Zabidi Saidi
PETALING JAYA: Ramai yang menganggap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi angkuh apabila mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengambil tindakan kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwanya mengamalkan ajaran syiah.
Hari ini Zahid berkata beliau tidak pernah menyebut nama timbalan presiden PAS Mohamad Sabu ketika menggesa agar “orang nombor dua” PAS dikenakan tindakan kerana mengamalkan fahaman Syiah.
“Saya tidak pernah sebut (nama) Mat Sabu, saya sebut ‘nombor dua’,” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media pagi ini berhubung tindakan yang akan dikenakan ke atas Mohamad.
Wartawan seterusnya meminta penjelasan lanjut daripada Ahmad Zahid memandangkan Mohamad Sabu, yang baru dipilih semula sebagai timbalan presiden PAS, dikenali umum sebagai orang nombor dua parti Islam itu.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut dan hanya ketawa.
Beliau juga berkata, pegawainya akan mengadakan satu lagi sidang media untuk mendedahkan bukti berhubung dakwaan bahawa “orang nombor dua” itu berfahaman Syiah.
Dalam pada itu Pas menegaskan dakwaan terhadap Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu adalah serangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah serangan terbuka dan bersifat peribadi.
Menurutnya, Mohamad atau Mat Sabu wajar mengambil tindakan terhadap kementerian tersebut.
“Itu adalah serangan peribadi, Mat Sabu perlu buat sesuatu.
“Kita tak akan masuk campur. Wajar Mat Sabu bertindak dan ambil tindakan terhadap menteri itu,” katanya .
Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau mengamalkan ajaran Syiah.
Mohamad dalam laporan Harakahdaily menafikan dengan keras tuduhan berkenaan dan menyifatkan dakwaan Ahmad Zahid itu sebagai tuduhan berniat jahat.
“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu… Saya Ahli Sunnah Wal Jama’ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah,” katanya lagi.
Ahmad Zahid dalam ucapannya di perhimpunan agung Umno semalam menyebut nama pemimpin PAS itu secara tidak langsung apabila mengaitkan “orang nombor dua” parti itu.
“Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam PAS. PAS ketepikan perbezaan politik. Ini soal akidah dan keselamatan negara. Kita hairan bagaimana PAS memilih pemimpin Syiah untuk menjadi orang nombor dua (Mohamad) dalam PAS.
“Jangan berselindung, Jamil Khir, KDN (Kementerian Dalam Negeri) beri kuasa, ambil tindakan pada pemimpin PAS (itu),” kata naib presiden Umno itu yang mahu tindakan dikenakan ke atas Mohamad Sabu.
Ahmad Zahid juga berkata, kementeriannya memberi kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan ke atas Mohamad Sabu atas dakwaan tersebut.
“Alangkah baiknya PAS mempunyai keberanian dan menyatakan komitmen politiknya untuk menolak pemimpin Syiah yang menjadi salah seorang pemimpin parti itu,” katanya lagi.
Soalnya beranikah Mat Sabu menyaman Menteri Dalam Negeri itu? Sebagai menteri yang jaga polis, sudah tentu cawangan khas (SB) mengikuti perjalanan Mat Sabu.
Sudah tentu Zahid ada bukti yang kukuh berdasarkan laporan SB yang menyebabkan Zahid berani mendedahkan pemimpin PAS yang mengamalkan ajaran Syiah dalam perhimpunan agung Umno.
Sama-samalah kita tunggu tindakan Mat Sabu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan