Profesor, siswa turut hanyut bersama Najib?

SHIRZAD LIFEBOAT
TATKALA Abdulfattah Jandali, pelajar kelahiran Syria dan pasangannya Joanne Carole Schieble, pelajar rakyat Amerika Syarikat berketurunan Switzerland menyerahkan anak luar perkahwinannya kepada pasangan Paul Reinhold Jobs dan Clara Jobs, mereka tidak menyangka sama sekali suatu ketika nanti bayi tersebut akan hidup dan kemudiannya mati sebagai seorang perintis, teknokrat, ahli-perniagaan, pengurus peringkat tertinggi dan legenda dalam bidang teknologi baru yang mengubah kehidupan seluruh warga dunia suatu ketika nanti.

Benar, IBM yang memperkenalkan aplikasi komputer peribadi kepada dunia. Tetapi anak angkat Paul dan Claralah yang antara lain mencipta tetikus, perintah grafik (bukan sekadar perintah papan kekunci) dan konsep desktop dengan bekerja hampir bersendirian dalam bangsal di belakang rumahnya. Dia kemudian menamakan komputer peribadinya sebagai ‘Apple’ dengan sistem pengendalian cakera ‘Macintosh’ berbeza daripada komputer peribadi pengguna keluaran IBM atau yang dilesenkan oleh syarikat tersebut.
Hari ini Steve Jobs telah meninggal dunia tetapi komputer Apple terus digunakan dan dipilih sebagai alat grafik dan pengeditan bagi hampir semua penerbit akhbar, majalah, video, fotografi, media elektronik di seluruh dunia. Itu pun belum lagi menyebut tentang i-phone, ipods dan i-pads yang merevolusikan cara kita menggunakan peralatan komunikasi peribadi.

Namun, ketika hayatnya, Steve Jobs, walaupun dikagumi oleh Barrack Obama ketika beliau berua-ura menjadi calon Presiden, tidak pula dilantik sebagai ‘Profesor Whitehouse’ dan Obama sendiripun atau mana-mana Presiden sebelumnya tidak pernah menyerapkan mana-mana badan seperti Majlis Profesor Negara atau seumpamanya ke dalam Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Malah jika ada majlis sedemikian, Steve Jobs sudah tentu tidak layak. Walaupun Paul dan Clara bersusah payah mencari duit untuk menghantarnya ke kolej terkemuka, dia tercicir setelah belajar selama enam bulan dan memilih menghabiskan masanya dalam bangsal di belakang rumah mereka.

Dalam edisi 7 April 2014, majalah Time membawa pula cerita seorang lagi pencicir sekolah atau ‘school dropout’ dalam bentuk seorang bekas penggodam komputer bernama John Cormack. Tentu sekali dunia tidak mengenali Cormack sebagaimana dunia mengenali Steve Jobs.

Namun teknokrat yang hanya sempat menghadiri dua semester pendidikan formal sebelum lari dari universiti untuk meneruskan kerjayanya sebagai penggodam pada usia 19 tahun, sebagaimana dijelaskan oleh majalah berkenaan: “Dia adalah penyebab apabila anda bermain permainan (komputer) tahap pencapaian tertinggi (state-of-art), anda tidak melompat dari satu platform ke satu platform lain atau berlegar dalam kurungan bawah tanah dua-dimensi, tetapi sebaliknya anda berlari-lari dan melompat dalam ruang-masa sepatutnya, kesemua enam paksi bertindakbalas, ke belakang ke depan, dari sisi ke sisi, ke atas ke bawah.”

Nama Steve Jobs dan John Cormack (sekadar mengambil dua contoh) menjadi terkemuka dalam bidang masing-masing kerana mereka boleh mencipta sesuatu walaupun tanpa pendidikan formal. Tidak perlulah dinyatakan betapa di negara seperti Amerika Syarikat lebih ramai lagi yang mencipta dan menjadi perintis pelbagai kemajuan dan penemuan hasil daripada pendidikan formal.

Justeru, persoalannya mengapakah produk dari universiti dan sistem pendidikan kita gagal menghasilkan mereka yang seperti dikatakan itu. Nak dikatakan tak ada profesor, tak benar. Kita ada ramai profesor.

Malah ada ‘cream’ di antara paling ‘cream’ yang menganggotai Majlis Profesor Negara. Tak cukup dengan itu majlis ini kita diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagaimana diumumkan akhir bulan lalu.

Tentulah tak betul bagi mengatakan para profesor kita ‘bodoh’. Kalau bodoh macam mana boleh jadi profesor. Tetapi apa yang diketahui dan pernah ditulis oleh seorang pengkritik sosial di sebuah harian milik Umno suatu ketika dulu ialah betapa ahli akademik kita (dibaca termasuk profesor) hanya pandai tetapi tidak bijak dan jauh sekali bersifat atau setidaktidaknya mengambil sikap inovatif.

Betullah setakat banyak membaca dan mengkaji memperbanyakkan lagi ilmu.

Tetapi apa gunanya ilmu sekiranya ia tidak dapat memberikan manfaat berfaedah secara langsung kepada rakyat dan negara apatah lagi kepada warga global sebagaimana dilakukan oleh profesor dan ahli akademik negara lain yang menghasilkan pelbagai penemuan yang menyumbang langsung kepada kemanusian global.

Begitu pun sekiranya tidak dapat menjadi kumpulan inovatif sekalipun setidak-tidaknya jadilah penyampai ilmu yang berkesan.

Beberapa hari sebelum rencana ini ditulis, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengumumkan kajian penilaian ujian prestasi pelajar dari seluruh dunia. Malaysia menduduki tempat ke-39 daripada 44 negara yang tersenarai dalam ujian berkenaan dengan mata pencapaian purata sebanyak 444 berbanding mata purata semua negara sebanyak 500 mata. Singapura menduduki tempat pertama dengan memperolehi 556 mata.

Keputusan ini mencerminkan betapa profesor Malaysia sebagai sumber penyampai ilmu peringkat tertinggi gagal menyempurnakan tanggungjawabnya.

Justeru, sekiranya pekara yang sepatutnya dilakukan sebagai tanggungjawab pun tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya, bagaimanakah mereka dapat memberikan sumbangan berfaedah sebagai kumpulan think tank Perdana Menteri. Jauh sekali memberikan sumbangan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Steve Jobs dan John Cormack.

Nampaknya bukan sahaja Najib Razak yang sedang hanyut. Turut bersama para profesor dan akhirnya para pelajar kita. Maka ke manakah hanyutnya Malaysia kelak?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan