Abuya Ashaari Muhammad -Putera Bani Tamim & Justice For Wardina

HishamAhmad
Isu Selesai, Wardina Minta Maaf Pada Ustaz Don Daniyal. Begitulah dikatakan berakhirnya kontroversi di antara Wardina dan Ustaz Don Daniyal. Inilah posting terbaru tentang mereka. Cuma apa bila saya baca apa yang diulas tidaklah sepenuhnya sama apa yang ditulis Wardina.

Namun Fakta: Wardina telah minta maaf kepada Ustaz Don. Cuma apabila dibaca keseluruhan ayat yang ditulis Wardina, boleh mendorong pembaca2 cuba untuk menginterpretasi apa yang tersirat disebalik yang tersurat. Setuju?

Pengulas menyatakan lagi dlm posting itu: Isu ini tidak sepatutnya timbul sekiranya Wardina meminta penjelasan secara peribadi dari Ustaz Don sendiri tanpa membuat sebarang tuduhan melulu di media social.

Di sini timbul beberapa isu:-

(1. Mungkin ada berpendapat cara Wardina menegur dianggap tidak betul. Jika begitu selesailah apabila dia meminta maaf. Tetapi, persoalan syaraknya, (1) adakah cara dia menegur itu salah kerana cara yang dgunakan sahaja? Jika salahpun, apakah darjah kesalahannya (2) atau kerana dia org awam bukan ilmuan agama? (3) walaupun cara tegurannya salah, adakah merit/isi tegurannya tidak diambilkira? (4) jika isi teguran itu mempunyai kepentingan dan ada asas kebenaran pada apa yang ditegur, maka adakah cara tegurannya itu boleh diterima? Perlu difaham bahawa ada pihak pertubuhan agama yang menyokong Wardina dan fakta bahawa Wardina belum menuduh tetapi meminta pihak tertentu membuat semakan? Atas itu… wajarlah penjelasan diberi oleh ilmuan agama akan kaedah bagaimana org awam dapat ‘menegur’ seorang ilmuan yang menyebarkan sesuatu di kalangan masyarakat yang dipercaya sebagai suatu tidak betul pada agama.

2. Persoalan kedua penting ialah adakah Wardina telah membuat tuduhan melulu? Maka kajian harus dilakukan secara adil kepada isi ceramah/kompilasi ceramah yang dikatakan mengandungi fakta tidak betul atau hadith palsu.

-fakta pertama: apabila isu bani tamim yang dibangkitkan oleh Ustaz Don telah dkritik hebat oleh beberapa ilmuan agama lain yang hebat dengan hujah yang bermerit. (Bahkan Prof Ridhuan Tee juga ada menyebut keraguannya pada isu ini).

Maka ia membuktikan bahawa terdapat merit pada teguran Wardina pada salah satu isu pada isi kompilasi ceramah itu. Itu baru satu isu. Belum lain isu-isu yang didakwa terdapat pada kompilasi ceramah itu.

Justeru atas satu isu sahaja membuktikan bahawa teguran Wardina ada asasnya. Maka sesiapa yang kata tiada asas atau melulu, mungkin perlu tarik balik dan minta maaf?

Untuk isu-isu lain yang serius yang terdapat pada kompilasi itu, kajian adil perlu dilakukan demi kesahihan fakta agama. Pun begitu saya dapati ada isu lain yang dijawab oleh ilmuan agama dengan hujah baik yang serius.

Secara hipotesisnya, sekiranyalah jika selepas kajian, terbukti benar-benar terdapat isu-isu serius pada sesuatu ceramah atau kompilasi ceramah itu kerana terkandung kisah agama tidak sahih atau hadith palsu, sehingga menyebabkan ilmuan-ilmuan lain terpaksa memberi penjelasan kepada masyarakat bagi membetulkan kefahaman yang silap, maka ketika itu , mungkin masyarakat berterima kasih kepada orang yang membangkit isu itu. Mungkin ketika itu, apalah salahnya kalau ustaz yang tersilap itu pula meminta maaf, sekalipun dia dia dibela oleh ramai peminatnya dan sekalipun pihak yang membangkit isu itu di kondem habis-habisan.

Saya tidak mendakwa atau membela sesiapa tetapi mengharapkan kita melakukan analisa secara ulul albab kepada sesuatu isu berbangkit.

Sekali lagi, saya menerima dahulu hujah2 ilmuan-ilmuan yang mengkritik keras dakwaan ustaz Don yang mengaitkan ‘bani tamim dan melayu’. Saya berharap Ustaz Don atau ilmuan yang sependapat dapat menjawab secara berhujah.

Berikut- untuk membuktikan betapa isu – ‘bani tamim & melayu’ adalah serius , bacalah penulisan dibawah yang pernah saya tulis beberapa tahun lalu:- (Untuk versi lengkap, visit blog saya)

Hisham-ahmad.blogspot.com

Pelik Lagi Ajaib

Kisah Abuya dan al-Arqam

Aku sekadar ingin merujuk kepada sebuah buku yang diberikan kepada aku beberapa tahun lalu. Buku bertajuk “Abuya Hj Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Susunan oleh Mohd Nizamuddin Hj. Ashaari , Laila Ahmad. Kalau buku lain pasti ada kritikan. Buku ini setebal 92 mukasurat boleh dikatakan secara 100% pro-Abuya dan al-Arqam atau Rufaqa Corporation.

Sekarang aku hanya ambil beberapa bahagian daripada isi buku itu sekadar untuk tatapan dan santapan fikiran. Tiada tambahan, original version. :-

· Di waktu Islam sedang musnah dan binasa di alam Melayu (Timur), bangunlah seorang manusia yang Allah janjikan untuk menyelamatkan kembali agamaNya. Dia seorang yang berbangsa Quraisy dari Bani Tamim tetapi sudah nipis sekali kearabannya. Inilah kerana seperti yang kita tahu,orang-orang arab yang datang ke Timur pada masa dahulu sudah berkahwin dengan orang ajam (bangsa selain Arab) maka tidak pelik kalau Putera Bani Tamim itu sudah nipis arabnya. Rasulullah s.a.w. tidak menyebut salasilah tetapi banyak memperkatakan tenyang ciri-ciri perjuangan dan pengikutnya. Sebab itu untuk mencari Putera Bani Tamim yang dijanjikan itu, kita carilah ciri-ciri dan stail perjuangannya,bukan salasilahnya.

· Dia berjuang mulanya tentu melalui kumpulan kecil tetapi kumpulan atau Jemaah atau toifahnya kemudian membesar. Sifat toifahnya mirip kepada Jemaah Rasulullah s.a.w. kerana wanitanya berpakaian serba hitam seperti gagak-gagak hitam. Lelakinya berjubah serban. Pengikutnya sangat berpadu seolah-olah lahir dari satu ibu ayah. Cita-cita dan azam mereka kental dan besar. Ibarat kalau mereka hendak meratakan gunung sekalipun, dapat mereka lakukan.

· Ketika Abuya ditahan oleh kerajaan menggunakan ISA, Abuya Ashaari Muhammad tidak melawan bahkan memberi kerjasama. Beliau amat yakin bahawa Allah pasti menguji pejuang-pejuang sebelum diberi kemenangan. Ujian itu pula adalah penghapusan dosa, manakala penentang akan terhukum dengan sendirinya. Setelah dibebaskan dari lokap, Abuya menubuhkan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd sebagai wadah baru perjuangannya sedangkan Abuya masih dalam tahanan ISA (RO). Akhirnya dalam masa 10 tahun,Rufaqa’ Corporation menjadi jauh lebih gagah daripada Arqam yang telah dihancurkan itu. Walhal sepatutnya jemaahnya tidak mungkin hidup kembali. Namun melalui proses ISA, Allah menjadikan perjuangan Abuya lebih laju dari sebelumnya.

· Selepas ISA, Allah takdirkan Abuya Ashaari Muhammad sakit kuat. Dalam keadaan dirinya yang terlantar sakit itu lebih-lebih lagilah tidak mungkin pengaruhnya membesar. Namun kenyataannya Abuya Ashaari Muhammad mendapat pengaruh yang cukup besar sama ada di dalam dan di luar Negara, sama ada dari kalangan orang biasa mahupun tokoh-tokoh kenamaan, tokoh-tokoh korporat, golongan professional, pemimpin masyarakat, artis dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa usaha manusia bukan memberi bekas, tapi kuasa Tuhanlah yang mampu memberi kesan.Kalaulah tokoh-tokoh lain sama ada pemimpin,usahawan,ilmuan,karyawan,budayawan,atau lain-lain,di tangan mereka terjadinya pembangunan dan kemajuan material yang luar biasa namun belum ada di antara mereka yang mampu membina kemajuan sepertimana yang dibangunkan oleh Abuya. Sebagai contoh,Abuya Berjaya membangunkan ‘bandar’ yang lain dari yang lain iaitu sebuah Bandar dengan system hidup yang memasukkan Tuhan dan Akhirat sebagai imbangan dan praktikal. Yakni Abuya dapat membangunkan material dan rohani sekaligus. Walaupun pembangunan materialnya tidaklah bersaiz besar tetapi sistem bermodalkan Tuhan menjadi model yang boleh ditiru, diambil dan diperjuangkan oleh semua golongan. Abuya umpama tafsiran Al-Quran dan Sunnah bergerak

Bab 6. Abuya Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim

Berikut ialah apa yang Abuya faham tentang Imam Mahdi dan perjuangannya dengan merujuk kepada Hadis-Hadis akhir zaman serta ilham yang Abuya dapat dari masa ke semasa, sejak 40 tahun yang lalu:

1. Imam Mahdi adalah seorang lelaki yang masih hidup dan sedang dighaibkan oleh Allah. Dia akan zahir ke dunia nyata pada waktu yang Allah kehendaki untuk melakukan kebangkitan Islam.

2. Di hari kezahirannya, iaitu hari Jumaat bulan haji, ketika khatib sedang membaca khutbah di mimbar Masjidil Haram di Mekah, hidung khatib tersebut berdarah kerana cuaca terlalu panas. Maka khatib itu turun dari mimbar dan digantikan oleh khatib yang kedua. Hal yang sama berulang sehingga khatib yang keenam. Khatib yang ketujuh tidak berdarah hidungnya maka dia menjadi imam sembahyang jumaat pada hari itu di Mekah. Itulah dia Imam Mahdi yang dizahirkan buat pertama kali setelah dighaibkan Tuhan selama lebih 80 tahun.

3. Nama Imam Mahdi ialah Muhammad bin Abdullah, ibunya Aminah, keturunan Bani Hasyim iaitu Arab Quraisy dan merupakan ahlul bait.

4. Imam Mahdi akan zahir tidak lama lagi iaitu selepas terjadinya daulah Islamiah di Malaysia iaitu sekitar 3 hingga 4 Tahun lagi.

5. Dari Mekah, dia akan ke Malaysia untuk menerima serahan kuasa dari Putera Bani Tamim. Hal ini berlaku setelah 6 bulan kezahirannya di mimbar Masjidil Haram itu.

6. Dalam tempoh 6 bulan itu, Imam Mahdi belum isytihar dirinya. Dia hanya berhubungan dengan para wazirnya untuk melengkapkan persiapan sebelum pengisytiharan. Namun umat Islam yang sudah tahu tentang keberadaannya mahu berbaiah padanya. Mereka disyaratkan untuk berbaiah terlebih dahulu dengan Putera Bani Tamim yang berada di Malaysia.

7. Program penyerahan kuasa berlangsung hanya satu malam, sebab kerja-kerja menyiapkannya sudah dibuat oleh Putera Bani Tamim selama 40 tahun. Imam Mahdi hakikatnya telah memimpin kerja-kerja itu dari balik tabir.

8. Dengan kuasa daulah yang ada, dengan system pemerintahan khalifah yang sudah wujud dan dengan pengaruh yang sudah bertaraf dunia, Imam Mahdi akan memulakan operasi memerangi Amerika (Sufyani). Beliau akan menang dan dapat menguasai dunia.

9. Imam Mahdi memerintah dunia selama lebih kurang tujuh tahun. Bila Dajjal datang, Nabi Isa turun untuk membunuhnya. Nabi Isa akan membenarkan Imam Mahdi, hasilnya seluruh penghuni dunia akan jadi pengikut Imam Mahdi.

Begitulah kefahaman Abuya tentang Imam Mahdi dan jadual yang akan terjadi. Abuya bukan sahaja mempromosikan Imam Mahdi bahkan Abuya sedang mempersiapkan jemaahnya dan team perjuangannya untuk diserahkan kepada Imam Mahdi.

Bab 7. Kesimpulan

…apa yang sedang terjadi di Malaysia oleh jemaah Arqam dan kini Rufaqa ialah jadual Allah untuk akhir zaman…

(Para akhir) Pemimpin sebenar kepada kebangkitan itu ialah Imam Mahdi yang aktif berperanan dibelakang tabir dan akan Allah zahirkan semula ke dunia sepertimana nabi Isa a.s. Imam Mahdi melantik pemimpin Arqam atau Rufaqa’ iaitu Abuya Ashaari Muhammad sebagai wazir kanan kepada Imam Mahdi yang membuat tapak perjuangan Imam Mahdi. Ertinya Abuya Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Perjuangan mereka akan mendapat sebuah Negara Islam iaitu Malaysia secara aman, damai dan harmoni. Abuya Ashaari sedang berusaha menagih janji Tuhan agar jadual kebangkitan yang Allah dan Rasul sebutkan di dalam hadis-hadisnya benar-benar akan berlaku tidak lama lagi!

Begitulah hebat sekali kisah Abuya, Sebahagian kedengaran macam fiksyen tapi sebahagian mengandungi fakta.

- Malangnya Abuya, yang dikatakan Putera Bani Tamim, yang berperanan menyambut dan membantu Imam Mahdi bagi kebangkitan Islam akhir zaman telah pun meninggal dunia …sedangkan Imam Mahdi belum menzahirkan dirinya….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan