Siapa sebenar di belakang ekonomi Malaysia

SHIRZAD LIFEBOAT
EKONOMI kita terus berkembang." “Ekonomi kita berada pada landasan betul.” Demikian di antara contoh jawapan yang akan anda perolehi apabila bercakap dengan pemimpin Umno-BN berkaliber purata mengenai perkembangan dan prestasi.

Pada mulanya anda boleh memberikan diskaun kepada kenyataan positif mengenai ekonomi Malaysia yang diperjelaskan oleh pemimpin Umno-BN-kerajaan kerana hampir kesemua mereka tidak begitu faham atau hampir tidak mengerti mengenai bidang ekonomi makro dan segala mekanismenya.
Namun apabila pemimpin besar parti tersebut dan kerajaan seperti Menteri Kewangan (yang juga Perdana Menteri) serta timbalan menterinya serta penjawat portfolio lain yang kementerian mereka berhubung-kait dengan ekonomi negara turut memberikan jawapan yang sama, anda sama ada mempercayainya bulat-bulat atau meragui apakah ekonomi Malaysia sebenarnya berkembang dan berada pada landasan betul sebagaimana dikatakan.

Begitupun, bagi mereka yang mempercayainya, ia bukanlah tanpa keraguan tersembunyi. Masing-masing secara senyap-senyap mempersoalkan, jika benar bagai dikata (mengenai prestasi ekonomi Malaysia itu), mengapakah sebahagian besar rakyat Malaysia, terutama mereka dalam golongan berpendapatan sederhana dan rendah berhempas pulas untuk mengimbangi pendapatan dengan pelbagai kos asas hidup, dan bagaimana pula semakin ramai rakyat terjebak dengan pelbagai hutang.

Jawapannya semacam berbaring kepada kecenderungan pemimpin Umno-BN-kerajaan mengintepretasikan ekonomi negara sekadar angka-angka menaik dan menurun berkaitan dengan situasi ekonomi secara menyeluruh tanpa sebenarnya mengkaitkan betapa ekonomi negara sebenarnya adalah mengenai ekonomi rakyat.

Dalam lain perkataan, ekonomi Malaysia, selagi mana melibatkan pemimpin berkenaan bukanlah sesuatu yang menepati teori ekonomi ‘trickle-down’ yang mana, menurut definisinya, ‘faedah-faedah ekonomi disediakan oleh kerajaan kepada perniagaan dan golongan berada di mana dalam waktu sama turut memberikan faedah kepada golongan masyarakat kurang berada dengan cara memperbaiki ekonomi mereka secara keseluruhan.”

Sekiranya teori ‘trickle-down’ ini dilaksanakan dalam sistem ekonomi Malaysia, sudah tentu seseorang miskin lambat laun mampu memperbaiki keadaan kehidupannya kerana dia diberikan peluang untuk memperbaiki pendapatannya dan bukan sekadar menerima apa juga jenis pemberian ‘one-off’, baucer BR1M (dan lain-lain R1M) atau mendapat durian gugur (bertentangan dengan ‘durian runtuh’) dari kerajaan menjelang sesuatu pilihan raya.

Maka, sekiranya angka-angka dan data dari, misalnya BNM, serta juga agensi/badan yang membuat kajian tentang ekonomi tidak memanupulasikan sebarang maklumat dalam membentangkan laporan masing-masing, dan pertumbuhan positif ekonomi sekian banyak peratus adalah sebenarnya terdaftar, mengapa pula golongan rakyat Malaysia yang disebutkan itu masih merana dan sentiasa berada dalam kesulitan kewangan?

Satu pendapat mengenai hal ini yang disuarakan oleh sesetengah pihak termasuk pakar ekonomi dan ahli akademik bidang ekonomi (yang tidak terlalu bersifat mengampu kerajaan Umno-BN) ialah betapa ekonomi Malaysia sebenarnya diuruskan lebih berorientasikan golongan kapitalis berbanding dengan golongan rakyat biasa.

Justeru apa sekalipun pertumbuhan yang terdaftar mengenai ekonomi negara seolah-olah dititiskan (trickled-down) hampir secara langsung kepada golongan ini. Bagi golongan rakyat biasa yang sepatutnya juga mendapat faedah atau titisan dari pertumbuhan ini bukan sahaja tidak mendapat apa-apa tetapi secara tidak disedari turut menyumbang kepada pertambahan kekayaan golongan kapitalis tersebut.

Inilah yang dimaksukan oleh George Reisman pakar ekonomi makro dan profesor emeritus bidang berkenaan apabila menghujahkan: “Tidak ada yang menitis (trickle-down) mengenainya. Hanya satu fakta sahaja bahawa pengumpulan modal dan progres ekonomi bergantung kepada tabungan dan inovasi (mengenai tabungan rakyat golongan biasa)… Inilah adalah sebenarnya teori merampas dan merompak…”

Beberapa hari lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia. Unjuran asal 5.6 peratus kini diturunkan kepada 4.8 peratus. Menurut badan tersebut, unjuran pertumbuhan rendah itu adalah disebabkan faktor-faktor luar seperti pemulihan lemah ekonomi global, kemajuan ekonomi China yang perlahan, pertumbuhan sederhana di Asean, kemudahruapan pasaran kewangan dan keadaan kewangan yang ketat.

Pengarah Eksekutifnya Dr Zakariah Abdul Rashid mengeluh, “Entah kenapa enjin pertumbuhan dalam sektor luaran semakin perlahan… Eksport kita turun agak besar..”

Apapun yang jelas dan ketara, angka-angka di atas nampaknya lebih menitik-beratkan golongan kapitalis yang mungkin akan mengaut keuntungan dan faedah ekonomi lebih kecil. Tidak ada penekanan diberikan bagaimana angka ini akan menjejaskan misalnya, indeks pengguna, kadar asas pinjaman, kadar inflasi, pendapatan dan hutang isi rumah, yang mana semuanya berkaitan rapat dan lansung kepada rakyat biasa.

Justeru ini memberikan kita gambaran seolah-olah ekonomi Malaysia sebenarnya diuruskan atas dasar ‘auto-pilot’ yang terus mengudikan golongan tertentu. Ini disahkan oleh hakikat betapa Perdana Menteri dengan segala kesibukan urusann jawatan tersebut serta segala tekanan politik sama ada dari pembangkang mahupun dari kalangan dalaman Umno sendiri, mempunyai terlalu sedikit masa atau tiada masa langsung untuk memberukan fokus kepada ekonomi rakyat.

Sementara jalan mudah bagi beliau ialah pemberian 'one-off', persoalan kini ialah siapakah sebenarnya di belakang ekonomi Malaysia?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan