Polis, tentera bergaduh dalam karaoke 5 cedera

Jakarta: Tiga lelaki cedera dan dua lagi parah apabila antara anggota tentera dan skuad elit tentera Briged Polis (Brimob) bergaduh di sebuah pusat karaoke di Depok malam kelmarin.

Jurucakap polis, Rikwanto berkata empat anggota tentera menyerang dua pegawai Brimob yang memesan minuman di luar bilik karaoke.

Menurutnya, keadaan itu bertukar menjadi pergaduhan apabila seorang daripada pegawai Brimob terbabit meminta bantuan. “Dua pegawai Brimob parah dan seorang anggota tentera cedera ringan,” katanya.

Menurut Rikwanto, dua lagi pegawai Brimob dikejarkan ke Hospital Polis Bhayangkara di Jakarta Timur, manakala tentera yang cedera dibawa ke Hospital Tentera Gatot Subroto di Jakarta Pusat.

Ekoran kejadian itu, tentera menahan lima anggotanya yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan dan sudah diserahkan kepada polis tentera untuk siasatan lanjut. Sementara itu, komander tentera Jakarta, Erwin Hudawi Lubis berkata, pergaduhan berlaku akibat salah faham antara anggota tentera dan pegawai Brimob yang meminta rokok.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu. “Saya sudah mengarahkan ketua anggota tentera untuk mendisiplinkan mereka, selain mengenakan hukuman setimpal jika mereka didapati bersalah,” katanya. 
-Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan