Ini antara beberapa kegagalan-kegagalan Najib: tunggu apa lagi Najib, bersaralah!

Zulkifli Yahaya
KEHILANGAN pesawat MH370 sudah memasuki bulan ketiga. Sejak Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengumumkan ia berakhir di Lautan Hindi, tiada secebis tinggalan daripada pesawat yang didakwa mendarat atau terhempas di lautan itu dijumpai.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kenyataan Najib tidak betul. “Seseorang sedang menyembunyikan sesuatu,” katanya. Tambahnya, kapal terbang boleh mendarat dengan selamat atau terhempas tetapi tidak boleh hilang begitu sahaja.

Di mata Mahathir, rakyat Malaysia, mahupun dunia; Najib benar-benar sudah hilang wibawa berhubung isu MH370. Cakap Najib tidak boleh dipakai. Diam beliau berhubung isu tersebut adalah lebih baik daripada bercakap tetapi tidak betul. Masalahnya mana mungkin ketua kerajaan tidak bercakap berhubung perkara besar yang berlaku dalam negara.

Najib dihadapkan juga dengan isu pergolakan di Terengganu sehingga terjebak dalam situasi amat mencemaskan, iaitu tumbangnya kerajaan BN. Bekas Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Rosli Daud isytihar keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Umno tinggal 14 kerusi manakala Pakatan 15. Jika tiga Adun tersebut mengambil sikap tidak menyokong sesiapa sekalipun, ia sudah cukup kerusi untuk menumbangkan BN.

Sekalipun ketiga-tiga Adun tersebut berjaya ditarik semula melalui kaedah yang ‘sedia dimaklumi’ dalam Umno, imej Najib bukan setakat tercalar tetapi tercedera teruk. Mana ada parti di mana orang boleh keluar masuk sesuka hati macam masuk keluar jamban. Menerima semula si pembelot dalam masa yang singkat adalah kerja yang tidak bermaruah. Najib tiada pilihan, tumbang sebuah kerajaan di depan mata lebih tidak bermaruah.

Dari aspek lain, kejutan yang berlaku ialah pembelotan seorang bekas menteri besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. Bukan calang-calang jawatan.

Kalau orang bertaraf itu sanggup khianati parti sendiri, maka setakat mana agaknya keikhlasan para pemimpin dan ahli bawahan parti. Hilang jati diri pendukung itu adalah bayangan kegagalan seorang pemimpin tertinggi parti. Maknanya Najib gagal lagi dalam isu ini.

Belum reda isu di Terengganu, BN Sarawak pula bergolak.

Sepuluh wakil rakyat BN, keluar parti masing-masing dan menubuhkan parti baru iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras). Enam daripadanya adalah daripada Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan empat lagi daripada Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP). Para pemimpin BN Pusat hanya tengok dengan melopong.

Parti-parti komponen BN Sarawak sudah memberi amaran tidak akan menerima kemasukan Teras ke dalam BN Sarawak, bermakna BN sudah kehilangan 10 kerusi di Sarawak secara sia-sia.

Apa Najib buat untuk redakan politik Sarawak? Najib tidak mampu berbuat apa-apa. Dia langsung hilang wibawa dan BN seolah-olah hilang ketua sekarang kerana masalah dalaman parti yang begitu besar tidak mampu lagi ditangani.

Najib sekali lagi memalukan partinya sendiri apabila menarik diri dalam pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor yang berlaku kekosongan akibat kematian penyandangnya, Karpal Singh.

Belum pernah berlaku dalam sejarah, BN tidak bertanding PRK setelah berlaku kekosongan akibat kematian.

Semua orang tahu BN sukar untuk menang di situ, tetapi mereka wajar bertanding untuk mengurangkan majoriti yang diperolehi oleh DAP. Kalau kurang 10 undi pun, memadai bagi BN memukul canang ke seluruh negara bahawa pengaruh BN meningkat dan DAP merosot.

Bukankah itulah ‘kejayaan’ BN setiap kali kalah PRK? Mengangkat bendera putih sebelum masuk gelanggang merupakan satu lagi catatan kegagalan Najib sebagai Pengerusi BN.

Pasca PRU13, rakyat diulit tekanan kos sara hidup yang meningkat. Semua orang merungut, termasuk rakyat yang telah mengundi BN.

Kerajaan pimpinan Najib tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengatasinya selain memberi pelbagai alasan untuk menutup kelemahan kerajaan. Di celahcelah derita rakyat bawahan, Najib umumkan pula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan terhadap semua orang termasuk rakyat bawahan yang miskin.

Sebaik BN hilang majoriti dua pertiga pada PRU12, Naib Presiden Umno ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan lantang mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan. Abdullah dengan sinis menjawab “Apakah dia (Muhyiddin) sudah tidak sabar-sabar lagi nak jadi Timbalan Perdana Menteri.” Seluruh negara menyaksikan drama tersebut. Akhirnya Tun Abdullah meletakkan juga jawatan. Najib mengulangi kegagalan Abdullah apabila gagal memperolehi mandat dua pertiga di Parlimen pada PRU13.

Tiada siapa pula dalam Umno berani menjadi hero untuk mendesak Najib melepaskan jawatan.

Abdullah gagal dapat majoriti dua pertiga. Kegagalan Najib lebih besar daripada itu, panjang senarainya. Perdana Menteri Korea Selatan letak jawatan hanya kerana sebuah feri karam. Perdana Menteri Malaysia kehilangan sebuah kapal terbang yang di dalamnya terdapat nyawa manusia dari pelbagai negara di dunia.

Kalau ada saki baki maruah dalam diri Perdana Menteri Malaysia, maka selayaknya beliau melepaskan jawatan.

1 ulasan:

  1. Satu lagi kegagalan luar biasa Najib ialah apabila BN menang di Teluk Intan. Kah ! Kah ! Kah !

    BalasPadam