Nazri Aziz bakal ganti Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri?

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Desas-desus perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin diperkuatkan lagi oleh tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Menulis di dalam blog beliau zamkata.blogspot, bekas menteri itu mendedahkan Muhyiddin sebenarnya sudah lama menyatakan hasrat untuk berundur dari kabinet Datuk Seri Najib Razak.

"Muhyiddin memang telah diketahui umum memberitahu hasratnya untuk bersara kepada rakan rakan rapatnya.

"Walaupun alasannya adalah umur tetapi beliau dikatakan menyimpan perasaan kecewa yang mendalam dalam beberapa hal," katanya.

Sejak awal minggu ini desas-desus kononnya Muhyiddin akan digugurkan selepas rombakan kabinet berlegar di alam maya.

Malah perkara tersebut didedahkan sendiri oleh aktivis-aktivis veteran Umno.

Muhyiddin semalam bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyerahkan kedudukan beliau kepada Najib untuk menentukan.

Beliau menegaskan, sehingga hari ini tiada sebarang isu yang dibangkitkan berhubung kedudukannya dan perdana menteri tidak pula memaklumkan apa-apa kepadanya.

Menyentuh rombakan kabinet, Zam mendakwa dua orang menteri baru yang pasti akan diantik ialah dari MCA dan Gerakan.

"Dan kabarnya Datuk Ahmad Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri akan berpindah kementerian untuk digantikan dengan Menteri Pelancongan Datuk Nazri Aziz," tulisnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan