ini pula melahirkan sebuah kehebatan bagi meletakkan PAS mampu bersaing dipentas politik moden pada hari ini. Lantaran itu, usah tolak Kepimpinan Ulama' sebaliknya tolak individu atau mereka yang merosakkan jamaah, mereka yang membocorkan rahsia jamaah, mereka yang menikam jamaah dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam jamaah, mereka yang melaga - lagakan pemimpin dan 1001 salah laku yang mesti diaudit dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuktamadkan tindakan .
Ringkas Pengalaman Saya
a] Zaman Datuk Mahfuz Omar menjadi Ketua DPPP dan Sdr Yb Salahudin Ayub menjadi Timbalan Ketua DPPP, pada waktu itu saya adalah EXCO DPPP dan saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa rebah dan tegak.
b] Zaman Yb Salahudin Ayub menjadi Ketua DPPP sementara Ust Idris Ahmad menjadi Timbalan Ketua DPPP bergandingan dengan Sdr Mazlan Aliman sebagai naib Ketua DPPP dan kemudiannya saya menjadi Timbalan Ketua DPPP. Saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa jatuh dan bangun.
c] Dua penggal kepimpinan Datuk Mahfuz dan tiga penggal kepimpinan Yb Salahudin Ayub [10 tahun] saya bekerja di bawah mereka dan saya selesa bersama mereka tanpa mencetuskan polemik kepimpinan ulamak.
d] Kini saya dengan segala kelemahan diri ditakdir dan dipilih oleh jamaah untuk memimpin DPPM, Ust Azman Syafawi dan Ust Nik Mohd Abduh bergandingan dengan Sdr Sabki Yusuf dan Dr Raja Iskandar masing - masing sebagai Timbalan dan Naib Ketua DPPM selama dua penggal saya menerajui DPPM, saya harap polemik kepimpinan Ulama' tidak dicetuskan. Justeru ia adalah gandingan mantap yang dipertahankan sejak dulu.
Salam dari bumi Multazam
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan