Aspan Alias
Dr Mahathir berkata Anwar Ibrahim tidak tahu bersyukur. Katanya bapa kepada bekas Timbalannya itu adalah ahli UMNO, dan Anwar sepatutnya mendapat pendidikan yang tinggi. Itulah diantara yang dikatakan oleh Dr Mahathir di Sungai Limau semalam dan usaha kempen untuk memenangkan calon BN bagi keuntungan politik anaknya. Tetapi kempen untuk memenangkan UMNO dan anaknya sebagai Ketua UMNO Kedah itu tidak lah salah. Takkanlah beliau hendak memalukan anaknya pula.
Tetapi yang sedap sangat kita dengar itu ialah serangannya terhadap Anwar Ibrahim dan menuduh Anwar Ibrahim tidak bersyukur dengan apa yang beliau telah capai itu. Tetapi hakikatnya apa yang dikatakan oleh Mahathir tentang Anwar itu semuanya benar. Di sebaliknya apa yang Anwar katakan terhadap Mahathir selama ini pun benar. Mahathir dan Anwar itu adalah sama sahaja. Kalau tidak, masakan mereka bergaduh seperti tidak ada jalan maaf memaafkan diantaranya.
Mahathir yang memberikan laluan kepada Anwar sehingga Anwar mendapat kedudukan yang tinggi dalam kerajaan semasa dalam UMNO dahulu. Tetapi Mahathir juga mendapat kekuatannya pun melalui sokongan Anwar juga, kerana Anwar ini orang yang pandai mengumpulkan orang untuk memberikan sokongan kepada siapa sahaja yang beliau mahu semasa dalam UMNO dahulu.
Pendeknya Mahathir dan Anwar adalah manusia yang mempunyai ‘attribute’ kepimpinan dan jiwa yang sama sahaja. Anwar telah di jadikan pelapik oleh Dr Mahathir seperti yang beliau lakukan terhadap Timbalan-Timbalan beliau sebelum itu. Mahathir yang mahukan kedudukan PM itu sepanjang hayat beliau semasa itu Anwar lah orang yang paling kuat memberikan dukungan terhadap beliau.
Anwar juga menggunakan pengaruh Dr Mahathir yang begitu autokratik untuk mendapatkan apa yang beliau mahu dengan memberikan sokongan kepada Dr Mahathir dan sentiasa menyelit di celah ketiak Dr Mahathir semasa dalam UMNO dahulu.
Mahathir selanjutnya berkata semasa dalam kerajaan dahulu semuanya baik belaka kepada Anwar. Mahathir juga begitu. Semasa menjadi Perdana Menteri dahulu semuanya bagus bagi beliau termasuk Anwar itu. Tetapi apabila Anwar sudah mula menunjukkan niatnya untuk menentang boss nya itu maka boss nya itu telah mencari semua alasan untuk mengenepikannya (Anwar).
Mahathir menggunakan semua isu kenakalan Anwar sebagai alasan atau mungkin sebab untuk memecat Timbalannya itu dan terjadilah kepada Anwar apa yang kita lihat pada hari ini. Pertelingkahan Mahathir dan Anwar sehingga pemecatan terhadap Timbalannya itu, di sebabkan oleh kuasa, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
Dr Mahathir hendak memerintah lama, sedangkan Anwar tidak menyempat-nyempat untuk mengambil alih. Anwar tidak malu-malu melakukan ‘insubordination’ terhadap boss nya dan mempengaruhi kepimpinan Mahathir yang semasa itu sedang begitu enak dan bersoronok dengan kuasa yang ada di tangan. Mahathir menganggap sesiapa yang hendak melawannya seperti orang mencalit taik ke mukanya.
Malahan mereka berdua tidak mempunyai perasaan sayangkan parti dan rakyat serta negara. Mereka berdua bergaduh dan membawa semua rakyat memihak dan berarak untuk mereka semata-mata kerana terlalu sayangkan kuasa dan yang seorang lagi terlalu ghairah untuk mengambil alih kuasa Perdana Menteri.
Perdana Menteri Malaysia mempunyai kuasa yang besar, lebih besar dari Presiden Amerika Syarikat, kerana seorang PM negara ini boleh memasukkan siapa yang dia mahukan kedalam penjara atau mengeluarkan sesiapa dari penjara. PM di negara ini merupakan hakim kepada semua hakim-hakim mana-mana mahkamah dan hakim-hakim yang tidak di sukainya boleh di humbankannya ketepi seperti yang berlaku kepada lima orang hakim Mahkamah Agung pada tahun 1988 dahulu.
Tuduhan Mahathir yang Anwar menganggap semuanya baik belaka semasa dalam kerajaan dahulu sememangnya benar. Anwar dan Najiblah diantara yang menyokong sekuat-kuatnya tindakan Dr Mahathir memperkosa badan kehakiman dahulu. Anwar telah menyokong semua yang dilakukan oleh Mahathir walau macam mana gila sekali pun tindakan boss nya itu. Najib, Perdana Menteri yang paling lemah yang kita ada dalam sejarah kemerdekaan negara itu pun memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi walaupun di dalam hatinya itu berlainan hakikatnya.
Jika Anwar bersara pada hari ini, elok kita cadangkan beliau duduk serumah dengan Dr Mahathir dan teruskan perkelahian mereka sampai bila-bila. Hanya yang perlu kerajaan berikan kepada mereka ialah kemudahan ‘ambulance’ dan perubatan jika ada yang tercedera diantara mereka berdua yang berkelahi itu. Kalau terjumpa dukun patah kaki dan tangan, boleh juga duduk di sebelah rumah Dr Mahathir dan Anwar itu. Manalah tahu ada pula yang patah kaki pula.
Sementara itu kita di luar ini teruskan pencarian untuk mendapatkan seorang pemimpin yang bersesuaian untuk melakukan perubahan bagi memulakan politik dan siasah baru bagi negara. Masa begitu suntuk dan kita tidak mempunyai waktu yang banyak untuk pembetulan terhadap sistem politik kita ini. Jika tiada apa yang di lakukan terhadap kepimpinan negara hari ini, adalah di khuatirkan yang negara akan punah ranah kerana kepimpinan negara yang tidak tentu hala dan arah tujuan ini.
Sudah berpuluh tahun kita berperang kerana mereka berdua (Mahathir dan Anwar) ini. Yang rosaknya negara, yang berpecah rakyat berbilang kaum dan yang lebih rosak lagi ialah keharmonian kehidupan bangsa-bangsa di negara ini.
Sesungguhnya bukan sahaja Anwar tidak bersyukur, Mahathir sendiri lagi tidak bersyukur pada pandangan ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan