Tukar MB: Tiga nama dalam senarai teratas?

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Selepas isu dua Menteri Besar BN bakal ditukar, dispekulasikan Mingguan Malaysia (Utusan) semalam, beberapa blog tampil membuat andaian negeri manakah yang akan berlaku pertukaran itu.

Dalam beberapa blog pro Umno, beberapa negeri disebut sebagai 'paling beresiko' untuk ditukar dengan menteri besar yang baru.

"Paling berisiko akan diganti ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang berada dalam senarai atas pertukaran menteri besar sejak sebelum pilihan raya lalu.

"Selain itu, Menteri Besar Terengganu dan Ketua Menteri Sabah juga mungkin berhadapan risiko digantikan berikutan masalah dalaman negeri yang tidak berkesudahan.

"Namun mungkin juga kejutan akan berlaku di utara Semenanjung Malaysia, Perlis," tulis blog mykmu.net yang buat telahan.

Isu pertukaran menteri besar diulas dalam satu tulisan Bisik-bisik Awang Selamat di akhbar Umno itu semalam.

Tanpa menamakan nama mana-mana menteri besar yang dimaksudkan, tulisan dalam akhbar itu turut mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sudah mempunyai senarai nama sebagai pengganti.

Umno kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut – Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Selain itu, ketua menteri Umno turut mengetuai pentadbiran di dua negeri, Melaka dan Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan