Kes perceraian Aneh: Bekas permaisuri Johor mohon batal 'penceraian'

Bekas permaisuri Johor, Tunku Zanariah Tunku Ahmad memohon kepada mahkamah untuk mengenepikan perisytiharan penceraiannya dengan bekas sultan Johor, almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Tunku Zanariah mendakwa beliau hanya dimaklumkan tentang perceraian itu pada bulan Ogos lalu – tiga tahun selepas ia didakwa disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Dalam afidavitnya yang difailkan di mahkamah dan diperolehi Malaysiakini, Tunku Zanariah berkata mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Syamsuddin pada 22 Ogos lalu menyerahkan tiga dokumen yang disifatkannya "sungguh mengaibkan" dirinya.

Dokumen itu adalah surat dari menteri besar Johor bertarikh 9 Disember 2010 yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah bersidang pada 6 Ogos 2010 untuk mengesahkan lafaz tiga talak almarhum Sultan Iskandar.

Dokumen kedua pula adalah satu perintah dan penghakiman Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bertarikh 30 September 2010 yang memutuskan bahawa beliau telah diceraikan dengan talak tiga dan lafaz rujuk sebelum itu tidak sah.

Dokumen ketiga pula adalah sijil penceraian bertarikh 8 Oktober 2010 yang menyebut bahawa beliau dan almarhum sultan telah bercerai pada 23 Januari 2009 "dengan dua talak yang berjumlah tiga talak".

"Saya amat terkejut menerima surat mufti tersebut beserta dengan lampirannya dan benar-benar merasa diri saya telah dianiaya oleh pihak tertentu," kata Tunku Zanariah dalam afidavitnya.

Pada masa sama, almarhum Sultan Iskandar yang meninggal dunia pada 22 Januari 2010 juga tidak pernah memfailkan sebarang prosiding cerai di mahkamah syariah Johor, dakwa Tunku Zanariah.

Menurutnya lagi, keputusan mahkamah tentang perceraiannya pada 30 September 2010 seperti dinyatakan dalam dokumen kedua dibuat secara sebelah pihak tanpa memanggil dirinya.

Tunku Zanariah juga mendakwa, hakim yang mendengar kes itu juga tidak diberi kuasa oleh mahkamah untuk berbuat demikian.

Mahkamah menetapkan tarikh 20 Januari untuk sebutan kes.

Tunku Zanariah merupakan pasangan kepada Sultan Johor ke-24, almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang menduduki takhta dari 11 Mei 1981 sehingga 22 Januari 2010.

Beliau melahirkan lima putera dan seorang puteri bersama almarhum Sultan Iskandar.

Beliau juga merupakan bonda tiri kepada Sultan Johor sekarang, Sultan Ibrahim Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan