Kami menganggap Ibrahim Libya sebagai seorang yang syahid - Mohamad Sabu

Ibrahim Libya mati SYAHIDPAS membela Ibrahim Libya yang terbunuh bersama 13 pengikutnya semasa tragedi Memali 1985 sebagai seorang pejuang anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pernah mengunjungi pusara guru agama itu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata parti Islam itu tetap menganggap Ibrahim sebagai seorang yang mati syahid dan pejuang rakyat.

"Itu tafsiran mereka. Kami menganggap Ibrahim sebagai seorang yang syahid malah Sultan Kedah sendiri pernah hadir ke kuburnya untuk merenjiskan air mawar.

"Jika pengganas, sultan tidak pergi. Kami tetap menganggapnya seorang pejuang rakyat dan agama Islam yang menentang kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Akhbar milik MCA, The Star semalam dalam satu artikelnya bertajuk “Major Cases Involving Violant Deviant Groups in Malaysia” menggelar Ibrahim atau nama sebenarnya Ibrahim Mahmud sebagai seorang pengganas.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pihak yang harus dipanggil pengganas adalah pihak menyerang Ibrahim kerana pada waktu itu Ibrahim adalah guru agama dan tidak terlibat dalam aktiviti gerila.

"Apa yang menarik tentang Ibrahim ialah dia tidak terima ISA namun tidak menolak undang-undang lain. Itu janjinya menentang keganasan.

"Kita tahu dia seorang guru agama bukannya gerila melatih orang mengangkat senjata. Maka kita tidak boleh menggelarnya pengganas," katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Yusof Husin yang rapat dengan Ibrahim pada ketika itu menyatakan kekesalan atas dakwaan seumpama itu kerana tragedi Memali merupakan kezaliman Barisan Nasional (BN).

Katanya, dakwaan ke atas Ibrahim tidak timbul kerana bekas Ketua Polis Daerah Baling sendiri pernah menulis dalam bukunya bertajuk "Memali Dalam Kenangan" yang menafikan dakwaan Ibrahim sebagai pengganas.

“Peristiwa Memali adalah kezaliman BN untuk melaksanakan ISA. Kenyataan akhbar tersebut tidak berasas. Ibrahim mahu ditangkap di bawah ISA tetapi apabila tidak berjaya, timbullah peristiwa itu.

"Ibrahim tidak mahu tunduk kepada undang-undang yang tidak memberi pembelaan dan penangkapan tanpa bicara," katanya.

Calon Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat semalam mendesak The Star menarik balik berita yang disiarkan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan Ibrahim khususnya atas laporan yang amat meleset itu.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk memanggil rakyat untuk menyatakan bantahan sekiranya tiada sebarang tindakan menarik balik dan permohonan maaf dibuat oleh akhbar milik MCA itu.

Beliau berkata, sebahagian ahli sejarah dan penganalisis politik menyatakan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa melalui arahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika itu memiliki agenda tersembunyi.

Katanya, status Ibrahim dan beberapa rakannya yang ditembak disahkan sebagai syahid oleh bekas Ahli Majlis Fatwa Kedah, Yahya Junid pada ketika itu.

Pada 19 November 1985, Ibrahim dan 13 pengikutnya terkorban di Kampung Memali di Baling, Kedah dalam satu pertempuran dengan pasukan polis selepas guru agama itu enggan menyerah diri untuk ditahan mengikut ISA.

Kerajaan mendakwa Ibrahim mengamalkan ajaran sesat berbahaya, akan tetapi ia dinafikan oleh pemimpin PAS dan beberapa tokoh agama.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan