PRK Dun Kajang: Kita bakal dihidang dengan video Anwar lagi?


Rayuan kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan video seks seorang lelaki menyerupai beliau dijangka menjadi modal kempen BN dalam pilihan raya kecil Kajang tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata pengundi Kajang perlu diingatkan yang pembangkang menawarkan seorang calon dengan beban kes mahkamah yang masih belum selesai.

"Yang akan berlawan dengan kita ini ialah Anwar Ibrahim yang kes liwatnya belum selesai. Persepsi terhadap beliau masih ada tentunya sebab dia belum disahkan Mahkamah Rayuan dan selepas itu belum lagi disahkan di Mahkamah Persekutuan.

"Jadi, dia tak boleh menghalang siapa-siapa untuk bercerita bahawa dia adalah seorang yang masih lagi mempunyai kes di mahkamah.

"Kes liwat dengan Saiful dan kes video itu. Jadi pengundi Kajang kena diberitahu tentang perkara ini dan tidak ada menyalahi apa-apa untuk kita bercerita tentang Anwar Ibrahim ini supaya pengundi Kajang memilih orang yang benar-benar sesuai menjadi ADUN mereka.

"Itu satu perkara yang saya sebut tadi dalam penjelasan untuk bercerita siapa sebenar Anwar Ibrahim," katanya di Kajang petang tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat tertutup pilihan raya kecil DUN Kajang anjuran Umno bahagian Hulu Langat.

Rayuan kes liwat itu diketuai pendakwaraya Tan Sri Shafee Abdullah akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini , depan tiga orang hakim.

Lipat ganda usaha

Berkaitan isu video, Ahmad dipercayai merujuk video yang didedahkan oleh Trio Datuk 'T' pada 21 Mac 2011 dan dipertontonkan kepada wakil media di Hotel Carcosa Seri Negara.

Bagaimanapun Anwar juga telah menafikan lelaki itu dalam video tersebut adalah beliau.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata jentera pilihan raya Umno perlu melipatgandakan usaha bagi mendedah wajah sebenar ketua umum PKR itu supaya pengundi Kajang tidak tertipu seolah-olah kesnya itu sudah selesai.

"Kes video belum selesai, kes liwat belum selesai. Jadi, lepas itu pergi ke masjid, orang masjid pun dengar, orang masjid pun fikir, ho, dia ini dah lepas.

"Tak betul, tak betul. Dia ini belum lepas. Dia belum lepas kes liwat, dia belum lepas hakim di Mahkamah Rayuan. Saya sebut ini tentang fakta. Adakah apa yang saya sebut ini tak betul?

"Masuklah dalam Malaysiakini, The Malaysian Insider ke, kalau nak highlight apa yang saya sebut ini benar, bahawa Anwar Ibrahim belum lepas lagi kes liwat dia di Mahkamah Rayuan," kata Ahmad.

Sementara itu, beliau yang juga timbalan menteri kewangan berkata data-data setakat ini menunjukkan BN berpeluang memenangi pilihan raya kecil Kajang.

"Saya menaja program (taklimat tertutup) ini untuk memberikan semangat kepada mereka dan menunjukkan data-data bahawa tak mustahil kita boleh menang di Kajang ini," katanya.

Kekosongan kerusi itu berlaku selepas penyandang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ - sekaligus mencetuskan spekulasi beliau bakal mengambil alih tugas menteri besar daripada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan