Keghairahan Menjadi Selebriti Agamawan (Yang Membinasakan)

Alhamdulillah, Allah menjadikan proses melarikan diri daripada lensa itu mudah buat saya. Dia yang memudahkan. Mungkin kerana saya sendiri, juga masih kelam-kelam di pinggiran disimbah cahaya studio dan gemerlapan pentas. Belum jadi bintang. Belum jadi purnama.
Keberagamaan hari ini amat membingungkan.

Bagi mahasiswa dan mahasiswi sarjana muda Pengajian Islam semasa, jauhkanlah diri daripada menjadi selebriti sebelum habis mengaji. Jangan sekali-kali mencita-citakannya. Lebih baik, hindari lensa, hindari publisiti sebelum usia mencecah 30′an. Sibukkan diri dengan mengaji.

Menjadi selebriti itu bererti, di alam realiti pendapatmu dinilai berdasarkan populariti. Jarang kerana hujah dan ilmu. Maka, kukuhkan dulu ilmu dan pengalaman, sebelum engkau menyerah leher kepada kehidupan yang berisiko tinggi itu. Hakikat menjadi selebriti agamawan, kesilapanmu dipertahankan peminat, kebenaranmu dicemburui lawan. Selamatkah dirimu, tanpa ilmu yg jitu?

Justeru, dalam banyak keadaan, rebutlah kelebihan menjadi insan bertaqwa yang tidak dikenali. Viral, trend, populariti, ia adalah ujian yg berat. Mengapa engkau dengan sengaja menempa susah? Apatah lagi kesusahannya adalah beban yang jauh dari berbaloi.

Setiap kali berpendapat, engkau boleh melapikkan ‘fatwa’mu dengan permohonan maaf dan meminta nasihat jua teguran. Tetapi agama mengkehendaki kita tawadhu’ dengan ilmu mendahului tawadhu’ dengan mad’u. Tawadhu’ dengan ilmu bererti kita membataskan diri daripada berkata-kata pada perkara yang kita tiada pengetahuan mengenainya.

Pengetahuan ialah apa yang kita pelajari, kita dalami, kita fahami. Bukan apa yang kita dengar, tidak sekali-kali sekadar meminjam apa yang orang kata. Jika salah, salah yang berkata, bukan salah kita yang meminjamnya.

Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:

من تكلم في الدين بلا علم كان كاذب، وإن كان لا يتعمد الكذب
‘Barangsiapa yang berbicara tentang hal-ehwal agama tanpa ilmu maka dia dikira berdusta sekali pun dia tidak berniat untuk berdusta.’

Dek kerana bahayanya perbuatan memetik buah sebelum ranum, rancangan-rancangan realiti keagamaan itu berbahaya. Jika dalam dunia masakan, Chef Wan risaukan chef segera melalui rancangan realiti masakan, kita pula risaukan ulama segera yang dihasilkan oleh rancangan realiti di kaca televisyen. Mendengar ceramah-ceramah alumni program realiti televisyen yang banyak itu, sungguh dukacita hati saya dibuatnya. Demikianlah akibat mensesiakan usia muda yang sepatutnya diisi dengan belajar, bukan mengajar, biar pun berdakwah masih fardhu ain dalam rutin seharian masing-masing.

Al-Imam al-Shāfi’ī rahimahullāh berpesan, seperti yang ternukil di dalam Fath al-Bārī, syarah kepada Sahih al-Bukhārī:

إِذَا تَصَدَّرَ الْحَدَث فَاتَهُ عِلْم كَثِير
“Apabila seseorang yang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu menjadi tokoh), maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak”

Mengapa tergesa-gesa beraksi di lensa, sebelum ilmu secara amanah disemat di dada? Lidah tidak bercabang, lancar berkata-kata, tidak selancar mata membaca dan akal memikirkannya. Jika televisyen mensyaratkan ada ASAS agama, maka ASAS itulah racunnya, kerana pada usia yang begitu muda, kalian sudah sibuk ke sana sini mengajar (kalau boleh dikatakan mengajar), bila masanya yang ASAS itu hendak ditambah, diperbaiki dan ditingkatkan?

Jika zaman belajar tidak rancak belajar, mustahil zaman mengajar boleh rancak mengajar. Kecuali ada penyakit yang direstui penyebarannya.

Dek besarnya bebanan berkata-kata di pentas ceramah, apatah lagi di depan lensa, saya sendiri lebih tenang menulis berbanding berceramah. Sebelum menulis, saya kena membaca dan punya ruang berfikir sebelum menyebarkannya.

Ceramah, mudah benar kemalangan ilmu berlaku.

Semoga Allah ampunkan saya, bekas orang muda yang banyak bercakap, bakal orang tua yang kurang beramal. Sekadar berkongsi nasihat buat yang sudi.

(Dan amaran buat yang enggan bermuhasabah diri)

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan