SHAHBUDIN HUSIN
Satu-satunya perkara yang menarik dalam ucapan penggulungan Najib di Perhimpunan Agung UMNO petang tadi ialah puji-pujiannya atas jasa dan sumbangan isterinya, Rosmah Mansor kepada negara. Pujian kepada isterinya sendiri yang dilakukan di pentas UMNO ini dengan sendirinya menenggelamkan segala isu lain dan menjadikan perkara-perkara lain tidak lagi menjadi perhatian.
Selain memuji sumbangan dan peranan Permata yang menurut Najib tidak dapat dipertikaikan lagi, beliau juga menceritakan dua jasa dan sumbangan lain yang pernah dilakukan oleh isterinya kepada negara yang tidak pernah diperkatakannya sebelum ini iaitu membebaskan pelajar Malaysia yang ditahan di Mesir yang disangka pengintip dan membantu pelajar yang menuntut di Mesir pulang ke Malaysia melalui Arab Saudi walaupun tanpa visa.
Menurutnya, kerana hubungan isterinya yang baik dengan isteri Hosni Mubarak, Suzanne, pelajar tersebut dapat dibebaskan hanya dalam tempoh dua jam sementara kerana "networking" yang baik juga dengan keluarga diraja Arab Saudi, pelajar Malaysia bukan saja dapat pulang walaupun tanpa visa tetapi juga disediakan dua buah kapalterbang Jumbo dengan percuma.
Dengan puji-pujian yang membuatkan Rosmah kelihatan tersipu-sipu malu di tempat duduk VVIP, Najib bergurau lagi, "agaknya malam ini dapat bayaranlah", lantas membuatkan Rosmah sekali lagi tersipu-sipu.
Najib juga mengakui bahawa beliaulah yang meminta isterinya melakukan kerja itu. Tidak dapat dipastikan kenapakah Najib meminta isterinya melakukan kerja tersebut sedangkan sepatutnya beliau menggunakan saluran rasmi kerajaan iaitu Kementerian Luar Negeri untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Apakah ini menandakan beliau tidak meyakini Anifah Aman untuk melakukan tanggungjawab itu dan lebih mempercayai kemampuan isterinya?
Atau apakah ini mengesahkan lagi tanggapan umum sebagaimana tulisan Kadir Jasin yang berbunyi, "...jadi benarlah seperti didakwa oleh sesetengah pihak bahawa UMNO sudah menjadi parti orang bangsawan, parti 'warlods' dan parti laki-bini."
Tindakan Najib menceritakan tentang jasa dan sumbangan isterinya di pentas Perhimpunan Agung UMNO ini adalah dipercayai untuk menangkis serangan dan kecaman terhadap isterinya itu berikutan penggunakan jet eksekutif yang dibiayai oleh kerajaan untuk lawatan ke Qatar, baru-baru ini.
Ia sekurang-kurangnya untuk meyakinkan perwakilan UMNO bahawa di sebalik pelbagai dakwaan tentang pembaziran, pemborosan dan kehidupan mewah yang dijalani oleh isterinya, beliau juga sebenarnya ada melakukan sumbangan kepada negara yang mungkin tidak diketahui sebelum ini.
Najib sendiri berkata, inilah kali pertama beliau memaklumkan kepada umum tentang jasa dan sumbangan yang pernah dilakukan oleh isterinya itu.
Dan seperti biasa, perwakilan UMNO telah memberikan tepukan gemuruh mengenai sumbangan Rosmah kepada negara sebagaimana yang diceritakan suaminya sendiri itu. Mereka seolah-olah menghargai dan mengkagumi peranan yang telah dimainkannya itu.
Dan dengan tepukan gemuruh itu yang boleh dianggap sebagai "endorsment" terhadap kerja-kerja yang dilakukan oleh Rosmah, sama ada atas permintaan suaminya atau kehendaknya sendiri, isteri Perdana Menteri itu dipercayai akan terus aktif lagi selepas ini, walaupun serentak dengan keaktifannya, mungkin makin banyak pula kecaman dan serangan terhadapnya.
Yang lebih penting lagi, dengan pujian Najib terhadap isterinya dan perwakilan UMNO pula memberikan tepukan gemuruh, ia seolah-olah "lesen besar" untuk isteri Perdana Menteri itu terus menggunakan jet eksekutif kerajaan dan pelbagai kemudahan-kemudahan lainnya selepas ini, bahkan mungkin dengan skala yang lebih besar lagi.
Tahniahlah kepada perwakilan UMNO yang menganugerahkan "lesen besar" itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan