Kenapa kerajaan BN beri muka kepada warga Bangladesh?

Tuan Ibrahim Tuan ManSHAH ALAM: Pas menggesa kerajaan untuk meneliti hasrat membawa 1.4 juta warga Bangladesh bagi mengisi peluang pekerjaan di negara ini di samping memikirkan kesan jangka masa panjangnya.
Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemasukan beramai-ramai warga asing hanya memberi saingan kepada rakyat yang masih dibelenggu masalah pengangguran.

Beliau turut mempersoalkan status peluang pekerjaan apabila kerajaan mengumumkan kemasukan warga asing dalam kuantiti yang banyak.

"Pas memandang perkembangan ini dengan serius. Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

"Apakah jaminan kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak diberikan kad pengenalan biru dan dapat mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam daftar SPR?," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Media semalam melaporkan 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat-peringkat ke negara ini menjelang awal tahun depan, bakal mempunyai kad pengenalan khas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

"Warnanya pula akan ditentukan mengikut sektor pekerjaan bagi mengelakkan mereka bertukar-tukar kerja," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berkata kerajaan perlu mengkaji semula daripada pelbagai sudut termasuk kadar jenayah apabila golongan ini di bawa masuk ke Malaysia.

"Kerajaan perlu memastikan masalah pengangguran di dalam negara diselesaikan dahulu. Jangan kerana semata-mata ada industri yang inginkan buruh murah, maka kedaulatan negara digadaikan.

"Bagaimana pula impaknya pada rakyat Malaysia yang dikahwini warga Bangladesh ini? Apakah warga Bangladesh ini akan terus diberi kerakyatan semata-mata mengahwini rakyat tempatan?

"Kerajaan seharusnya mencari penyelesaian bagaimana rakyat sendiri boleh memenuhi ruang pekerjaan ke dalam industri yang memerlukan tenaga buruh rendah dan bukannya dengan mengambil jalan mudah dengan mengambil 1.4 juta warga Bangladesh," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan