Kencing manis: Usah mudaratkan organ badan

Disiplin yang lemah oleh pesakit kencing manis untuk mengawal gula dalam darah akan menyebabkan kandungan gula menjadi tinggi. Keadaan ini dipanggil hyperglycaemia. Kandungan gula yang tinggi boleh memudaratkan organ badan dan menimbulkan komplikasi lain yang sangat bahaya.

Bagi pesakit yang disahkan menghidap kencing manis, beberapa jenis ubat diberi, sama ada yang perlu dimakan atau melalui suntikan, untuk mengawal paras gula dalam badan.

Selain itu, mereka dinasihatkan mengawasi gaya hidup iaitu mengubah cara pemakanan serta rajin bersenam. Makanan mengandungi kanji seperti nasi dan pelbagai jenis mi hendaklah dikurangkan, begitu juga penggunaan susu pekat serta gula dalam minuman.

Apabila pesakit kencing manis gagal mengawal nafsu makan dan tidak mematuhi arahan doktor untuk mengambil ubat pada masa ditetapkan, kandungan gula dalam darah akan terus meningkat. Biasanya pesakit mengalami simptom kerap membuang air kecil, terutama pada waktu malam.
Foto
Beza paras gula dalam darah

Mereka kerap dahaga atau nafsu makan meningkat. Penglihatan kabur, berat badan susut, luka lambat sembuh dan cepat letih juga antara simptom gula tinggi dalam badan.

Yang merisaukan ialah, paras gula kekal tinggi akan menyebabkan berlakunya sawan, serangan jantung dan akhirnya koma.

Keadaan ini berlaku disebabkan pengumpulan asid dalam badan meningkat kerana gula tinggi dan paras insulin rendah dan ia dipanggil ketoacidosis.

Awalnya, simptom ketoasidosis ialah loya, muntah, sangat dahaga, peningkatan jumlah air kencing, sakit perut dan nafas menjadi laju serta sesak. Jika dibiarkan, ia menyebabkan pesakit mula menjadi keliru, pitam dan akhirnya koma.

Jika ketoasidosis berlaku, rawatan kecemasan perlu diberikan. Ubat suntikan kencing manis dan cecair intravena perlu diberi untuk menurunkan paras gula dan paras asid dengan segera.

Beberapa ujian darah perlu dijalankan selain pemeriksaan jantung. Ini untuk melihat keadaan organ badan lain sama ada masih berfungsi dengan baik atau tidak, selain mengenal pasti tahap asid dalam badan.

Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad untuk pemerhatian dan ada kala perlu dirawat di pusat jagaan rapi hospital.

Keluarga terdekat atau penjaga pesakit yang menghidap kencing manis dinasihatkan supaya memastikan pesakit berdisiplin untuk mengambil ubat disaran doktor.

Selain itu, paras gula dalam badan boleh dipantau dengan membeli alat khas pemeriksaan paras gula di farmasi. Ini penting untuk mengelak komplikasi jangka masa panjang kencing manis yang boleh merosakkan mata, buah pinggang, jantung, otak dan saraf.

Pemeriksaan berkala dengan doktor dan mengubah gaya hidup iaitu penjagaan pemakanan dan senaman sangat penting, selain pengambilan ubat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan