Risiko Mempunyai 'Smartphone'

al-bahanj
Sedang Abdullah beriktikaf di sebuah masjid di Shah Alam, tiba-tiba beliau terperasan ada seorang lelaki Bangladeshi asyik memandangnya sejak dari tadi. Lelaki itu memandang-mandang dari tempat duduknya yang kira-kira 4 meter jaraknya. Sedang beriktikaf juga.

Walaupun Abdullah berasa pelik, namun beliau tidak mempedulikannya kerana ramai orang sedang duduk-duduk di dalam kawasan yang sama. Beliau tidak risau. Cuma berasa tidak selesa.

Lama kemudian, lelaki berkurta putih itu pun bangun dan datang menghampiri Abdullah. Abdullah menjeling. Semakin pelik.

Dengan ramah, lelaki itu terus mengucapkan salam lantas terus bertanya:

“Itu Al-Quran boleh install ka dalam ini handphone?” Tanya lelaki itu sambil menunjukkan telefon bimbit kecilnya. Entah model apa, Abdullah pun tidak pasti.

Rupa-rupanya gelagat Abdullah yang terkumat kamit sambil mengadap telefon bimbitnya telah diperhatikan oleh lelaki itu. Abdullah sedang membaca Al-Quran melalui telefon bimbitnya.
“Oh, tak pastilah. Saya rasa handphone mesti ada itu Android, baru boleh install…” Abdullah menjawab dengan lembut.

“Ooo… Saya tak tau ini handphone ada ka takda…? Boleh check ka?” Lelaki itu menunjukkan minat.

Abdullah meminta telefon bimbit lelaki tersebut untuk dibelek dan diperiksa.

“Oh, ini handphone tak boleh. Kalau mau install ini Al-Quran, mesti pakai smartphone… Baru boleh.” Jawab Abdullah cuba menjelaskan.

“Ooo… Berapa paling murah kalau mau itu handphone?” Lelaki tersebut bertanya lagi dengan penuh minat dan semangat sambil memandang telefon bimbitnya.

“Tak tahulah. Mungkin RM400 rasanya.” Abdullah agak-agak sahaja.

“RM400??!” Lelaki tersebut terkejut.

“Rasanyalah…” Abdullah mengiyakan sambil mengangguk.

“Oh, saja tanya… sorry aaa…” Dengan senyum yang kelat beliau kemudian mengundur ke tempatnya semula. Nampak riak kecewa pada wajahnya.

Ah, sedih pulak hati Abdullah melihat reaksi lelaki tersebut. Abdullah termenung sendirian memikirkan tentang keinginan mulia lelaki tersebut. Agaknya, mungkin sudah lama beliau memperhatikan orang lain dengan kecanggihan telefon bimbit masing-masing yang dengannya boleh membaca Al-Quran bila-bila masa dan di mana sahaja. Beliau juga menanam hasrat sama mungkin. Mudahlah dia nanti untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran semahu-mahunya.

Dalam kesedihan memikirkan tentang perasaan kecewa si lelaki itu, Abdullah bermonolog memuhasabah diri:

“Duhai lelaki, kamu yang tidak memiliki smartphone dan tiada perisian Al-Quran dalam handphone bakal terselamat dari beberapa soalan dari jutaan soalan pada Hari Penghisaban.

Kami yang ada ini, kebarangkalian besar tentu disoal pada Hari Kiamat:
  • “Kenapa tak baca, walhal Al-Quran sudah pun berada dalam handphone kamu??!”
  • “Kenapa asyik buka Facebook dan WhatsApp? Tidak buka applikasi Al-Quran??!”
  • “Kenapa asyik main game dalam smartphone, tapi Al-Quran tak tengok pun??!”
  • “Kenapa itu?”
  • “Kenapa ini?”
Hah ambik! Susah dan perit nak jawab nanti…! Amat besar risiko bagi pengguna smartphone yang tidak memanfaatkan nikmat tersebut. Yang tidak memilikinya, maka dia terselamat dari fitnah ini…”

Semoga ALLAH berikan hidayah dan taufiqNYA buat kita agar dapat selalu membaca Al-Quran samada melalui mushaf atau pun melalui perisian-perisian yang tersedia di dalam telefon bimbit kita, amin…

La haula wa la quwwata illa billah…


**Baca juga:

2 ulasan:

  1. Yang saja taknak beli dan install pun kena soal juga.. saja nak lari dari kemudahan..

    BalasPadam
  2. kalau tak install pun kena Tanya juga.. sbb dah ada kemudahan..

    BalasPadam