Apa Pula Muslihatnya Nurul Izzah Dijemput Lancarkan Buku Pak Lah?

Shahbudin Husin
Keghairahan orangramai bercakap mengenai buku Pak Lah, Awekening, The Abdullah Badawi Years In Malaysia dijangka bertambah hangat apabila tersebar berita bahawa pelancaran buku itu di Singapura akan dilakukan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada 30 Ogos depan.

Nurul Izzah sendiri hari ini dllaporkan telah mengesahkan persetujuan untuk menerima jemputan bagi melancarkan buku itu.

Di Malaysia pula, buku ini akan dilancarkan oleh Pak Lah sendiri. Pada mulanya majlis pelancarannya dijadualkan akan diadakan seminggu selepas Hari Raya Aidil Fitri tetapi memandangkan kesihatan Pak Lah yang tidak begitu mengizinkan, majlis itu dikatakan telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Pak Lah sebelum ini disahkan mengidap radang pada kakinya dan telah menerima rawatan di IJN. Beliau juga didapati hadir dalam beberapa majlis dengan berkerusi roda. Dipercayai keadaan kakinya yang belum pulih sepenuhnya menjadikan majlis pelancaran itu ditangguhkan.

Dalam bukunya ini, Pak Lah antaranya menjawab beberapa persoalan mengenainya dirinya, terutamanya yang dilemparkan oleh Mahathir selama bertahun-tahun ini, pandangannya mengenai Mahathir yang disifatkannya manusia penuh kontradiksi, mengenai perubahan dalam UMNO, kehilangan majoriti dua pertiga BN dalam pilihanraya 2008, juga mengenai menantunya, KJ yang dipertahankannya sebagai tidak pernah canpurtangan dan mempengaruhinya dalam urusan kerajaan serta berbagai lagi.

Terbitanya buku ini menjelang pemilihan UMNO pada 5 Oktober depan di mana KJ sudah dilantik menganggotai kabinet Najib sebagai Menteri Belia dan Sukan, sementara Mahathir pula masih kekal mahu menunjukkan pengaruhnya dalam UMNO, tentunya akan menimbulkan pelbagai tafsiran mengenai tujuan dan masa buku ini dikeluarkan.

Mahathir pula ketika ditanya wartawan mengenainya komennya mengenai buku Pak Lah ini, mengambil sikap tidak mahu mengulasnya lagi kerana belum membacanya serta ingin mengkaji kanduangannya terlebih dahulu.

Ini merupakan sesuatu yang jarang dilakukan oleh Mahathir. Biasanya beliau tidak melengah-lengahkan untuk memberi ulasan sesuatu perkara yang dikaitkan secara langsung mengenainya.

Tetapi berbeza dengan serangan Pak Lah melalui bukunya ini. Ia seperti membuatkan Mahathir perlu berhati-hati sebelum memberikan sebarang komennya atau barangkali Mahathir dapat merasakan ada sesuatu disebalik terbitnya buku ini.

KJ pula, walaupun dipertahankan oleh Pak Lah, turut keberatan untuk memberi komennya atas alasan juga belum membacanya.

Sementara orangramai merasakan buku ini akan menghangatkan kembali perbalahan antara Mahathir dan Pak Lah yang pernah tercetus sebelum ini, nampaknya ia kini memasuki episod yang lebih menarik apabila Nurul Izzah, anak kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan melancarkan pula buku itu di Singapura.

Biasanya buku mengenai mana-mana individu ternama akan dilancarkan oleh individu itu sendiri atau tokoh lain yang setaraf atau lebih tinggi daripadanya. Barangkali juga ini merupakan kali pertama buku mengenai seorang Perdana Menteri dilancarkan oleh individu daripada parti yang berbeza dengan tokoh tersebut.

Ternampak Nurul Izzah sangat istimewa dalam hal ini?

Sebagaimana Pak Lah yang berbalah dengan Mahathir, Anwar juga turut berbalah dengan Mahathir sejak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 dan ia berterusan sehingga ini. Pak Lah pula, walaupun dipilih untuk menggantikan Mahathir tetapi telah mengambil keputusan membebaskan Anwar dari penjara yang dilihat sebagai antara punca bermulanya kemarahan Mahathir kepada Pak Lah.

Beberapa isu lain yang turut disebut sebagai punca kemarahan Mahathir seperti pembatalan projek landasan berkembar dan Jambatan Bengkok serta pengaruh KJ dalam pentadbiran Pak Lah sebenarnya dilihat oleh banyak pihak hanyalah isu sampingan semata-mata kerana punca utamanya ialah pembebasan Anwar dari penjara kerana Mahathir menjangkakan apabila Anwar terus dipenjarakan, karier politiknya juga akan turut terpenjara untuk selama-lamanya.

Jika dulu Pak Lah membebaskan Anwar dari penjara, kini anak Anwar pula melancarkan buku Pak Lah. Walaupun Anwar dan Pak Lah berada dalam parti yang berbeza, begitu juga dengan Nurul Izzah, kebersamaan mereka ialah mempunyai musuh politik yang sama iaitu Mahathir.

Apakah di majlis pelancaran di Singapura itu nanti, Pak Lah akan turut hadir dan duduk sebelah-menyebelah dengan Nurul Izzah?

Sebagaimana biasanya orang yang melancarkan buku, ia tentunya akan memuji kandungan buku tersebut, apakah kali ini Pak Lah akan menerima pujian yang sama daripada Nurul Izzah atau sengaja ingin menunjukkan kepada dunia bagaimana anak seorang Ketua Pembangkang Malaysia yang juga musuh politik Mahathir akan melontarkan pujian kepadanya pula?

Memandangkan kandungan buku itu turut mengkritik Mahathir, apakah Nurul Izzah juga akan turut mengkritik Mahathir dalam ucapan pelancarannya nanti?

Oleh kerana majlis itu diadakan di Singapura, biasanya liputannya akan tersebar luas seantero dunia dan impaknya kepada Mahathir, Pak Lah serta Anwar tentunya akan menghasilkan kesan yang berganda.

Berbagai persoalan boleh timbul apabila Nurul Izzah disahkan akan melancarkan buku Pak Lah ini. Mungkinkah ia merupakan titik awal percantuman dua entiti sahabat untuk menyerang musuh yang sama?

Sebagaimana Mahathir masih berdiam diri dan enggan memberi ulasan mengenai buku Pak Lah ini, pengesahan bahawa Nurul Izzah pula akan melakukan majlis pelancarannya, ia tentunya akan menyebabkan suhu badan bekas Perdana Menteri paling lama itu turut naik dengan mendadak selepas ini.

Mungkin nanti ulasan Mahathir mengenai buku ini turut berjela-jela jadinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan