El Nino: Malaysia bakal mengalami panas selama 18 bulan?

MAZNORIZAN MOHAMAD
MAZNORIZAN MOHAMAD
MUNGKIN ramai yang masih tidak banyak mengetahui mengenai ancaman El Nino. Ada yang sangat bimbang berhadapan dengan krisis cuaca itu, tetapi ada juga yang tidak langsung mengambil tahu perkara tersebut. Untuk mengetahui secara mendalam berkenaan fenomena tersebut, ikuti temu bual wartawan Sinar Harian Norutul Ilham Mad Jari, juru video Sinar Harian Online, Nizam MK dan juru foto, Sharifuddin Abdul Rahim bersama Pengarah Bahagian Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi, MAZNORIZAN MOHAMAD.

Boleh puan terangkan apa itu El Nino?
El Nino adalah fenomena cuaca jangka panjang yang berskala global yang berlaku akibat daripada interaksi antara lautan dan atmosfera yang berulang.

Ia berlaku apabila anomali suhu permukaan air laut di kawasan khatulistiwa tengah dan timur Lautan Pasifik yang melebihi 0.5 darjah celcius sekurang-kurangnya lima bulan berturut-turut.

Bagaimanapun, El Nino dikategorikan sebagai lemah apabila anomali suhu air permukaan laut adalah julat 0.5 -0.9 darjah celcius, kategori sederhana (1.0-1.4 darjah celcius).

Semasa tempoh El Nino datang, air laut akan lebih panas di pasifik tengah dan timur membekalkan haba dan lembapan tambahan kepada atmosfera yang berada di atasnya.

Pergerakan udara lembap akan menaik dengan kuat dan membentuk kawasan berawan konvektif dan ribut petir yang luas serta hujan lebat di kawasan berkenaan.

Pada masa yang sama, di bahagian Khatulistiwa Pasifik Barat termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina (kawasan Asia Tenggara) akan mengalami tekanan atmosfera yang secara relatifnya meningkat sedikit dan ini akan menyebabkan cuaca menjadi lebih kering berbanding dengan keadaan biasa.

Apa persediaan kerajaan untuk menghadapi ancaman El Nino?

Antara langkah-langkah kerajaan sebagai persediaan awal untuk mengurangkan impak fenomena El Nino adalah dengan mengaktifkan satu Jawatankuasa Kabinet yang sentiasa memantau dan meneliti perkembangan El Nino.

Jawatankuasa Kebangsaan ini akan menangani kesan fenomena El Nino terhadap bekalan air, kesihatan, pertanian dan sektor-sektor lain yang berkaitan di seluruh negara.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, urus setianya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha), ahli-ahlinya pula terdiri daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Industri Asas Tani, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti).

Selain itu, kita akan meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan operasi pembenihan awan dan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam masa yang sama memulakan kajian khusus untuk mengkaji serta memastikan pembenihan awam dapat dioptimumkan operasinya.

Kenapa Malaysia antara negara yang diancam El Nino?

El Nino ialah fenomena berskala global yang memberi impak dan kesan yang luas serta serius terhadap keadaan cuaca dan iklim global termasuk di kawasan Asia Tenggara termasuk Afrika, India, Benua Amerika, Australia dan juga negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Negara-negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan juga utara Australia biasanya akan mengalami cuaca yang lebih kering. Sementara beberapa kawasan di pantai barat benua Amerika (termasuk Amerika Utara) akan mengalami cuaca yang lebih lembap dan berkemungkinan juga banjir buruk boleh berlaku. Bagaimanapun, keadaan ini bergantung kepada kekuatan episod El Nino itu sendiri.

Adakah El Nino berlaku setiap tahun?

Fenomena El Nino bukannya fenomena bermusim, tetapi cuaca jangka panjang yang berskala global berlaku pada puratanya antara tiga hingga tujuh tahun sekali daripada pemanasan permukaan air laut di kawasan tropika tengah dan timur Lautan Pasifik. Tempoh hayat El Nino biasanya antara enam hingga 18 bulan.

Apakah ancaman ini akan mendatangkan kesan kesihatan kepada orang awam?

Di Malaysia, secara umumnya El Nino boleh menyebabkan jumlah hujan yang diterima akan berkurangan terutamanya di negeri-negeri Sabah dan Sarawak. Sementara di Semenanjung pula, kesannya tidak berapa ketara. Bagaimanapun, boleh jadi ekstrem jika El Nino adalah dalam kategori kuat.

Ciri-ciri episod El Nino boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering seterusnya memudahkan berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut yang serius. Keadaan ini menyebabkan kejadian jerebu teruk dan tebal sehingga merentas sempadan seperti yang berlaku pada 1997 dan 1998 yang akan memberikan kesan yang signifikan terutamanya kepada kesihatan, sektor pertanian, sektor penerbangan, sektor pelancongan dan aktiviti luar yang lain.

Bila tanah gambut terbakar, ia akan lepaskan asap yang akhirnya berlaku jerebu, bila jerebu secara automatik akan berikan kesan kepada orang berpenyakit dan sensitif antara individu yang berisiko seperti penghidap asma, golongan tua dan kanak-kanak, itu sahaja ada kesannya kepada kesihatan.

Apakah langkah-langkah boleh diambil untuk menghadapi El Nino?

Beberapa langkah yang disyorkan bagi membuat persediaan awal untuk mengurangkan impak fenomena El Nino antaranya menggunakan air secara berhemah, memastikan negara mempunyai simpanan air yang mencukupi atau sediakan takungan tambahan untuk kegunaan negeri masing-masing, merancang dan menyelaras aktiviti luar dan aktiviti dalaman terutamanya pihak sekolah dan belia.

Selain itu, orang ramai digalakkan merancang aktiviti seharian dan dinasihatkan untuk menyediakan topeng muka dan tidak dibenarkan melakukan pembakaran terbuka kerana akan menambahkan aspek jerebu.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dari masa ke semasa keadaan cuaca di Malaysia di laman MetMalaysia iaitu www.met.gov.my yang sentiasa dikemaskini atau menghubungi terus MetMalaysia di talian 03-79678116 atau hotline 1-300-22-1MET pada bila-bila masa.

Selain Jabatan Meteorologi, pihak mana lagi yang akan bertanggungjawab bagi mengkaji ancaman El Nino?

Selain Jabatan Meteorologi Malaysia, terdapat juga pihak universiti sama ada swasta atau awam, agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) yang turut membuat kajian berkenaan fenomena El Nino.

Berapa lama tempoh ancaman El Nino yang bakal melanda Malaysia?

Fenomena El Nino kebiasaannya mula terbentuk pada pertengahan tahun iaitu sekitar Jun sehingga September dan akan mencapai kemuncak pada penghujung tahun iaitu sekitar November sehingga Disember atau awal tahun berikutnya Januari sehingga Mac dan seterusnya akan menjadi lemah secara perlahan-lahan.

Episod El Nino ini boleh berterusan selama enam hingga 18 bulan. Corak cuaca hasil daripada impak fenomena El Nino hanya boleh dikesan pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Adakah pihak Meteorologi akan melakukan pembenihan awan bagi mengurangkan ancaman El Nino?

Sebenarnya kita sudah banyak kali buat pembenihan awan sejak Mac lalu, semasa akhir angin monsun timur laut, sebab cuaca ketika itu kering. Sehingga kini kita sudah buat 49 kali penerbangan untuk pembenihan awan.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan