Yang pasti, tindak-tanduk ‘dia’ lebih Islam daripada Umno

Timmy Say
Dia dibenci kerana ceramahnya lantang menyerang Umno. Dalam mata dan mindanya hanya memikirkan bagaimana membebaskan Melayu dan Islam daripada cengrkaman Umno.

Bagi dia, Malaysia sepatutnya bersih daripada rasuah. Bagi dia, Malaysia sepatutnya sudah maju ke depan. Bagi dia, Melayu dan Islam sepatutnya sudah menjadi bangsa terulung. Bagi dia, Malaysia sepatutnya sudah menjadi model bagi negara Islam di dunia.

Tapi tidak. Semua yang diharapkan tidak berlaku. Malah yang sebaliknya berlaku walaupun perlembagaan Malaysia menyatakan agama rasminya ialah Islam.
Bagi dia, inilah yang mencemarkan nama Islam.

Pemerintahan dengan Islam sebagai agama rasmi, tapi negara gagal ungguli carta bebas rasuah malah dikenali kerana masalah rasuah – ini satu penghinaan pada Islam bagi dia.

Pemerintahan oleh majoriti pemimpin yang beragama Islam, tapi keborosan pentadbiran yang diwar-warkan sebagai wasatiyah cukup memualkan – ini juga adalah satu penghinaan pada Islam bagi dia.

Pemerintahan oleh mereka yang mengaku mereka pejuang Islam yang sepatutnya cintakan ilmu tapi prestasi pendidikan negara di peringkat antarabangsa langsung tidak menggambarkan keunggulan Islam dalam mencapai kegemilangan ilmu – itu satu tamparan pada Islam bagi dia.

Pemerintahan oleh majoriti Muslim yang menjadi kaya tapi rata-rata rakyat yang miskin adalah golongan mereka yang beragama Islam, bagi dia – ini bukan sahaja satu penghinaan pada Islam malah satu penipuan pada bangsa Islam oleh pimpinan Islam yang memegang kuasa.

Bagi dia, ini semua salah Umno - seperti kata bekas Menteri Besar Selangor Mat Taib, Umno yang tidak merujuk pada Al-Quran dan Hadis semasa membuat dasar dan keputusan.

Bagi dia, untuk menyelamatkan Malaysia, terutama orang Melayu dan Islam, Umno mesti ditumbangkan.

Oleh itu, di dalam ceramahnya, dia jarang menyentuh mengenai isu agama seperti menjaga solat dan puasa, tapi lebih kepada menyerang Umno dan juga tindak-tanduk seorang Islam dalam hal sosial dan memperjuangkan keadilan.

Contohnya, dia selalu mengetuai perkara yang melibatkan demonstrasi rakyat, kerana baginya, itulah sifat sebenar seorang Islam yang sanggup mati untuk memperjuangkan hak rakyat.

Dia juga selalu muncul di tempat rakyat dalam kesusahan kerana baginya, itulah sifat sebenar seorang Islam yang tidak boleh duduk diam melihat sesiapa sahaja dalam kesusahan.

Apabila melihat rakyat Islam di negara ini tidak bersifat sedemikian, dia merasakan ini semua adalah kesalahan Umno dalam mendidik rakyat dan membasuh minda rakyat, terutama orang Melayu.

Sebab itu, dia lantang menyerang Umno kerana dia percaya Melayu mesti diselamatkan daripada kerja pembodohan Umno supaya tidak lagi ketinggalan oleh kaum lain. Baginya, Melayu mesti dibawa kembali kepada Islam sebenar, dan PAS adalah wadahnya.

Kini ada pemimpin Umno yang berani menuduh di hari yang terang dia ialah seorang pengamal Syiah.

Baguslah. Perkara ini sudah lama terpalit pada dia. Walaupun dia pernah menjelaskannya, tapi dalam politik persepsi pada seseorang itu makan dalam.

Serangan terbaru ini adalah peluang terbaik untuk dia mematikan isu Syiah “once and for all” dengan saman malu terhadap pemimpin Umno yang menuduhnya. Ada hikmah di sebaliknya.

Sebagai seorang bukan Islam, saya kurang mengenali siapa Sunni dan siapa Syiah. Tapi saya mengenali dia sebagai seorang pejuang Islam tulen. Dan daripada pandangan saya, Islam yang dicerminkan melalui tingkah laku dia adalah lebih Islam daripada kebanyakan pemimpin Umno.

Ketika saya masih ada ruang untuk membantu, saya memberikan khidmat terbaik kepadanya kerana merasakan dia layak dibantu.

Menggunakan “dia” di dalam artikel ini adalah satu penghormatan kepada sifat marhaen yang ditunjukkannya.

Sampai di sini, sudah pasti kamu tahu siapa dia. Dia ialah orang nombor dua dalam PAS.

Memandangkan orang yang menuduhnya Syiah hanya menamakan dia sebagai itu, saya turut melakukan perkara yang sama dalam artikel ini. Senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan