Kassim Ahmad: Anwar akur kehendak Ustaz Fadzil

ASLNI M
KOTA BHARU: Biar pun posisi Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Timbalan Presiden Abim, namun pandangannya dihormati Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau sebagai presiden ketika itu.
Ketika itu Ustaz Fadzil menasihatkan Anwar supaya tidak hadir pada forum bersama Kassim Ahmad dianjurkan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada 1982.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, pada masa itu beliau dan rakan-rakan PMUM menganjurkan forum tersebut bagi mendengar penjelasan Kassim selepas keluar daripada tahanan di bawah ISA.

“Kami sengaja menganjurkan forum tersebut bagi mendengar dari mulut Kassim sendiri mengenai pengalaman berada di bawah ISA.

“PMUM juga menjemput Anwar sebagai panel kerana beliau sebagai presiden Abim. Namun apabila tiba masanya Anwar tidak datang.

“Jadi saya sebagai pengarah program datang mendapatkannya di Yayasan Anda tidak jauh daripada UM. Anwar memberitahu beliau tidak datang kerana Ustaz Fadzil melarang menyertai forum tersebut,” katanya pada ceramah di Guchil Bayam di sini malam tadi.

Husam berkata, beliau dan rakan-rakan keliru dan tidak dapat memahami apa maksud larangan Ustaz Fadzil sehingga terpaksa dipatuhi Anwar.

Menurutnya hanya selepas tiga hari kemudian beliau dapat memahami larangan Ustaz Fadzil kepada Anwar kerana telah lama mengetahui pendirian songsang Kassim terhadap agama.

“Ustaz Fadzil begitu tinggi bacaan politik kerana lebih awal mengetahui apa yang akan berlaku. Dia tidak mahu Kassim diberi muka kerana kesesatannya,” ujarnya lagi.

Oleh itu beliau hairan mengapa kerajaan lambat bertindak kerana sudah terbukti Kassim seorang yang sesat kerana tidak mempercayai Nabi Muhammad saw.

Menurutnya juga kerajaan lambat bertindak kerana di belakangnya ada pemimpin besar yang ada hubungan dengan kerajaan.

“Cuba bayangkan kalau Kassim itu penyokong PAS sudah awal-awal lagi kerajaan bertindak,” katanya.

Hadir sama pada ceramah itu Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan pendakwah, Ustaz Khairul Ikhwan.

Sementara itu pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, sesiapa yang menolak Hadis maka dia dengan sendiri keluar daripada Islam.

Menurutnya syahadah seseorang itu tidak lengkap kalau tidak disebut lafaz bahawa Aku Naik Saksi Bahawa Nabi Muhammad saw Adalah Pesuruh Allah.

“Tidak percaya kepada syahadah yang kedua bermakna sudah keluar dari Islam dan menjadi murtad,” katanya pada kuliah di Medan Ilmu kelmarin.

1 ulasan:

  1. Demi menyelamatkan Umat Islam, aku harap Ustaz Azhar Idrus dapat menyambut cabaran Kassim Ahmad..

    BalasPadam