Berpunca dari Zahid Hamidi, KJ pula jadi mangsanya

SHAHBUDIN HUSIN
Oleh kerana marah disebabkan Khairy Jamaluddin menyarankan agar beliau ditangkap berikutan memalukan negara dengan dua kejadian ritual pelik dan bertentangan dengan Islam di KLIA untuk memanggil pesawat MH370 yang masih hilang, Ibrahim Mat Zain yang menggelarkan dirinya Raja Bomoh atau Bomoh VIP, mengugut mahu menampar muka Ketua Pemuda UMNO itu.
Dengan menggambarkan KJ sebagai biadap dan tidak menghormatinya sebagai orang tua, beliau mencabar KJ agar meletakkan jawatan sebagai menteri manakala beliau pula akan meletakkan jawatan sebagai mahaguru silat.

"Saya cabar dia letak jawatan, kemudian kita fight. Saya tampar dia macam saya tampar buaya baru dia tahu," demikian luahan marah dan rasa tidak tidak senangnya terhadap KJ yang mahu beliau ditangkap kerana dianggap menjalankan amalan syirik dan bertentangan dengan Islam dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Video luahan marah dan tindakan mahu menampar KJ oleh Ibrahim Mat Zain itu kini sudah tersebar luas di laman-laman sosial serta menjadi perbualan hangat pengguna internet sejak semalam.

Dalam dua kejadian di KLIA, Ibrahim bersama beberapa pengikutnya telah menjalankan dua upacara ritual dengan membawa buluh, bubu, tikar dan buah kelapa sambil melaungkan perkataan Allahu Akbar. Tindakan itu mendapat kecaman di media kerana amalan yang dilakukan itu dianggap karut, syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Berikutan ritual itu juga, Perdana Menteri Najib Razak mendapat kecaman di media antarabangsa dan dunia Arab dengan mereka melabelkan Perdana Menteri sebagai tiada otak dan lebih mempercayai amalan syirik dalam usaha merungkai persoalan mencari pesawat MH370 yang masih hilang sejak lebih seminggu lalu itu.

Sementara Ibrahim Mat Zain mendakwa kehadirannya ke KLIA adalah atas jemputan VIP tertentu, hampir tidak ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang tampil mengecam tindakan beliau itu. Kalau ada pun hanyalah sekadar penafian ringan sahaja.

Lalu apabila KJ menyelar perbuatan itu sebagai syirik dan mahu beliau ditangkap, Ibrahim Mat Zain yang berusia 80 tahun jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya. Selain mahu menampar, beliau juga mahu Najib membuang KJ sebagai menteri.

Selain itu, beliau juga memberi amaran agar KJ tidak mengulangi tuduhan terhadapnya di lain ketika atau berhadapan saman malu sebanyak RM100 juta.

Walaupun KJ tidak menganggap serius ugutan itu dengan menulis secara main-main di twitternya, "Raja Bomoh VIP mahu tampar saya macam kokedai" tetapi amalan mengugut dengan penampar ini nampaknya sudah mulai menjadi budaya dalam dunia politik negara kita.

Sebelum ini, sebuah NGO yang dinamakan Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia telah menawarkan ganjaran sebanyak RM500 dan kemudian dinaikkan kepada RM1200 kepada sesiapa yang dapat menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung video yang diterbitkan yang dianggap mempersenda Perdana Menteri.

Tindakan NGO itu mendapat kecaman pelbagai pihak kerana ia dianggap suatu bentuk ugutan serta dianggap tindakan tidak sihat dalam amalan politik kerana dalam mempertahankan pendirian, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah. Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi enggan melayan agar pihak polis bertindak terhadap ugutan seperti itu dengan menganggap ganjaran untuk penampar bukanlah suatu bentuk ancaman.

Menurut, hanya jika mereka berkata mahu membunuh, barulah ia dianggap sebagai ancaman.

Kini, berikutan sikap tidak tegas Zahid itu, seorang menteri sendiri iaiu KJ telah menerima padahnya apabila beliau pula mahu ditampar oleh seorang Raja Bomoh yang tidak berpuas hati dengannya.

Apakah selepas ini, ugutan tampar ini akan terus menjadi budaya di negara kita? Apakah mungkin selepas ini Perdana Menteri atau isterinya atau Timbalan Perdana Menteri pula yang akan menerima ugutan tampar pula?

Dan bagaimana pula jika akhirnya ada pemimpin yang benar-benar kena tampar, siapa harus dipersalahkan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan