Penari yang terlibat dalam penganjuran majlis tarian separuh bogel di sebuah pusat beli belah Sabtu lalu.
SEGAMAT: Pas Segamat membantah penganjuran tarian separuh bogel yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di daerah ini, malam Sabtu lalu.
Yang Dipertuanya, Firdaus Masod dalam satu kenyataan semalam melahirkan kekesalan di atas penganjuran majlis tersebut yang sepatutnya tidak dilakukan di Segamat mahupun Malaysia.
“Hari Sabtu lepas, pada jam 8.30 malam, saya menerima laporan sebuah pusat beli belah menjadi penganjur kepada majlis itu yang mana program tersebut memaparkan tarian separuh bogel.
“Difahamkan, penari-penari tersebut dijemput khas dari luar negara dan tarian separuh bogel ini telah disaksikan oleh hampir 500 pengunjung pasar raya terbabit.
“Apa yang dikesali, tarian itu turut ditonton oleh anak-anak kecil kerana penganjurannya adalah pada waktu cuti umum dan hujung minggu,” katanya.
Menurut Firdaus, penganjurannya secara terbuka ternyata menyalahi tatasusila adat dan budaya masyarakat Malaysia kerana dilakukan di tempat terbuka dan kawasan tumpuan umum.
Peniaga-peniaga di pasar raya tersebut mengadu kepadanya berasa kurang selesa dengan penganjuran majlis tersebut selain bunyi lagu yang dipasang terlalu kuat sehingga menyukarkan mereka untuk berkomunikasi dengan pelanggan.
“Peristiwa ini bagi saya secara jelas telah menghina agama Islam dan institusi Islam di negeri Johor ini.
”Tarian separuh bogel ala-ala padang pasir tidak boleh diterima rakyat di negeri ini kerana bertentangan dengan norma-norma masyarakat,” katanya.
Beliau turut mendesak pihak berkaitan segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Kami percaya hanya dengan tindakan tegas sahaja yang akan dapat menghalang perkara seumpama ini daripada berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan