Hong Leong Bank zalim

Jingga 13 Johor hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau Pengurusan Hong Leong Bank yang bertindak zalim serta melampaui batas kemanusiaan terhadap 45 orang kakitangannya yang mana 27 orang dari mereka telah diberhentikan kerana tidak mahu mematuhi arahan pemindahan fasa 2 penghuban dan pemusatan oleh institusi perbankan berkenaan yang disifatkan sebagai menzalimi kakitangan tersebut.
Pengurusan Hong Leong Bank telah memberikan pelbagai tekanan kakitangannya yang menolak tawaran tersebut agar mereka meletak jawatan secara sukarela. Antara tekanan yang telah diberikan kepada mereka yang menolak arahan pemindahan tersebut termasuklah menafikan kemudahan untuk kakitangannya menunaikan solat.

Tindakan menafikan kemudahan beribadat bagi kakitangannya yang beragama islam adalah satu tindakan biadap dan kurang ajar serta tidak bertanggungjawab dari pihak pengurusan Hong Leong Bank bahkan tindakan Pengurusan Hong Leong Bank ini boleh dianggap mencabar institusi Raja-raja kerana Sultan/Raja adalah Ketua Agama Islam.

Tindakan pengurusan Hong Leong Bank jelas menunjukkan sikap angkuh mereka apatah lagi kegagalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot untuk menyelesaikan kes ini seolah-olah memberi "lampu hijau" kepada pengurusan Hong Leong Bank bertindak sesuka hati mereka sedangkan menteri berkaitan yang mempunyai kuasa untuk campur tangan dibawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk mengambil tindakan atau berkaitan bagi maksud penyelesaian pertikaian seperti dalam kes ini, sekurang-kurangnya dapat membela pekerja bawahan seperti ini yang jelas ditindas dengan rakus oleh majikan.

Isu penindasan Hong Leong Bank terhadap kakitangannya juga telah disuarakan beberapa kali oleh ahli parlimen namun masih tiada lagi tindakan dari mana-mana pihak terutama dari agensi kerajaan. Apakah ada kuasa atau individu yang berpengaruh dibelakang Hong Leong Bank sehinggakan Kementerian Sumber Manusia seolah-olah menikus dalam hal ini?

Jingga 13 Johor akan berbincang dengan NUBE untuk membawa perkara ini ke SUHAKAM sekiranya kementerian terbabit masih gagal memberi jawapan yang positif berhubung isu tersebut.

Campurtangan SUHAKAM perlu kerana tindakan pengurusan Hong Leong Bank telah melanggar hak asasi kemanusiaan. Jingga 13 Johor akan terus bersama NUBE akan terus mendesak kementerian untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini.

Mohamad Nazri Ismail
JINGGA 13 JOHOR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan