Kasim Ahmad tidak tahu perkara ini

ANIS NAZRI
SHAH ALAM: Usaha menyampaikan dakwah berkaitan akidah perlu melihat kepada latar belakang sesuatu kelompok, bagi memastikan kaedah penympaian dakwah itu benar-benar terkesan dan bersesuaian.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata sama ada kelompok sasaran itu merupakan anti-hadis, liberalisme, mahupun kafir, terdapat kaedah tertentu yang perlu digunakan.

Beliau menjelaskan terdapat tiga latar belakang utama yang harus dikenalpasti oleh para pendakwah, sebelum mengeluarkan atau menyampaikan hujah berkaitan akidah iaitu kelompok yang benar-benar jahil, jahil tetapi tidak sedar dia jahil dan tahu tentang Islam tetapi sengaja engkar.

"Apabila kita memperhalusi latar belakang sesuatu kelompok itu, barulah boleh kita menggunakan kaedah tertentu untuk berhujah dengan mereka. Golongan pertama, iaitu yang benar-benr jahil, maka kita perlu memberi ilmu agar mereka tahu.

"Manakala, bagi yang jahil tetapi tidak sedar dia jahil, kita sedarkan dia (yang dia jahil), dan yang engkar pula kita perlu berhujah dengan dia," jelas beliau ketika menjawab soalan seorang peserta Wacana Pengukuhan Akidah, di Unisel, Shah Alam, hari ini.

Ustaz Hadi menjelaskan, kelompok yang jahil ini sememangnya tidak mengetahui tentang kedudukan al-Quran, hadis dan sebagainya serta tidak mengetahui tentang mukjizat-mukjizat berkaitan Islam ini.

Sehinggalah ada pihak yang menyampaikan dan menunjukkan kedudukan-kedudukan tersebut, tegas Ustaz Hadi, ilmu berkaitan Islam dan akidah ini akan difahami golongan tersebut.

"Begitu juga dengan hadis, setiap hadis ini ada matannya, perawinya, dan seseorang perawi itu seorang yang tawaduk, kuat ingatan, bukan sahaja ingat tentang hadis tetapi titiknya pun dia ingat.

"Mereka ini mengkaji hadis-hadis nabi hingga tahu sama ada sesuatu hadis itu lemah atau sebaliknya. Saya percaya Kassim Ahmad tidak tahu perkara ini. Imam Bukhari sudah menghafal ratusan ribu hadis, tetapi yang masuk dalam kitab sahihnya hanya 6000 hadis sahaja yang terpilih," tegas beliau.

Ustaz Hadi turut mengingatkan agar setiap hujah dan perdebatan yang diadakan perlu dilakukan di kalangan yang mempunyai kepakaran yang sama, khususnya bagi kelompok yang jahil namun tidak sedar dirinya jahil.

"Apabila orang yang mengaji di Somalia dengan orang yang mengaji NASA bercakap soal angkasa lepas, adakah ia bersesuaian? Doktor haiwan berdebat dengan doktor jantung, bercakap soal jantung, mana kita mahu dengar? Jadi, kelompok itu yang perlu kita sedarkan agar dia tahu bahawa dia jahil," tegas beliau lagi.

Wacana Pengukuhan Akidah itu merupakan siri pertama yang dianjurkan Lajnah Dakwah PAS Pusat yang menghimpunkan tiga panelis, iaitu Ustaz Hadi sendiri, selain Prof Madya Aziz Hanafi dan Prof. Madya Dr Fauzi Deraman.

Wacana yang pada mulanya disasarkan untuk 700 peserta, bagaimanapun mendapat sambutan yang menggalakkan apabila kehadiran peserta dianggarkan melebihi 1000 orang apabila dewan tersebut melimpah hingga ke luar dewan.

Pengarah program, Ustaz Nasrudin Hassan, berkata wacana ini akan diteruskan secara bersiri di seluruh negara dalam usaha melunaskan tanggungjawab memberi perhatian agar masyarakat memiliki akidah yang benar dan jelas, memiliki fikrh yang syumul serta akhlak yang soleh.

Katanya, ketiga-tiga perkara asas itu perlu menjadi perhiasan bagi peribadi lengkap yang diperlukan kepada setiap umat Islam, yang bukan sahaja berada dalam perjuangan Islam, tetapi juga kepada seluruh ummah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan