Ha tu dia!! T’ganu nak beli bas dua alam

DR AZMAN IBRAHIM
Sekiranya bas amfibia itu memang keperluan mendesak dalam merancakkan sektor perlancongan Tasik Kenyir. Kajian teliti juga telah dilakukan. Faktanya meyakinkan bahawa dengan pembelian tersebut akan membuatkan limpahan pelancong berkunjung ke tasik buatan manusia yang terbesar di Malaysia ini. Hasilnya ia akan memberikan pulangan ekonomi yang memberangsangkan kepada penduduk sekitar.
Kita mohon penjelasan berkenaan kos RM6 juta tersebut kerana carian di Internet menunjukkan kosnya adalah Euro 280,000 sebuah. Dua buah bermakna Euro 560,000 atau sekitar RM3.4 juta. Kenapa Kerajaan Terengganu nak beli dengan harga RM6 juta, hampir 2 kali ganda dari kos sebenar? Tak usah bawa hujah lama, bas yang Terengganu nak beli ini lain spesikasinya dari yang lain. Ianya dilengkapi dengan ciri-ciri yang lebih sofistikated! Tak ada siapa lagi yang nak percaya dengan hujah ini. Cukuplah kapal selam dan jet pejuang menjadi pengajaran.

Kenyataan dari Kerajaan Negeri menyebut bahawa antara kegunaan kenderaan ini adalah untuk menyelamat mangsa banjir. Sebagaimana yang dimaklumi, lumrah kawasan banjir adalah arusnya deras, banyak sampah sarap dan kayu kayan terapung, laluannya kadang-kadang sempit di celah-celah penempatan, pokok-pokok dan sebagainya lagi. Sesuaikah ia digunakan dalam situasi sebegini? Kena rujuk semula spesifikasi penggunaannya.

Bagaimana dengan alat ganti dan penyelenggaraan. Barang ini bukannya beli sekali boleh guna sepanjang hayat. Jangan bila rosak nanti akan jadi amfibia putih, tak dapat nak dibaiki. Di Terengganu banyak sangat dah ‘projek penyu putih’. Mohon jangan ditambah lagi dalam senarai.

Saya juga boleh bersetuju sekiranya keadaan ekonomi negeri mengizinkan dengan Terengganu mempunyai rizab simpanan berjumlah berbilion ringgit. Tetapi realitinya negeriku ini berada pada kedudukan kedua dengan bilangan rakyat miskin tegar kedua tertinggi selepas Sabah. Apakah rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar akan mendapat manfaat dari pelaburan yang besar ini? Kalau sekiranya manfaat kepada pelaburan ini akan dinikmati oleh rakyat kebanyakan, maka silakan saja membelinya.

Mohon orang-orang besar di Wisma Darul Iman perhatikan senario ini. Seorang Pak Cik Tua termenung sendirian di sebuah kedai kopi di Jabi ketika orang lain rancak membincangkan hal bas amfibia. Bila disapa, dengan nada sedih beliau meluahkan. “Harga getah loni RM2.40 sekilo. Sebatang pohon getah kena toreh 3 hari baru boleh sekilo getah skrap. Ikan selayang RM7 sekilo. Sembilan hari toreh sebatang getah, baru boleh beli ikan selayang sekilo. Lepas tu bila masa kita nak gi naik bas amfibia…”

Kaedah keutamaan dalam Islam mengajar kita, kepentingan umum perlu didahulukan dari kepentingan khusus. Cuba tengok belakang, depan, kiri dan kanan tentang hal kehidupan rakyat Terengganu kita. Macam mana kemudahan asas rakyat, sawah padi yang kontang kerana masalah pengairan seperti di Kampung Nangka dan Tok Saboh, Kuala Besut serta Tok Dor di Jabi, dewan sebuah sekolah di Jabi yang dikhabarkan tak selamat digunakan, rakyat yang tinggal dalam rumah bertaraf kandang kambing, masih ada keluarga yang anaknya tercicir dalam pendidikan lantaran kemiskinan. Mohon semua ini diambil kira sebelum kita berfikir nak jadi juara.

Akhir sekali, kalau syarat di atas semua lulus, belilah bukan setakat kenderaan 2 alam, kita boleh bersetuju kalau Kerajaan Terengganu nak beli bas 3 alam sekalipun. Boleh jalan atas darat, dalam air dan boleh terbang sekaligus! Banyak lagi syarat lain, tapi saya kemukakan 7 dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan