Saya bukan Ahmad Said - Ibu Dyana Sofya

Saya tidak melakukan kesalahan besar

TELUK INTAN, 1 Jun: Yammy Samad, ibu kepada calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menentukan kedudukannya dalam parti.

Ketika ditanya berhubung perkara berkenaan, dia mempertahankan tindakannya memberi sokongan kepada Dyana bukan satu kesalahan besar.

“Saya tidak akan keluar daripada UMNO, terpulang kepada parti untuk pecat atau tidak.

“Cuma saya bukan Ahmad Said kerana masalah persandingan kenduri anak, dia keluar UMNO. Saya juga bukan Tun Dr. Mahathir kerana Mukhriz kalah ketua pemuda, dia keluar UMNO. Tapi, anak saya bertanding atas tiket DAP, saya masih ahli UMNO.

“Saya mahu tunjukkan kasih sayang seorang ibu, jangan pisah anak kerana parti,” katanya yang masih menjadi ahli UMNO Cawangan Kampung Tawas Tambahan, Ipoh ketika ditemuramah The Rakyat Post.

Mengulas mengenai kekalahan anaknya, Yammy menegaskan Dyana semakin kuat mengharungi perjalanan politik walaupun kesal fitnah jahat yang dibuat pihak tertentu.

“Saya terima dengan kekalahan dengan terbuka. Dyana semakin kuat walaupun nyaris-nyaris menang, terima kasih kepada DAP kerana memberi peluang kepada Dyana.

“Cuma saya kesal cara pihak lawan cipta fitnah seperti Dyana perokok, pemabuk dan ada hubungan dengan orang Cina. Saya kenal anak saya bagaimana,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai keputusan Dyana Sofya untuk menetap di Teluk Intan, Yammy menyerahkan perkara itu kepada pimpinan DAP dengan harapan anaknya bangkit daripada kekalahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Pimpinan DAP komited didik Dyana betul-betul supaya dapat jadi pemimpin muda masa depan. Berbanding dengan BN, masing-masing mahu menguatkan kedudukan mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan