rozmal
Ahad 14 Julai 2013 selepas Maghrib di Astro Oasis saya sempat menonton sekejap rancangan siaran “Salam Muslim”. Amat tersentuh dan tertarik pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Ustaz Mohd Fadli Yusof di pedalaman Sabah. Seolah-olah apa yang berlaku dalam awal dakwah Islam di zaman Rasulullah, para sahabat dan tabiin kembali menjelma. Seorang pendakwah yang sanggup merentas hutan belantara, mengajar di bawah lampu pelita di malam yang gelap.
Kemudian dapat menggerakkan orang kampung yang ramai antara mereka baru memeluk Islam mendirikan masjid dari tulang empat kerat mereka sendiri. Menebang pokok di hutan, dijadikan tiang dan papan. Mengusung kayu dan papan untuk dibuat masjid menyeberang jambatan titi gantung, termasuk yang perempuan memikul kayu atas bahu. Tidak dapat dibayangkan ianya benar-benar berlaku sekarang di Malaysia.
Kalaulah semua pendakwah, semua pejuang agama dan bangsa di Malaysia ini tidak duduk di kerusi empuk, pejabat yang berhawa dingin, kereta yang berjenama, sebaliknya turun ke padang jumpa dengan rakyat, menunjukkan akhlak yang baik, berdakwah dari hati ke hati, pasti ramai rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan terpikat dengan keindahan Islam.
Apalah selama ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak terpikat dengan Islam kerana menyaksikan gelagat umat Islam di Malaysia ini terutamanya orang Melayu yang berlumba-lumba mengumpul harta, membina rumah, berpoya-poya dan sebagainya?
ika ramai antara kita, termasuk saya sendiri dapat mencontohi Ustaz Mohd Fadli Yusof sudah pasti ramai bukan Islam di Malaysia ini terpikat dengan keindahan Islam dengan kerendahan hati dan kemurahan hati umat Islam itu sendiri.
Laman web berkaitan usaha-usaha Ustaz Mohd Fadli Yusof di http://syahadah.dakwah.org antaranya mendirikan Masjid As-Syahadah, Kampung Padang, Sepulut, Sabah.
Facebook beliau di www.facebook.com/mfadli11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan