Jenayah: Kenapa tak pohon pada Ilahi?

Zainal Abidin Nor
Kalau kita boleh menunaikan solat sunat ‘istisqa’ berjemaah untuk memohon kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi mengatasi masalah jerebu yang melanda di negara ini kenapa kita tidak mahu memohon pertolongan Allah SWT dalam soal membenteras kes jenayah.

Hasil dari solat ‘istisqa’ yang disertai 500 jemaah di Masjid Negara dan beberapa masjid lagi di tempat-tempat lain pada 25 Jun lalu ekoran masalah jerebu, dengan izin Allah hujan turun di sebelah petang hari tersebut.

Di beberapa tempat di Lembah Klang, hujan turun dengan lebat seperti di Puchong dan Kepong dan di beberapa tempat yang lain, hujan turun renyai-renyai hingga ke larut malam. Ada segolongan umat Islam menyifatkannya sebagai hujan rahmat.

Ada pula pihak yang mendakwa turunnya hujan adalah kerana akibat perbuatan manusia yang membuat ‘cloud seeding’ dan tidak kurang juga yang mempercayai bahawa jika Allah berkehendaki apa-apa pun berlaku. Tidak perlu kepada ‘cloud seeding’. Namun kita tidak menolak perlunya ada usaha dan ikhtiar.

Tetapi dalam kes jenayah yang semakin serius dan menjadi-jadi di negara kita dewasa ini, kita tidak pula menganjurkan solat sunat berjemaah dan menadahkan tangan memohon kepada Allah. Kenapa kita tidak memohon kepada Allah supaya pelbagai kes jenayah dapat dibendung atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.

Kes jenayah seperti rompak, samun, curi, ragut, bunuh, dera, pecah rumah, rogol, terbukti semakin meningkat apabila baru-baru ini pihak polis mencadangkan supaya restoran-restoran yang beroperasi 24 jam memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengupah pengawal keselamatan bagi menjaga premis mereka.

“Polis tidak boleh berkawal di sesuatu tempat itu dalam tempoh yang lama, banyak lagi tugasan penting yang perlu dilaksanakan selain hanya memantau atau memfokus kepada lokasi yang sama, kata Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof.

Hakikatnya polis tidak mampu lagi untuk membendung aktiviti perompak, penjenayah, perogol, pemeras ugut dan lain-lain kegiatan jenayah; kadang-kadang berlaku dengan begitu kejam dan sadis sekali terhadap mangsa.

Kita tidak perlu memberi perhatian kepada statistik kerana ada setengah pihak mendakwa kadar jenayah semakin berkurangan. Statistik tidak memberi apa-apa makna sekiranya penduduk di sesuatu kawasan itu tidak merasa selamat, sama ada berada di dalam rumah sendiri ataupun di luar rumah.

Keluhan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Datin Paduka Alinah Ahmad menceritakan segala-galanya apabila beliau berkata, pihak majlis menggalakkan keluarga menghabiskan masa kualiti mereka di luar rumah tetapi mereka hidup dalam kebimbangan dan ketakutan.

Harga diri

“Kes seperti anggota keluarga dirompak, beg tangan dirampas, ugutan di luar stesen LRT sering dilaporkan melalui sosial media. Polis membuat rondaan dan kurang berjalan kaki. Kawasan komersial dan perumahan memerlukan lebih banyak kehadiran anggota polis terutama di kedai dan gerai makan termasuk di perhentian bas,” katanya.

Kini MBPJ memohon kepada kerajaan Pusat untuk mengupah pasukan polis bantuan khas (auxillary police) untuk mengawal kegiatan jenayah di sekitar Petaling Jaya.

Sebelum itu, pihak pemaju perumahan telah mendapat kelulusan untuk mengupah pengawal keselamatan untuk memantau aspek keselamatan di kawasan projek hartanah mereka. Begitu juga dengan para penduduk di kawasan-kawasan perumahan yang mendapatkan khidmat keselamatan dari syarikat-syarikat keselamatan untuk mengawal kawasan perumahan mereka.

Namun realiti yang kita hadapi dan tidak mahu diakui oleh banyak pihak ialah anggota masyarakat di negara ini sudah rosak dari segi moral dan akhlak serta keperibadiannya, hilang maruah dan harga diri, tidak bertamadun dan ‘barbarian’.

Bagaimana kita hendak mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 jika sekiranya anggota masyarakat sudah rosak dari segi akhlak dan moral serta rakyatnya tidak boleh dijamin keselamatan mereka dan sentiasa hidup dalam ketakutan.

Maka sebab itu kita perlu kembali kepada Allah SWT, kembali kepada undang-undang Allah yang tercatat dalam Al-Quran dan hukum hudud. Setengah orang apabila disebut hudud maka dia menjadi ‘alergic’ dan menyifatkannya sebagai undang-undang lapok dan tidak bertamadun.

Tetapi bukankah Allah SWT yang mencipta manusia maka hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana hendak menyelesaikan kemelut dan permasalahan yang dihadapi manusia, makhluk ciptaanNya.

Kitab Al-Quran itu boleh disifatkan seperti ‘operation manual’ bagi manusia sebagaimana ‘operation manual’ diperlukan sebagai panduan untuk membuka dan memperbaiki alat-alat elektronik seperti televisyen, komputer, handphone dan seumpamanya.

Tanpa buku panduan atau “operation manual” kita tidak mungkin dapat membuka dan menutup (switch on-off) televisyen dan apabila ia rosak, kita tidak dapat memperbaikinya.

Makanya apabila kita menghadapi masalah jerebu sehingga diisytiharkan darurat bagi setengah-setengah tempat kita menunaikan solat sunat ‘istisqa’ maka kenapa kita tidak mampu menganjurkan solat hajat dan doa munajat kepada Allah SWT boleh menolak bala dan mala petaka berupa kegiatan jenayah yang berleluasa.

Kalau kita tidak mampu mengambil Islam sebagai satu cara hidup atau tidak mampu melaksanakan undang-undang Allah setakat ini, sekurang-kurangnya kita harus menganjurkan solat sunat hajat berjemaah dan diselit dengan doa ‘qunut nazilah’ dalam setiap solat fardhu kita.

Insya’Allah, akan turun keberkatan dari langit dan semoga kadar jenayah yang sungguh menakutkan dan membimbangkan itu sekurang-kurangnya dapat dikurangkan dan orang ramai dapat menikmati kehidupan yang aman dan selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan