Air mani gajah

Kisah Misteri
oleh Alang Buana
Ali tidak tahu apa khasiatnya air mani gajah apabila Cikgu Shah menghubunginya untuk mencari pembeli air mani gajah. Ali terus hubungi Sam, kawan berbangsa Cina di Kelang.

“Sam, ada buyer air mani gajah?” soal Ali.

“Ada. Berapa gram?” tanya Sam.

“30 gram. Berapa harga satu gram?” soal Ali.

“RM30,000 satu gram,” jawab Sam.

“Air mani gajah yang macam mana buyer nak?” soal Ali.

“Yang dua alam. Testnya ambil dua batang mancis. Salut kedua-duanya dengan air mani gajah. Satu batang mancis letak di atas air, satu lagi di udara dan gerakkan yang di udara dengan yang di bawah.

“Kalau batang mancis di bawah bergerak mengikut yang di udara, maka inilah yang buyer nak yang dikatakan dua alam,” terang Sam.

Ali mencongak dalam kepalanya 30 gram berharga RM900,000.

“Kita beritahu owner harga RM10,000 satu gram cukuplah. Baki RM20,000 satu gram kita punya,” kata Ali kepada Zaki. Zaki mengangguk senyum mendengar RM600,000 mereka punya. RM600,000 itu akan dibahagi sama rata dengan Ali, Zaki dan Cikgu Shah.

“Barang dari mana Cikgu?” tanya Zaki yang menghubungi Cikgu Shah dengan handphone.

“Dari Kedah. Esok petang kawan saya sampai,” kata Cikgu Shah.

Batu kristal

Menurut lagenda batu kristal Mani Gajah ini bermula di Wilayah Sumatra, Indonesia di mana tinggalnya Suku Anak Dalam (Suku Kubu) yang tinggal di satu wilayah dengan habitat gajah. Legenda bermula kononnya terdapat seekor gajah jantan besar yang menjadi raja kepada kumpulan gajah-gajah yang menghuni habitat gajah tersebut.

Raja Gajah itu dikenali sebagai Gajah Tunggal kerana suka menyendiri kecuali bila Raja Gajah berkehendakkan gajah betina untuk melepaskan berahi yang telah menjadi lumrah alam si jantan akan mencari si betina.

Bila tiba bulan purnama, maka Raja Gajah mencari kawanan gajah-gajah betina di habitat tersebut. Apabila melihat Raja Gajah datang, maka gajah-gajah betina ini membentuk bulatan dan Raja Gajah akan memilih seekor gajah betina untuk disetubuhinya.

Selesai bersetubuh, Raja Gajah akan menimbus sisa-sisa mani yang berciciran di tanah agar tidak kelihatan lagi. Mani gajah yang tertimbus itu akan bertukar menjadi batu kristal yang lembut dan akhirnya menjadi keras dan inilah yang dipanggil Batu Mani Gajah.

Puak Suku Anak Dalam mengintai ketika Raja Gajah sedang memuaskan nafsunya dengan gajah betina. Selepas Raja Gajah dan kawanan gajah betina beredar, maka suku itu berebut-rebutlah menggali kambusan tanah untuk mendapatkan air mani gajah yang telah bertukar menjadi kristal.

“Apa khasiat air mani gajah Cikgu?” soal Zaki yang amat buta tentang air mani gajah.

“Menurut orang Batak air mani gajah mampu mempengaruhi minda orang untuk menurut kata dan kehendak pengguna minyak ini . Ia lebih kuat dari minyak cenuai dan minyak pengasih,” terang Cikgu Shah.

Mati pucuk

“Jadi ia amat mujarab sebagai penunduk, pengerat kasih sayang suami isteri, pelaris perniagaan dan boleh mengubati penyakit mati pucuk,” sambung Cikgu Shah yang bukan pesara guru sekolah.

Sebaliknya dia adalah bekas pensyarah di Institut Penyelidikan Getah (RRI) tetapi beliau dipanggil pelajar-pelajar RRI sebagai Cikgu.

Esoknya, tepat jam 5 petang, Malik dan Sumi sampai di rumah Cikgu Shah di Subang Bestari.

“Biar kita test dahulu sama ada ia dua alam atau tidak,” kata Cikgu Shah.

“Tak payah testlah Cikgu. Kita dah lambat. Janji dengan Sam pukul 6 petang. Jalan ke Kelang jem ini Cikgu,” bantah Ali.

“Saya dah testnya Cikgu. Memang confirm dua alam,” sampuk Sumi tuan punya air mani gajah itu.

Cikgu Shah, Ali dan Zaki terus naik kereta Volvo Malik ke Kelang. Jalan ke Kelang memang jem gila. Tepat jam 7 baru mereka sampai di rumah Sam di Taman Andalas.

Barang mistik

Untuk berurusan dengan Sam, semua seller barang mistik dikenakan membayar RM300. Jika barang itu selepas test okay, Sam akan membayar sekali ganda RM600. Jika barang itu tidak okay, RM300 akan hangus.

Cikgu Shah dan Ali memang tiada duit untuk bayar RM300. Maka Zaki yang sukarela membayar RM300 kepada Sam kerana dia yakin mereka akan dapat RM600,000 hari itu.

“Mana air mani gajah?” tanya Sam yang meletakkan RM300 yang diterimanya dari Zaki di atas meja.

“Ini dia,” kata Sumi yang membuka balutan kainnya.

“Kita timbang dulu,” kata Sam sambil meletakkan air mani gajah itu dia atas alat imbang digital.

“Tak sampai pun tiga gram. Ali kata 30 gram,” kata Sam.

Terlopong Ali. Cikgu Shah pun terkejut kerana mereka diberi maklumat yang salah oleh Malik. Zaki yang lebih bengang kerana pelaburannya sebanyak RM300 hangus.

“Saya dah kata kalau kurang lima gram, buyer tak beli,” tegas Sam.

Dua alam

“Jadi nak test tak sama ada ia dua alam atau tidak?” tanya Sumi.

“Tak payah test pasal tak cukup lima gram,” jawab Sam yang tersenyum kerana duit RM300 di atas mejanya menjadi miliknya.

“Tadi saya nak test dulu di rumah saya, Ali kata tak payah,” marah Cikgu Shah dalam kereta.

“Lain kali Malik jangan dengar cakap orang. Awak tengok dulu dan pastikan ia lima gram ke atas baru datang ke Kuala Lumpur,” sampuk Ali.

“Awak datang dari jauh kan rugi duit minyak dan duit tol,” kata Cikgu Shah kepada Malik dan Sumi.
\
“Saya yang rugi kerana hangus RM300 sedangkan duit tu saya nak bayar sewa bilik bulan ini,” kata Zaki menyesal kerana tidak tengok air mani gajah itu terlebih dahulu sebelum pergi ke rumah Sam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan