Samseng Kampung Dan Kaki Gedebe Di Kelantan Kini Dalam Ketakutan

inimajalah.com
Angka kematian akibat bunuh-tembak di Kelantan makin bertambah. Mengikut kenyataan polis, selain ada kaitan dengan masalah hutang dan dadah, sebahagian besar kes tembak di Kelantan ada hubungan dengan dendam dan perbalahan masa lalu.

Penulis sempat berbual dengan beberapa rakyat Kelantan. Menurut mereka, sebahagian besar yang mati ditembak memang diketahui ada kaitan dengan samseng kampung dan kaki gedebe.

Samseng kampung dan kaki gedebe adalah merujuk kepada kaki pukul dan kaki tetak yang hanya berani berbalah sesama bangsa dan agama.

Kata mereka, penembak tidak membunuh “orang baik”.

Sesetengah mangsa bunuh-tembak, menurut penduduk, sudah tidak lagi terbabit dengan aktiviti samseng, kaki pukul, kaki tetak dan kaki gedebe. Malah, sesetengahnnya sudah menjadi ‘kaki masjid’.

Namun, menurut rakyat negeri ini yang penulis temui, dendam lama merewang mencari nyawa samseng kampung serta kaki gedebe dan menamatkannya dengan peluru dari muncung pistol.

Kesakitan, malah ada sesetengah mangsa samseng kampung dan kaki gedebe ini dikatakan mengalami kecacatan kekal seperti kudung jari dan sebagainya akibat ditetak atau dipukul pada masa lalu, dipercayai mendorong mereka melepaskan dendam dengan mengupah pembunuh upahan.

Tambahan pula, upah menembak untuk membunuh dengan senjata api kini dikatakan amat murah. Malah, ada mendakwa serendah RM350 untuk satu nyawa. Amat murah untuk satu nyawa manusia. Kadar upah ini hanya cakap-cakap kedai kopi tetapi tidak dapat disahkan.

Keadaan inilah yang menyebabkan samseng kampung dan kaki gedebe di Kelantan yang pernah menetak atau memukul sesiapa, kini dikatakan berada dalam ketakutan dan sentiasa seram sejuk. Individu ini berasa seolah-olah ada sahaja mata sedang mengintai untuk menembak dan membunuh mereka pada bila-bila masa.

Tidak siapa tahu samseng kampung dan kaki gedebe mana yang akan menjadi mangsa bunuh-tembak di Kelantan seterusnya, tetapi kemungkinan trend ini berterusan sentiasa ada.

Polis memang sentiasa berwaspada, tetapi pembunuh upahan biasanya amat licik dan culas juga.

Ketakutan itu bukan sahaja di kalangan samseng kampung dan kaki gedebe, malah ada cakap-cakap mengatakan dalam sesetengah kes, anak mereka, terutama anak lelaki, kini sudah menghilangkan diri sejak si ayah ditembak mati kerana bimbang dendam akan disasarkan kepada anak-anak pula.

Seperti yang pernah diungkap sahabat penulis yang juga rakyat Kelantan:

“Mereka ini (samseng kampung dan kaki gedebe), kalau suruh pergi berperang membela Palestin atau mana-mana orang Islam yang tertindas, mereka akan terkencing dan terberak dalam seluar. Mereka hanya berani tetak dan pukul sesama bangsa dan sesama agama”.

Dan kini, samseng kampung serta kaki gedebe di Kelantan terjebak dalam masalah yang mereka cari sendiri! Muncung pistol mungkin akan dihalakan ke jasad mereka pada bila-bila masa sahaja.

Jika bidiknya tepat sebagaimana kes-kes terdahulu, anak bini samseng kampung dan kaki gedebe ini akan menjadi anak tanpa ayah dan janda.

Walaupun seperti kata sahabat penulis, iaitu “molek juga ditembak sebab demo ni (samseng kampung dan kaki gedebe) suka buat onar dalam masyarakat”, undang-undang tidak patut diletakkan di dalam tangan sendiri.

Biar polis dan undang-undang menanganinya. Mengambil nyawa tidak secara hak adalah ditegah dalam Islam. – inimajalah.com

Bacaan lanjut di inimajalah.com
-tranungkite-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan