Abu Hassan Adam
Satu waktu dulu pernah aku tulis membayangkan kemungkinan UMNO akan senasib dengan dinosaur, sejenis binatang yang gagah dan kuat yang ditakuti oleh semua binanatang di atas bumi ini, akhirnya hilang dan lenyap. Oleh itu aku membayangkan apakah UMNO juga akan serupa nasibnya dengan dinosaur. Kini sudah mula muncul satu ‘petunjuk’ yang dinamakan ‘Dyana Mania’ dalam PRK Teluk Intan. Apakah ‘Dyana Mania’ akan menjadi pemangkin kepada proses penghijrahan anak muda Melayu khususnya meninggalkan UMNO.
Apakah Tun Mahathir yang merupakan pemimpin UMNO begitu lama sudah dapat membayangkan keadaan sedemikian akan berlaku. Mungkin agaknya Tun sudah dapat merasakan keadaan sedemikian akan berlaku dan hanya sekadarkan beliau tidak mahu menyebutnya dan mungkin juga terlalu gerun untuk melafazkannya. Jikalau tidak begitu ‘ramalan’nya tentulah tidak mungkin beliau begitu gabra meperkatakan tentang penampilan anak muda bernama Dyana dalam PRK Teluk Intan.
Mungkin pemimpin UMNO yang lain tidak dapat nampak apa yang ‘dilihat’ dan ‘direnung’ oleh Tun Mahathir. Pastinya Tun Mahathir amat bimbang tentang perkembangan yang berlaku kini. Apa tidaknya. Dulu DAP adalah dianggap sebagai parti kaum Cina. Dan sehingga kini DAP sentiasa dianggap dan diwar-warkan sebagai parti rasis yang memperjuangkan kepentingan Cina dan anti Melayu. Tetapi dengan kehadiran beberapa pemimpin Melayu dalam DAP, tohmahan dan anggapan sebegini pastinya akan hilang dengan sendirinya.
Yang paling merunsingkan para pemimpin UMNO ialah hilangnya label UMNO yang sentiasa dikatakan bahawa UMNO sahajalah yang akan memperjuangkan orang Melayu. Kini sudah ada tiga parti yang kuat dan kukuh yang bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu tetapi juga kaum Cina, India, Kadazan, Dayak dll Maknanya lama kelamaan orang Melayu yang berpendidikan akan lebih selesa dengan parti yang berorientasikan bangsa Malaysia, yang berteraskan orang Melayu.
Hakikat ini yang pada fikiran aku amat membimbangkan pemimpin UMNO terutama Tun Dr. Mahathir. Dan kemunculan Dyana mungkin merupakan ‘catalyst’ dan ‘game changer’ yang akan mencetuskan berbagai-bagai perkembangan selepas ini. Mungkin….
Oleh itu mahu tak mahu UMNO kena berubah ikut zaman. Jikalau tidak nasib UMNO akan sama dengan nasib Dinosaur. Lenyap di atas muka bumi ini. Dalam banyak hal UMNO terpaksa buat perubahan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘sekali air bah sekali pasir berubah’. ‘Air bah’ telah pun berlaku dan telah meninggalkan kesan-kesan yang memaksa ‘pasir’ berubah. Hukum alam mengatakan bahawa pasir mesti berubah selepas air bah. Oleh itu tidak salahnya ahli UMNO melihat keadaan sedemikian daripada mencari jalan menyalahkan ‘orang’ itu dan menyalahkan ‘ pihak’ ini. Buang masa. Bukan zamannya kita membebel dan menyalahkan orang lain. Orang UMNO juga selalu’ menyalak’ ke sana ke mari menyuruh orang lain ‘ think positive’. Diri sendiri bagaimana?
Aku perhatikan ramai pemimpin UMNO yang masih berada pada tahap tahun-tahun 60an. Jikalau ada pun perubahan cara berfikir dan bertindak, ia hanya berlaku dikalangan setengah pemimpin. Sedikit benar bilangannya. Apa tidaknya. Hadirkanlah diri di Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan pada setiap tahun itu. Itulah rupanya semenjak dari dulu sehinggalah sekarang. Dari segi penyampaian dan ‘input’ aku rasa tak banyak beza dengan keadaan pada tahun-tahun 60an dan 70an, walaupun ada usaha pembaharuan yang cuba hendak diketengahkan oleh golongan muda, namun usaha yang sedemikian ‘tak jalan’. Itulah UMNO sehingga kini dan mungkin selama-lamanya.
Berbalik kepada persoalan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Aku tidak dapat memberikan formulanya. Aku hanya ‘pandai’ mengkritik tetapi tidak dapat memberikan penyelesaiannya. Itu aku mengakuinya. Dan bukan pula tugas aku nak memikirkannya. Cuma aku dapat memberikan senario yang sedang dan akan dihadapi oleh UMNO sekiranya mahu menjadikan parti itu relevan.
UMNO terpaksa mengambil kira perasaan anak muda generasi DEB, terutamanya anak muda Melayu yang berpendidikan tinggi. Cara berfikir mereka agak berlainan dengan cara berfikir generasi lama – generasi sebelum DEB. Golongan ini tediri daripada para eksekutif yang boleh berdikari dengan ilmu dan ijazah yang mereka perolehi. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’ atau penggantungan kepada sesiapa. Mereka berdikari. Lantas cara berfikir mereka juga amat sukar dipengaruhi.
Ramai anak muda generasi Kurun ke 21 sudah tidak berfikir berlandaskan kaum dan bangsa. Ini berlaku pada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Mereka sudah tidak berapa peduli sangat tentang kedudukan kaum dan bangsa. Mereka adalah Bangsa Malaysia. Keadaan ini berlaku adalah ekoran daripada sukatan pelajaran yang merentasi kurikulum yang didedahkan kepada mereka di sekolah-sekolah.
Aku perhatikan UMNO secara umumnya semacam tidak sedar tentang perkembangan yang dinyatakan di atas. UMNO masih syok sendiri. UMNO masih ‘melayan’ orang Melayu. Masih ‘menjaga’ hati orang Melayu. Begitu ‘enaknya’ melayan ‘mimpi-mimpi’ yang endah sehinggakan ramai orang Melayu tidak sedar tentang perkembangan yang berlaku disekeliling.
Memang berlaku. Dan aku perhatikan keadaan itu dengan penuh minat. Aku nampak macam cerita seekor katak yang berada dalam air yang dipanaskan. Disebabkan terlalu selesa berada dalam air berkenaan, sikatak lupa bahawa air sedang dipanaskan. Si katak baru sedar yang ia dalam bahaya setelah air telah mendidik.
Kesannya….. fikirlah sendiri…..
Abuhassanadam
27 Mei 2014
http://abuhassanadam.blogspot.com/
if you refferring this matter to PKR, yes they will become one. and not s dinasour. they are just political party tempelan yang akan ranap walaupun masih muda dan tak sempat nak jadi dinasour sweperti UMNO.
BalasPadam