PRK Kuala Besut: Tiada yang akan menang?

Timmy Say
Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut bakal menawarkan peluang kepada semua yang terlibat untuk menonjolkan hipokrasi masing-masing di depan rakyat jelata.

Sejurus selepas pilihan raya 5 Mei lalu, Pakatan Rakyat (PR) bersama Barisan Nasional (BN) saling bertikam lidah mengenai siapa pemenang sebenarnya.

PR mendapat undi popular di kawasan bandar, BN pula mendapat lebih banyak kerusi di kawasan pedalaman.

Pelbagai teori dilempar tanpa kajian mendalam mengapa terjadi keputusan PRU13 sehingga timbulnya istilah seperti ‘Tsunami Cina’ dan ‘Tsunami Rakyat Malaysia’. Ada juga yang berkata ialah adalah ‘Tsunami Internet Rakyat Bermaklumat.’

Yang paling kasihan ialah nasib yang menimpa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengadil perlawanan 5 Mei yang dilihat gagal dan tidak adil mahupun telus.

Episod dakwat kekal sebenarnya cukup untuk menimbulkan rasa malu dan bersalah. Tapi bagi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, mereka berasa sudah membuat yang terbaik untuk rakyat.

Hujah mereka mudah dan senada dengan BN – sekiranya mereka tidak adil, mengapa Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, PR dibiarkan menang bergaya melebihi dua pertiga majoriti. Manakala negeri-negeri lain yang dikuasai BN mengalami susutan majoriti?

Meskipun dakwat kekal boleh dibasuh, SPR merasakan ia tidak mampu mengubah hakikat bahawa BN menang lebih banyak kerusi di peringkat parlimen.

SPR juga menerima tamparan apabila 60 petisyen pilihanraya difailkan - 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi PR, 39 petisyen itu membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 DUN.

PR menyatakan PRU13 tidak adil dan kemenangan mereka dirompak tatkala SPR mempertahankan diri manakala BN enggan mengaku bahawa mereka kurang popular.

Tiba-tiba, datang peluang di Kuala Besut untuk masing-masing membuktikan hujah.

PRK itu diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Bagi SPR, Kuala Besut adalah peluang untuk menebus maruah diri dengan menonjolkan diri sebagai pengadil yang adil dan saksama.

Akan tetapi, seperti biasa, SPR dengan sikapnya yang suka membakar jambatan untuk memulihkan integritinya, menetapkan hari penamaan calon pada Jumaat dan hari mengundi jatuh pada Rabu - hari bekerja.

Apakah strategi ini menguntungkan PR mahupun BN? Tak pasti.

Yang pasti, ia merugikan SPR dan pengundi di Kuala Besut kerana sudah pasti ada yang tidak berkesempatan untuk balik kampung mengundi. Golongan ini akan menyalahkan SPR.

Ia membuka peluang kepada pihak yang tewas untuk menyalahkan SPR kerana mereka akan mendakwa ramai penyokong tidak sempat mengundi atas alasan yang sama.

Tindakan SPR membantah kiraan undi secara siaran langsung pula dilihat kurang bijak kerana ia peluang baik untuk menjawab tuduhan ramai dalam dakwaan penyelewengan undi di PRU13.

Sebelum PRK bermula, SPR sudahpun menonjolkan hipokrasinya dalam janjinya untuk memulihkan keyakinan awam terhadap mereka.

Baik BN mahupun PR yang menang, SPR akan dipersalahkan lagi. Ironinya, integriti SPR akan jauh lebih meningkat sekiranya PR yang menang.

Bagi BN pula, PRK Kuala Besut kali ini agak cemas. Silap strategi, DUN Terengganu bakal tergantung dengan angka 16-16 dan BN sendiri sebenarnya tidak dapat mengagak apa akan berlaku.

Di PRU13 lalu, A. Rahman memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang dengan majoriti 2,434 undi, satu majoriti yang agak besar.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, ini peluang untuk menunjukkan kekuasaaannya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Idris yakin BN menang dengan majoriti yang lebih besar dan meminta PAS untuk menarik diri untuk mengurangkan 'politiking' di bulan Ramadan.

Idris seorang ahli politik yang bijak – ini terbukti pada 2008 apabila lima negeri jatuh di tangan PR, Terengganu di bawah kepimpinannya terus utuh bersama BN.

Sepenggal di bawah Ahmad Said, Terengganu hampir-hampir terlepas ke tangan PAS dengan memegang kepada majoriti dua kerusi. Kematian Adun Kuala Besut menyebabkan kedudukan sekarang menjadi 16-15.

Keyakinan Idris yang juga Ketua Bahagian Umno di Kuala Besut, barangkali kerana sedar pengundi di Kuala Besut bukan golongan yang terdedah dengan maklumat terkini.

Di samping itu, PR terutamanya PAS kehilangan senjata ceramahnya untuk memberi penerangan kepada pengundi apabila bulan Ramadan dipilih menjadi bulan pertarungan.

Ini memberi kelebihan untuk BN. Namun, tiada apa yang perlu dikejutkan jika BN mengekalkan kedudukannya di Kuala Besut selain menguatkan persepsi umum bahawa BN sekarang hanyalah sebuah parti luar bandar.

Bagi PAS dan PR, PRK Kuala Besut adalah dilema dengan PKR yang tidak menerima keputusan PRU13, DAP yang berpendapat lebih elok diboikot dan PAS yang masuk gelanggang atas konsep demokrasi dan peluang keemasan merampas Terengganu.

Di PRK Kuala Besut, perbezaan pendapat antara tiga parti komponen di PR menyebabkan kemenangan di Kuala Besut membawa lebih banyak kerugian berbanding kekalahan.

Persoalan lebih besar ialah sekiranya menang, apakah PR akan menerima keputusan itu kerana ia diadili SPR yang sama ketuanya di PRU13, yang diserangnya habis-habisan sejak 5 Mei?

Apakah mesej kemenangan yang sampai di tangan rakyat jelata yang bersama mereka menghadiri perhimpunan Blackout 505 selama ini?

PR harus sedar SPR akan menggunakan kemenangannya untuk membersihkan diri. BN pula akan menggunakannya untuk membelasah sikap PR yang hanya membantah keputusan yang tidak menguntungkannya. Apakah PR sudah bersedia untuk serangan ini?

Kehebatan jentera gergasi ini tidak boleh dipandang remeh kerana terbukti di PRU13 bahawa dakwaan orang Cina akan menguasai negara dan masa depan orang Melayu akan tergadai sekiranya PR berkuasa cukup dipercayai oleh para pengundi di kawasan pedalaman.

Pada skala yang lebih besar, kemenangan PR bermaksud titik nokhtah kepada perjuangan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

Sekiranya PAS tewas di Kuala Besut bermaksud tiada apa yang berubah, mereka akan kekal sebagai pembangkang di Terengganu.

Bagi pengundi Kuala Besut pula, apakah tarikan melihat terjadinya 16-16 sidang DUN tergantung pertama kali ini di Malaysia ini cukup besar untuk membuat mereka mengundi PAS-PR?

Jika tidak, tepuk dada tanya sendiri. Dengan kerajaan persekutuan yang dikuasai BN, apakah insentif bagi mereka untuk menukar undi kali ini? Dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, rasanya tiada yang lebih penting daripada nilai ekonomi dan kesejahteraan hidup bagi para pengundi Kuala Besut.

Mungkinkah peluang melihat Ahmad Said digantikan dengan Menteri Besar yang lain turut dijadikan pertimbangan sebelum membuang undi pada 24 Julai nanti?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan