Sudah 3 rusuhan di 3 tempat dalam masa 3 hari, mengapa tiada tindakan?

LIM LIP ENG

TIGA hari berturut-turut, Malaysia telah menyaksikan tiga rusuhan ganas yang dipelopori oleh pemuda Umno yang cuba mengganggu-gugat keamanan yang dinikmati masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


Pada hari pertama, gerombolan perusuh Umno ini merempuh masuk ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dan mencemarkan kemuliaan sebuah institusi yang mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong dalam sebuah sistem demokrasi dengan raja berperlembagaan.

Pada hari kedua, gerombolan Umno juga telah berhimpun dan merusuh di ibu pejabat kebangsaan DAP di Kuala Lumpur. Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafii telah mengancam untuk membakar bangunan DAP. Papan tanda ibu pejabat parti dirosakkan, manakala petugas parti dan juga anggota polis dikasari. Kumpulan ini turut bertindak membakar patung wakil rakyat DAP.

Tidak berhenti di situ, walaupun telah ditegur oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, gerombolan Umno ini merusuh pula di pejabat DAP di Kuantan.

Pada hari ketiga, sekali lagi keganasan tercetus dan pintu pejabat ditendang dengan ganas sehingga bengkok manakala bangunan tersebut dihujani telur busuk.

Persoalan yang timbul kini ialah ke mana pula mereka akan bertindak tidak rasional dan ganas selepas ini? Adakah mereka akan merusuh di pejabat DAP Selangor, atau adakah mereka akan merusuh di Dun Selangor pula?

Melihat kepada trend serangan-serangan yang tidak diambil tindakan undang-undang ini, kita melihat kemungkinan bahawa kumpulan ini nampaknya mendapat lesen besar untuk mencetuskan kekecohan tanpa kemungkinan dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

Dengan ‘lesen’ besar ini, di manakah sasaran seterusnya untuk pemuda Umno untuk bertindak melakukan rusuhan ganas lagi?

Adakah pemimpin Umno, terutamanya presiden parti tersebut, Datuk Seri Najib Razak telah sama sekali gagal mengawal ahli-ahlinya? Atau adakah pimpinan Umno sememangnya mahu dan suka ahlinya bertindak seperti samseng?

Rakyat Malaysia resah dengan tindak-tanduk kumpulan yang merupakan anggota pelapis parti pemerintah. Kita pastinya tidak rela masa depan mereka ditadbir dan dikuasai sekumpulan samseng yang tidak rasional mahupun berakal waras.

Tidak ada tempat untuk keganasan di negara yang tercinta ini. Setelah tiga hari, tiga rusuhan, di tiga tempat berlainan; dengan tiada tindakan Perdana Menteri mesti campur tangan dan mengawal ahli-ahli partinya. Mereka yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan ini mesti segera dihadapkan ke muka pengadilan, sebelum gerombolan ini bertindak menyerang sasaran mereka yang seterusnya.

Penulis ialah Ahli Parlimen Segambut.

2 ulasan:

  1. Babi2 tonyoh mengamuk sakan 3hari3mlm...

    BalasPadam
  2. Wajar sekali kepimpinan agensi penguatkuasa di tukar keseluruhanya apabila berlaku peralihan kuasa...dalam kes keganasan oleh pemuda umno dan pekida di DUN Penang, kuantan dan kuala lumpur...nampaknya kepimpinan pdrm macam dah mati! Malang sungguh nasib rakyat malaysia dapat penguatkuasa yang korup dan tidak berwibawa...

    BalasPadam