DINSMAN
Malam Jumaat lalu saya menonton siaran langsung konsert Malam Cinta Rasul oleh Habib Syech (dari Indonesia) dan kumpulannya yang disiarkan oleh beberapa saluran televisyen. Habib Syech dengan lagu ‘Ya Hanana’ itu, kata orang, sudah menjadi fenomena di negara ini sejak ... tak pasti saya sejak bila, agak lama jugalah.
Pernah dibuat di Dataran Merdeka juga tak lama dulu. Dan baru-baru ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Dan malam Jumaat lalu di Dataran Masjid Putrajaya. Saya belum berkesempatan hadir menontonnya di tempat berlangsungnya konsert qasidah dan selawat itu. Hanya menonton di televisyen saja.
Dan sedang saya menonton Jumaat lalu ada mesej masuk di telefon saya mengatakan televisyen kita sedang menyiarkan perbuatan bidaah dholalah dengan berselawat dan berdoa beramai-ramai, yang tak pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.
Saya tersentak dan membalas: “Ya ke? Salahkah mengajak orang beramai-ramai mengingati Allah dan Rasul dan berdoa kepada Allah begitu?” Dan seterusnya dia pun memperkuatkan kenyataannya itu dengan beberapa hujah dan dalil daripada ayat al-Quran dan Hadis, yang tak perlulah saya salinkan di sini.
Terima kasihlah kepada beliau, kerana membuat saya berfikir semula mengenai perkara hiburan – yang mana yang sesat dan berdosa, dan yang mana pula yang sihat dan tidak melanggar syariat?
Berhibur dengan konsert muzik besar-besaran hingga 12 jam (pukul 3 ptg hingga 3 pagi) selama tiga hari, seperti yang dibuat di Bukit Jalil pada 13-15 Mac sambil mengambil dadah supaya lebih bertenaga dan melekakan hingga mengakibatkan enam remaja maut pada 14 Mac (maka program pada 15 Mac terpaksa dibatalkan), itu tentulah sesat dan berdosa, 'kan?
Tetapi apakah berhimpun beramai-ramai untuk menikmati alunan qasidah dan selawat seperti di Putrajaya itupun sesat dan berdosa juga?
Kalau begitu, bagaimanalah pula caranya kita nak berhibur? Leka tak ingat pada Allah pun salah, berhibur dengan mengingat Allah dalam acara beramai-ramai itu pun salah.
Memanglah, cara berhibur begitu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Malah hiburan begitu pun (atau seperti yang diperlukan oleh masyarakat hari ini) tidak diperlukan oleh masyarakat di zaman Rasulullah. Tetapi apakah setiap apa saja yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu kalau kita lakukannya di zaman kita ini maka ia automatik jadi bidaah dholalah (salah dan sesat)?
Ada hadis Nabi yang melarang kita melakukan ibadat apa-apa pun yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Memang. Tetapi bukankah hadis itu ditujukan kepada perkara 'ibadat khusus’ sahaja, manakala perkara yang bukan ‘ibadat khusus’ tidak termasuk dalam maksud hadis itu?
Dan konsert qasidah dan selawat oleh kumpulan Habib Syech itu apakah ia satu perkara ibadat? Tidak! Itu bukan perkara ibadat. Itu satu peristiwa hiburan, tetapi hiburan yang mengandungi unsur-unsur ibadat (zikir dan selawat) dengan tujuan untuk menghidupkan ingatan dan meningkatkan rasa kasih kita kepada Allah dan Rasul, dan supaya hiburan itu tidak menjadi lagha (melekakan dan menghanyutkan).
Jangan kita jadi keliru, tak dapat membezakan mana ibadat dan mana hiburan, (dan mana pula majlis ilmu). Ada orang menganggap himpunan mendengar qasidah dan selawat Habib Syech itu sebagai ibadat. Itulah masalahnya.
Maka saya menulis wacana ini bukan semata kerana tidak bersetuju dengan mesej yang dihantar ke telefon saya itu. Saya menulis ini kerana saya tahu ramai orang kita yang masih terkeliru dalam perkara ini, yakni perkara yang dikatakan bidaah ini.
Hari ini ada perkara yang bukan bidaah telah dikatakan bidaah, manakala banyak pula perkara yang sebenarnya bidaah tetapi diamalkan dan dibiarkan sahaja oleh mereka yang sepatutnya menegurnya.
Saya bukanlah orang yang alim (pakar) dalam perkara bidaah dan bukan bidaah ini. Tetapi apabila menyentuh soal seni-budaya, saya berasa perlu bersuara kerana saya tahu tidak ramai orang yang berminat untuk menyelami dan mengkaji dengan agak mendalam sedikit mengenainya.
Bukan sahaja tidak ramai orang yang berminat untuk mengkajinya dengan agak mendalam, tetapi orang yang sebenarnya tahu apakah sumber sesuatu hukum yang sudah popular disebut-sebut oleh ramai orang itu pula – tersangatlah sedikit.
Kebanyakan kita membuat kenyataan yang menghukum itu bukanlah kerana ilmu yang dimiliki, tetapi hanya kerana dia mendengar seseorang yang dianggapnya berilmu pernah berkata demikian. Padahal orang yang dianggapnya berilmu itupun bukanlah sebenarnya orang berilmu pun. (Keliru lagi!)
Itulah peliknya masyarakat kita. Dengan ilmu yang sedikit diketahui itu, diheboh- hebohkan hingga menjadi riuh-rendah masyarakat. Padahal semua orang tahu al-Quran, dan al-Quran itu adalah buku panduan wajib yang semua orang Islam wajib membaca dan memahaminya, supaya tidak terus menjadi jahil dan mudah terkeliru dan tertipu.
Peliknya, kebanyakan kita malas hendak membaca untuk memahami kata-kata Allah yang sangat berhikmah itu. Bukannya susah pun! Semua orang tahu membaca dan memahami al-Quran itu banyak faedahnya, tetapi tak ramai orang mahu buat. Mengapa?
Kembali kepada persoalan di atas – mana yang ibadat dan mana yang hiburan? Mana yang bidaah dan mana yang bukan bidaah? Cubalah rujuk kepada sumber hukumnya. Dan dalam hal ini ada satu perkara yang kita perlu berhati-hati – iaitu jangan sampai kita mempermain-main dan mempersenda serta memperalatkan ibadat, kerana hendak menghibur!
--------
Penulis boleh juga dihubungi dengan SMS 019-7172408)
I seek refuge in Allah from outcast satan
BalasPadamIn the name of Allah , the Most Beneficient , the Most Merciful
Asalamu Alaykum Blogger KERENGGA
Tuan boleh usul berbagai alasan untuk menegakkan pendapat tuan dalam N3 tuan , cuma berhati hati agar satan tak memberi cadangan ( usul satan laknatullah nampak macam ok walhal ianya membawa kelalaian mengingati Allah SWT dan terpesong dengan ajaran Nabi Muhammad SAW )yang terpesong.
Tuan N3 , jangan sampai yang HALAL melalaikan yang WAJIB atau FARDU .Berselawat dan berdzikir ramai ramai tak termasuk dalam WAJIB atau FARDU keatas muslimin dan muslimat . Cuma di kuatiri mereka tak berwuduk , tinggalkan solat asar dan solat mahgrib dan solat isyak.
So tuan punya N3
Doa satan yang di kabulkan oleh Allah SWT ialah "" Make me (satan) among the respited , give me ( satan ) life untill the day of Resurrection.. ""
Kan elok Tuan punya N3 cadang agar mereka bangun malam dekatkan diri dan menangis kepada Maha Pencipta dari berpekek terlolong ...
dari Yamaha R6