Beg ini kosong, mengapa?

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Alkisah beg kerja hitam

Seorang lelaki bangun di tengah padang. Matahari kelihatan terik tapi suasana mendung diselubungi awan hitam. Dia tidak tahu mengapa dia berada di padang. Di padang mana pun tidak dikenalinya.

Tetiba ada seorang pakcik menepuk di belakangnya.

“Dah sampai masa. Dah kena jalan. Dah tak ada masa. Cepat jalan,” jerit pakcik itu sambil menolak belakangnya untuk bergerak.

“Nak pergi mana?” tanya lelaki itu.

“Pergi tempat yang kamu tak pernah pergi,” jawab pakcik itu.

Pakcik itu memberikan satu beg kerja hitam pada lelaki itu.

“Apa dalam ini?” tanya lelaki itu.

“Benda peninggalan milik kamu,” jawab pakcik.

“Benda peninggalan saya? Saya tertinggal di mana? Baju? Duit?” tanya lelaki itu.

“Bukan. Semua ini bukan milik kamu, ia milik bumi,” jawab pakcik itu.

“Apakah itu ingatan saya?” tanya lelaki itu.

“Tidak. Ingatan kamu milik masa,” jawab pakcik itu.

“Apakah di dalamnya kemahiran saya?” tanya lelaki itu lagi.

“Kemahiranmu milik situasi di mana kamu menggunakan kemahiran kamu,” jawab pakcik itu lagi.

“Apakah dalam itu ada kawan dan keluarga saya?” tanya lelaki itu lagi.

“Tidak. Mereka milik laluan hidup kamu,” jawab pakcik itu lagi.

“Apakah dalam itu isteri dan anak saya?” tanya lelaki itu.

“Tidak. Mereka milik hatimu?” jawab pakcik itu lagi.

“Apakah dalam itu jasad saya?” tanya lelaki itu.

“Tidak. Jasadmu milik habuk,” jawab pakcik itu lagi.

“Saya tak faham. Jadi apakah dalam beg hitam ini?” tanya lelaki itu sambil membuka beg tersebut.

Sejurus dibuka, lelaki itu terus menangis.

“Beg ini kosong. Mengapa?” tanya lelaki itu.

“Itulah yang kamu miliki – waktu ini. Waktu ini kamu kena pilih antara bangun atau ikut aku,” jawab pakcik itu.

Tetiba…

“Encik, boleh dengar tak? Encik boleh dengar tak? Siapa nama encik? Tahukah siapa encik?” lelaki itu kedengaran suara seorang perempuan bertanya padanya.

Lelaki itu membuka mata, dalam samar-samar lelaki tersebut terlihat seorang jururawat sedang berkata-kata dengannya.

Setelah sedar, lelaki tersebut baru tahu dia terlibat dengan satu kemalangan yang dahsyat. Nasib baik tiada yang mati, hanya dia koma seketika dan dibawa ke hospital dengan luka di kepala.

Lelaki itu melihat ada beg hitam kerjanya di tepi katil…

Rupanya tadi perbualan dengan pakcik itu hanya dalam mimpinya sewaktunya koma. Dia hampir mati, menurut jururawat yang merawatnya tadi.

Namun perbualan dengan pakcik itu diingatnya sehingga hari ini – bahawa manusia tiada mempunyai apa-apa di duniawi ini. “Itulah yang kamu miliki – waktu ini.”

Lelaki itu membuka beg hitam kerjanya – dalamnya terdapat satu nota kad yang dihadiahkan oleh Ustaz Azizan. Lelaki tidak sempat membacanya lagi.

“Jangan butai nafsu kamu dengan mengejar benda-benda yang kamu tidak boleh bawa ke akhirat. Ayah doakan Allah membuka mindamu untuk kamu memahami apa yang ditulis ayah,” baca nota yang ditulis ustaz kesayangannya yang dipanggilnya ‘Ayah’.

Wahai anakku,
Segalanya hanya sementara. Apabila kamu meninggalkan dunia ini, tiada apa yang boleh dibawa. Oleh itu, jangan terlalu taksub mengejar kebendaan ciptaan manusia.

Belajarlah hidup dengan nikmat bersyukur dengan apa yang ada daripada merungut dengan apa yang tiada. Semestinya yang ada sebenarnya jauh lebih bernilai daripada apa yang tiada.

Senyum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan