AWAS!! Diabetes pembunuh senyap: Sihat, belum tentu 'bebas' diabetes

SUATU yang agak menyedihkan, apabila masih ramai di luar sana begitu yakin terselamat daripada menghidap diabetes atau kencing manis, penyakit yang sering kali dikaitkan puncanya dengan pengambilan gula berlebihan.

Keyakinan itu juga menyebabkan mereka mula mengambil sikap sambil lewa mengenainya serta komplikasi daripada penyakit itu yang berpotensi menjejaskan kehidupan seseorang individu.

Mereka juga terus mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan diet tidak seimbang walaupun menyedari semua itu akan menambah risiko menghidap penyakit kronik yang begitu membimbangkan ini.

Semuanya, kerana merasakan tubuh badan mereka 'sihat' dan tidak mengalami sebarang kesakitan yang boleh dikaitkan puncanya dengan diabetes.

Akan tetapi, adakah benar rasa sihat dan yakin itu bererti anda betul-betul 'bebas' daripada penyakit yang juga dikenali sebagai pembunuh senyap ini?.

SAYA SIHAT!
 
"Silap, kerana tanpa disedari anda mungkin penghidap diabetes," kata Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Perubatan, Perunding Kanan Endokrinologi, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed.

Dianggarkan kira-kira 50 peratus daripada mereka yang ada penyakit ini tidak mengetahui sedang menghidap kencing manis.

Ini susulan pesakit tidak mengalami sebarang tanda peringkat awal sehingga membuatkan mereka terus selesa dan tidak melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Mereka rasa sihat seperti orang biasa sehinggalah mula mengalami simptom-simptom seperti letih lesu, kerap kencing, berkali-kali rasa dahaga dan susut berat badan.

Keadaan ini, agak membahayakan kerana penyakit diabetes ibarat pembunuh yang bersembunyi dan akan muncul apabila ia sudah tidak terkawal.

"Biasanya, seseorang pesakit telah ada diabetes lebih kurang lima tahun sebelum mereka dapat tanda-tanda penyakit itu. Mereka harus sedar bahawa walaupun tidak ada tanda, tetapi kalau paras glukos darah tinggi, mereka berisiko mendapat komplikasi diabetes pada kemudian hari.

"Adalah lebih baik mengawalnya dari awal supaya tidak mendapat komplikasi yang akan menyusahkan mereka dan berisiko maut," katanya.

Antara sebab kelenjar pankreas tidak mengeluarkan insulin yang cukup bagi mengawal paras gula dalam darah adalah disebabkan faktor genetik (keturunan), lanjut usia, kegemukan dan kemusnahan sel pembuat insulin.

TREND MEMBIMBANGKAN
 
Terdapat dua jenis diabetes iaitu jenis 1, merujuk kepada ketiadaan hormon insulin langsung dalam badan manakala jenis 2, badan tidak mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk mengawal paras gula dalam darah.

Kebiasaannya, diabetes jenis 1 yang juga sebelum ini dikenali sebagai 'diabetes juvenil' tidak dapat dielakkan berikutan ia faktor genetik.

Mereka mewarisinya daripada ibu bapa dan selalunya akan didiagnos menghidap diabetes jenis ini sejak kecil mahupun ketika meniti dunia remaja.

Bagaimanapun, komuniti ini tidak menggusarkan kerana peratusan mereka kecil tidak melebihi 10 peratus. Paling membimbangkan negara ketika ini adalah trend peningkatan diabetes jenis 2, yang mana faktor penyumbangnya boleh dikawal tetapi tidak diambil perhatian jitu oleh masyarakat.

"Selain faktor genetik, penyumbang utama diabetes jenis ini adalah disebabkan gaya hidup moden yang sering kali dikaitkan persekitaran kehidupan tidak sihat dan tidak aktif.

"Diabetes jenis 2 adalah paling lazim dan menyumbang kepada 90 peratus kes penyakit ini di seluruh dunia," katanya kepada Bernama.
 
SELURUH DUNIA
 
Kebimbangan terhadap penyakit kronik ini tidak hanya kepada negara malahan meliputi seluruh dunia apabila turut sama terasa terancam dengan peratusannya yang meningkat setiap tahun.

Kajian oleh International Diabetes Federation 2013 (IDF) mendapati sebanyak 382 juta manusia hidup dengan penyakit ini di seluruh dunia dan dijangka jumlahnya akan melonjak kepada 592 juta orang pada tahun 2035.

Di Malaysia jumlah penghidap diabetes juga agak membimbangkan. Menteri Kesihatan Datuk Seri S.Subramaniam dipetik sebagai berkata pada tahun 2013, jumlah penghidap diabetes mengalami peningkatan kepada 2.6 juta penghidap atau 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini berbanding pada tahun 2000 kira-kira 0.94 juta penghidap.

KOMPLIKASI MENAKUTKAN
 
Peningkatan statistik ini juga disebabkan semakin ramai mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti yang dikenalpasti antara punca diabetes.

Di Malaysia, 82 peratus pesakit diabetes jenis 2 dikategori sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

"Ramai yang sedar sebab-sebab penyakit ini, tetapi mereka tidak mengambil tindakan mengurangkan pengambilan makanan atau meningkatkan aktiviti fizikal bagi mencegah atau mengawal diabetes," kata Dr Mafauzy.

Walhal pengurusan berat badan yang berkesan amat penting terutama bagi pesakit diabetes jenis 2 kerana jika terlebih atau obes, pengawalan paras glukosa darah akan menjadi lebih sukar.

Lantaran itu, sikap dan mentaliti yang tidak kisah dengan penyakit ini dan komplikasinya harus diubah kerana boleh membahayakan nyawa apabila ia tidak terkawal.

Diabetes tidak terkawal berpotensi menyerang organ lain secara senyap sehingga mendatangkan komplikasi yang akhirnya membuatkan mereka berhadapan trauma sepanjang hayat ataupun mengakibatkan maut.

"Komplikasi diabetes bergantung kepada berapa lama paras glukos darah tinggi dan berapa tinggi paras glukos darah. Makin lama pesakit berada dalam situasi paras glukos darah tinggi, maka makin tinggi risiko dia mendapat komplikasi.

"Diabetes tidak terkawal akan menyebabkan kerosakan saluran darah, mata, buah pinggang, saraf dan kaki. Ini juga akan menyebabkan sakit jantung, strok, kurang penglihatan atau buta, kehilangan deria rasa dan kaki terpaksa dipotong," jelas Dr Mafauzy.

TANYA DIRI ANDA
   
Hakikat ini, mengasak akan keperluan mengamalkan budaya pemakanan seimbang, mengawal pengambilan gula serta mengaplikasikan persekitaran hidup yang sihat.

Apatah lagi, penyakit ini tidak ada penawarnya tetapi boleh dicegah atau bertahan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Ketika ini, rawatan diabetes selain daripada amalan pemakanan betul dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah ubat-ubatan dan suntikan, kata Dr Mafauzy.

"Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin kerana mereka tiada insulin langsung yang dikeluarkan oleh pankreas. Jenis 2 pula boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang boleh membantu insulin yang ada dalam badan mengawal paras glukos darah," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan