Pengurus restoran bersalah rogol isteri bawah umur

Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini mendapati pengurus restoran, Riduan Masmud, bersalah kerana merogol seorang gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.

Bagaimanapun Hakim Ummu Khaltom Abd Samad menetapkan Isnin depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Riduan.

Ummu Khaltom berkata hukuman ditangguhkan sementara meneliti hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Riduan, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam
sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Februari tahun lepas.

Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.

Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan diwakili peguambela Y.S. Lo dan Timothy Daut.

Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan