Apa bakal terjadi kepada Selangor jika Khalid tidak lagi menerajui?

Hazlan Zakaria
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim bertegas bahawa kekalahannya (sekiranya tidak dapat dielakkan) di peringkat cabang PKR Kuala Selangor bagi pemilihan parti tidak akan memberi kesan kepadanya di dalam memimpin negeri Selangor.Namun, kedudukannya semakin tidak selesa dengan penentangan dari dalam PKR dan Pakatan, ditambah pula rungutan mengenai isu Kidex dan bekalan air Selangor yang dikendalinya.
Bagaimanapun, Khalid seakan mendapat sokongan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata keputusan samada Khalid akan dikekalkan hanya boleh dibuat dengan melibatkan keseluruhan pimpinan Pakatan serta perkenan Sultan.
Khalid kekal sebagai sasaran pihak dalaman PKR selain seterunya timbalan presiden PKR Azmin Ali, sebaik mengumumkan akan bertanding bagi jawatan nombor dua di dalam parti itu.

Selaku seorang yang baru terjun ke kancah politik PKR, mungkin Khalid dilihat terlalu gopoh. Tambahan pula beliau dipilih menerajui Selangor dengan mengenepikan pemimpin-pemimpin lebih senior.

Keputusan pemilihan parti menunjukkan penyandang jawatan, Azmin menang dengan hampir separuh daripada undi keseluruhan sambil Khalid dan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution memenangi undi selebihnya.

Ada yang berkata Saifuddin bertanding bagi memberi saingan terhadap Azmin, namun ada pula yang berkata langkah tersebut dibuat bagi memberi kekangan kepada Khalid daripada menumbangkan Azmin.

Tanpa Saifuddin di dalam persaingan yang berperanan memecah undi, Khalid berkemungkinan mampu memberi saingan sengit kepada Azmin.

Dan pada masa yang sama, muncul pula kelibat presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang baru ditabalkan sebagai ahli dewan undangan Kajang. Beliau diberitakan bakal mengambil alih jawatan MB selepas menggalas cabaran yang terdahulu dibawa suaminya Anwar yang tidak dapat bertanding kerana dijatuhi hukuman bagi kesalahan sodomi.

Semua ini mungkin petunjuk bahawa PKR sedang mencongak langkah menggantikan Khalid selaku pemimpin utama di negeri Selangor.

Kini Khalid turut berdepan kritikan daripada DAP dan PAS, yang kecewa dengan gaya pentadbirannya yang dianggap bersifat autokratik.

Sekiranya PKR dan Pakatan bersetuju menggantikan Khalid, bagaimanakah langkah ini akan memberi kesan kepada Selangor?

Pertama, ia mungkin membawa kepada rombakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan kerana calon selepas ini sudah tentu lebih bijak berpolitik berbanding Khalid. Sesiapa yang berhubungkait dengan Umno di dalam birokrasi negeri akan disingkirkan, dan pengganti mereka sudah tentunya lebih mesra Pakatan.

Dasar Khalid dilihat sebagai “jika anda melakukan tugas, saya tidak akan ganggu”. Ini menyaksikan ramai penyokong BN dikekalkan kerana prestasi mereka tidak mengecewakan.

Keduanya, proses tender terbuka yanng membolehkan kontraktor Umno bersaing secara adil tentu akan dimansuhkan.

Seorang kontraktor Umno berkata dia gemarkan tender terbuka yang diperkenalkan Khalid kerana mampu mendapat projek tanpa membayar komisyen, seperti yang dilakukan pada masa lalu di bawah pentadbiran BN.

Khabarnya ada di kalangan pemimpin Pakatan yang mahu negeri itu membantu kontraktor mesra Pakatan bagi memberi mereka galakan dan sokongan.

Maka pengurusan pemberian tender mungkin kembali kepada amalan yang dilakukan pada masa lalu.

Kita juga jangkakan kerajaan negeri akan lebih mudah berbelanja kerana PKR dan Pakatan kerap menyelar sikap kedekut Khalid.

Ada yang mendesak agar peruntukan kerajaan disegerakan bagi mengukuhkan kedudukan parti di samping membantu negeri-negeri Pakatan yang agak miskin.

Bagi rakyat Selangor pula, sokongan mereka sudah tidak segah dahulu, di mana Khalid pernah dianggap sebutir permata. Ternyata catuan air dan isu Kidex memberi kesan kepadanya.

Namun, ada juga yang akan kekal menyokongnya kerana jasa yang dilakukan di masa lalu.

Dari segi politik, tidak dapat dipastikan apa yang akan dilakukan Khalid sekiranya beliau digugurkan. Tetapi berdasarkan cabaran yang dibuatnya terhadap Azmin, Khalid bakal menjadi pengkritik penggantinya.

Seperti katanya, dia kurang celik politik tetapi terpaksa mempelajarinya ketika menerajui Selangor.

Mungkin Khalid dapat ditumbangkan di Kuala Selangor, tetapi beliau masih mempunyai pengaruh di kalangan ahli PKR serta warga Selangor. Mungkin ini mampu memberi kekuatan politik baginya.

Mungkin juga PAS dan DAP mempunyai calon kegemaran masing-masing, dan ini bakal menyebabkan sekutu Khalid menghalang langkah menggantikanya.

Malah perkara itu bakal menyaksikan kemelut bukan setakat di dalam PKR namun terhadap Pakatan di peringkat pusat.

Selangor dan Pakatan perlu bersedia dengan segala kemungkinan kerana sekiranya jawatan MB Selangor bertukar tangan, konflik dan perubahan mendadak tidak dapat dielakkan.
http://bm.theantdaily.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan