Menyekutukan Allah atau syirik

Zainal Abidin Nor 
Bersempena dengan bulan Syaaban yang mulia ini, di mana Rasulullah saw menganggap bulan ini adalah bulan baginda, elok kita renungi satu perbuatan dosa yang besar yang tidak diampun oleh Allah iaitu perbuatan menyekutukanNya atau syirik.

Syirik bererti menganggap seseorang atau benda lain atau sesuatu konsep sebagai wujud yang ketara atau lebih tinggi daripada Allah. Anggapan seperti ini boleh menjelma dalam pemikiran dari segi penilaian, rasa lebih menyukai sesuatu melebihi apa yang datangnya daripada Allah dan disertai dengan perbuatan-perbuatan yang mendukungnya.

Hal seperti inilah yang disebut sebagai “menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain”. Dengan kata lain, menganggap bahawa seseorang atau benda lain memiliki sifat-sifat Allah, sama artinya dengan menyekutukan Allah.

Allah menyebut dalam Al-Quran bahawa dosa syirik tidak akan diampuni, seperti tertera dalam ayat 48, Surah An-Nisa’ yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni (dosa) kerana mempersekutukanNya (syirik) dan Dia mengampuni apa (dosa) yang selain (syirik) itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah membuat dosa yang besar.”

Salah satu bentuk perbuatan syirik adalah “memuja berhala”. Menurut adat, kata “memuja berhala” bererti menyembah benda atau wujud tertentu. Namun sebenarnya, maknanya lebih luas dan tidak terbatas pada pengertian tersebut.

Pada setiap masa, senantiasa ada orang yang menyekutukan Allah, mengambil tuhan lain dan menyembah pujaannya atau patung-patung.

Memberhalakan sesuatu tidak selalu bererti bahawa pemujanya mengatakan “ini tuhan yang saya sembah”. Tidak juga bererti bahawa ia mesti bersujud di hadapannya. Menyembah berhala dapat bererti rasa suka seseorang terhadap sesuatu melebihi rasa sukanya kepada Allah.

Allah menyatakan bahawa sesuatu yang disekutukan dengan Allah tidak akan dapat menolong orang yang menyekutukannya, seperti firman Allah dalam ayat 16 Surah Ankabut yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya, “Sembahlah Allah dan bertakwalah kepadaNya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Allah melarang keras perbuatan menyekutukanNya dan seseorang itu mesti meninggalkan perbuatan syirik walaupun dipaksa oleh kedua-dua ibu bapa kita seperti kisah Luqman yang memberi nasihat kepada anaknya. Allah berfirman dalam ayat 3-5 dalam Surah Luqman yang bermaksud:

Nasihat Luqman
“Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar satu kezaliman yang besar.

“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusuinya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kamu akan kembali.

“Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu maka janganlah engkau menaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepadaKu tempat kembalimu maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Seperti mana yang telah disebut di atas, menyukai sesuatu lebih dari mencintai sesuatu yang datangnya daripada Allah adalah satu bentuk syirik dan menyekutukan Allah.

Syirik bukan sahaja menyembah berhala atau sesuatu yang berlembaga tetapi perbuatan syirik juga bererti menyokong, membantu seseorang atau pemimpin dan penguasa atas sesuatu urusan atau pekerjaan dalam konteks menggunakan kaedah dan undang-undang selain syariat dan hukum Allah.

Perbuatan menyokong ideologi asing atau isme-isme seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme, rasisme dan menganggap sistem-sistem ini lebih baik dari Islam adalah juga satu bentuk syirik.

Ramai orang Islam yang tidak menyedari tentang perkara ini kerana ianya bukan berbentuk fizikal tetapi kefahaman-kefahaman ini terbentuk dalam pemikiran dan sekaligus “berlembaga” dalam pemikiran yang abstrak.

Satu perbuatan umat Islam yang tidak disedari ialah ketika beribadah dan solat di masjid dan surau, mereka menyembah Allah tetapi apabila selesai solat dan keluar dari masjid dan surau mereka “menyembah” selain Allah.

Begitu juga dengan kepercayaan kepada sistem demokrasi yang melampaui batas dan keterlaluan, yang menganggap “kuasa rakyat” adalah segala-galanya, dan mengatasi kekuasaan Allah juga merupakan satu perbuatan menyekutukan Allah dan syirik.

Sistem demokrasi hanya merupakan satu ‘uslub’ atau kaedah atau metodologi untuk meraih sokongan rakyat untuk mendapat kuasa untuk memerintah sesebuah negara agar dapat menarik manusia supaya tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Tidak lebih dari itu, jika kita berhasrat untuk mendapat keridhaan daripadaNya.

Dalam erti kata lain, sistem demokrasi itu sendiri bukan merupakan satu metodologi untuk mendapat kuasa daripada rakyat untuk mencabar dan menentang hukum Allah.Jika itu matlamatnya maka ini merupakan satu kezaliman yang sangat besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan