TNB: Pendedahan Tan Sri Ani Arope, kenapa Najib terus pekakkan telinga?

Zulkifli Yahaya
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Ani Arope mendedahkan bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bertanggungjawab terhadap skandal subsidi minyak yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung kos berjumlah RM131.3 bilion pada tahun 2010.
Ani yang memilih untuk melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.

EPU memaksa Tenaga untuk membeli kuasa daripada pengeluar bebas elektrik (independent power producer – IPP), yakni Genting Sanyen, sebanyak 14sen/kWh walaupun terdapat penawaran sebanyak 12sen/kWh; dan IPP mengenakan bayaran sebanyak 16sen/kWh.
Rupa-rupanya “black out” di seluruh negara pada tahun 1992 adalah sengaja dirancang untuk mewujudkan IPP. Jika kita masih ingat black out tersebut telah menyebabkan kematian apabila sebuah keluarga menggunakan generator sebagai alternatif ketiadaan bekalan elektrik.

Asap tebal generator telah menyebabkan berlaku kematian.

Kerugian besar yang dialami oleh syarikat swasta, rakyat dan kematian adalah harga yang dibayar untuk mewujudkan IPP.

Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan bahawa khidmatnya tidak disambung gara-gara pinjaman bernilai RM40 juta yang dibuat seorang individu yang rapat dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

Individu tersebut menggunakan jaringan politiknya untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah. Individu itu berhutang dengan bank tetapi merundingkan penyelesaian dengan Umno. Begitulah mudahnya penyalahgunaan kuasa dan kedudukan mengambil tempat dalam kebanyakan penyelesaian kewangan di bawah BN.

Tanpa berselindung, Sabaruddin mendedahkan individu tersebut bertemu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Hasan Malek yang bertindak masuk campur tangan.

Pendedahan lebih besar yang berlaku sebelum itu ialah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Pendedahan berlaku selepas 29 tahun peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali.

Dalam Wikipedia juga peristiwa Memali dicatatkan.

“Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China,” dan kini terbukti laporan itu salah.

Jika tidak didedahkan, semua orang menganggap Dr Mahathir tidaklah sejahat Musa dalam isu Memali, walhal beliau berada dalam negara ketika itu bermakna beliau bertanggungjawab sepenuhnya bersama Musa dalam melakukan komplot pembunuhan tersebut. Sama ada Mahathir atau Musa yang melakukannya, tidak akan menjadikan kerajaan BN betul dalam isu Memali.

Persoalan dari tiga pendedahan besar yang dilakukan oleh bekas tiga tokoh besar dalam negara itu membuktikan bahawa di bawah sebuah kerajaan yang tidak pernah bertukar sejak merdeka; melakukan konspirasi dalam perkara besar dan berbohong mengenainya kepada rakyat adalah perkara yang sebenarnya berlaku.

Persoalan lain pula ialah, jika perkara yang sebesar itu disembunyikan dari pengetahuan rakyat dan terdedah juga akhirnya, maka akan wujud siri konspirasi yang lain yang disembunyikan daripada rakyat selama ini.

Apakah tidak mungkin suatu masa nanti ada bekas orang penting dalam kerajaan mendedahkan siapa dalang sebenar melakukan pembunuhan terhadap Antantuya Shaariibuu? Siapa yang mengarahkan rekod kemasukannya dalam negara dibatalkan.

Atau mungkin suatu hari nanti ada individu yang tampil mendedahkan konspirasi liwat 1 dan liwat 2? Bagaimana konspirasi dibuat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak? Atau mungkin bekas pemimpin Pakatan Rakyat yang kini memihak kepada BN akan mendedahkan habuan yang mereka terima di sebalik peristiwa pengkhianatan kepada parti masing-masing.

Senarainya terlalu panjang.

Semuanya serba mungkin dan tidak mustahil untuk terdedah suatu hari nanti, sebelum pendedahan di Yaumil Mahsyar.

Sebagai kerajaan yang zalim terhadap rakyat, rahsia kejahatan kerajaan biasanya akan terdedah selepas kerajaan tersebut tumbang. Situasi di Malaysia kini nampaknya, BN belum tumbang lagi tetapi kejahatan terdedah satu persatu.

“Kesetiaan” kepada Perdana Menteri selaku ketua kerajaan BN tampaknya sudah goyah. Mungkin juga ia sebagai satu percaman bahawa kerajaan yang ada benarbenar berada di penghujung usia.

Saya menjangkakan ada lagi siri pendedahan konspirasi jahat BN selepas ini oleh bekas tokoh-tokoh dalam negara.

Setakat pendedahan yang ada Perdana Menteri mengambil sikap memekakkan telinga. Kita lihat sejauh mana Najib mampu memekakkan telinga selepas ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan