Israel bakal berdepan kekalahan lebih dahsyat

MOHD ARIF JUHANI
KEGEMBIRAAN umat Islam seluruh dunia menyambut bulan Ramadan terus bertukar derita apabila tentera Zionis-Israel bertindak membedil wilayah Gaza dengan serangan udara yang menatijahkan korban jiwa, kecederaan parah dan kemusnahan tempat tinggal penduduk Palestin.
Ketika ramai peminat seluruh dunia menangis apabila pasukan bola sepak Brazil yang juga tuan rumah Piala Dunia 2014 dibelasah 7-1 oleh Jerman, situasi yang lebih parah terpaksa dihadapi oleh penduduk Gaza berdepan dengan kekejaman negara haram yang dilindungi Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab.

Pelantikan presiden haram Mesir, Jeneral Abdel Fatah Al-Sisi juga dilihat seolah-olah menjadi ‘kunci’ kepada keberanian Zionis- Israel untuk kembali melakukan serangan terhadap penduduk Gaza selepas kepentingannya tergugat semasa Presiden Dr Mohamed Morsi memerintah negara itu.

Ketika artikel ini ditulis, laporan menyebut bahawa sebanyak 780 serangan udara dilancarkan dan memusnahkan 112 kediaman, 64 syahid, 450 cedera parah dan kebanyakan mangsa terdiri daripada kalangan wanita dan kanak-kanak.

Hakikat yang sukar untuk ditolak pula adalah dipercayai korban nyawa dan kemusnahan infrastruktur di Gaza akan terus meningkat berdasarkan kepada pendirian Perdana Menteri Zionis- Israel, Benjamin Netanyahu bahawa lebih 40,000 tentera dalam mode bersedia untuk melancarkan serangan melalui darat pula.

Menurut kenyataan Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, Operation Protective Edge yang dilancarkan oleh tentera Zionis-Israel (IDF) dengan tujuan untuk menghapuskan gerakan Islam, Hamas merupakan lanjutan kepada Operations Brother’s Keeper yang bertujuan kononnya untuk mengesan tiga remaja Israel yang diculik di Hebron.

Seperti yang mudah dijangka, kata Prof Hafidzi, secara spontan Zionis-Israel menuduh Hamas kononnya merupakan dalang penculikan itu walaupun pertubuhan Islam popular itu menafikan.

Strategi menuduh musuh melakukan jenayah yang tidak dilakukan ternyata memang kaedah yang kerap diulang-guna oleh negara haram Zionis-Israel itu bagi meneruskan tekanan terhadap musuhnya.

Tentunya kita masih ingat perang yang berlangsung di selatan Lubnan pada 2006 apabila serangan ketenteraan yang diambil oleh Zionis-Israel kononnya berdasarkan kepada motif untuk membebaskan dua orang tentera yang ditawan.

Bagaimanapun selepas hampir sebulan perang berlangsung antara Zionis-Israel dengan Hizbullah, negara haram itu terpaksa menanggung malu yang besar kerana tewas sehingga terpaksa menerima Resolusi 1701.

Kita percaya resolusi yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) tentunya bertujuan untuk melindungi kepentingan Zionis-Israel dan mengelakkan negara serta tentera haram itu terus menanggung kerugian yang lebih besar.

Mampu balas serangan Zionis Berdasarkan kepada tinjauan mudah terhadap kekuatan kelengkapan tentera yang dimiliki oleh Briged Izzudin Al-Qassam iaitu sayap tentera Hamas, dipercayai mereka mampu memberikan serangan balas yang lebih dahsyat terhadap Zionis-Israel.

Walaupun mungkin boleh ditafsir sebagai propaganda, tetapi menurut laporan dalam laman web Israel Defense Forces (IDF), mereka mendakwa Briged berkenaan sememangnya berkemampuan untuk mengancam majoriti rakyat negara haram itu meliputi kawasan Tel Aviv, Haifa, Jerusalem, Be’er Sheva.

Hal ini kerana, pelancar roket tercanggih yang dimiliki oleh Briged iaitu M-302 mampu menjangkau sehingga 160 km dengan berat kepala peledaknya 144 kg. Dengan kekuatan itu, IDF mengakui bahawa roket ini mampu memusnahkan sebahagian besar kawasan negara haram itu.

Meninjau kepada perkembangan terkini konflik itu, ternyata Hamas sebenarnya tidaklah memerlukan campur tangan pihak luar khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membantu menyelesaikan pergolakan itu kerana gerakan Islam itu sudah cukup berupaya untuk menghadapi kezaliman Zionis-Israel.

Walaupun berada dalam kelompok yang ditindas, tetapi penduduk Gaza jelas berbeza kekuatan mentalnya kerana sanggup berdepan serangan Zionis-Israel berbanding penduduk negara haram itu yang bertempiaran melarikan diri apabila siren amaran dibunyikan oleh pihak berkuasa.

Untuk jangka masa yang panjang, besar kemungkinan penduduk negara haram itu akan berdepan dengan masalah psikologi kerana ketakutan serta kebimbangan yang berterusan ketika berada di sana. Boleh jadi juga, negara haram itu akan musnah dari dalam apabila penduduknya yang tidak tahan berdepan ketakutan setiap hari bertindak mendapatkan kewarganegaraan di negara lain.

Apatah lagi, berdasarkan kepada apa yang berlaku sebelum ini, ternyata juga bahawa kedua-dua pertubuhan sedunia itu memang lemah dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan umat Islam seperti di Myanmar, Selatan Thailand dan seumpamanya.

Lebih memalukan adalah kelemahan OIC untuk bertindak walaupun asas penubuhan pertubuhan itu pada 25 September 1969 adalah sebagai reaksi terhadap kebiadapan puak Zionis yang menyerang Masjid Al-Aqsa.

Namun, segala solidariti yang dilakukan oleh penduduk dunia terhadap perjuangan pembebasan Palestin terletak pada nilai kemanusiaan sematamata apatah lagi Ramadan yang sedang disambut ketika ini wajar dijadikan punca kepada semangat untuk membasmi kezaliman.

Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid supaya umat Islam mengambil ruh perjuangan dan pengorbanan yang ditanam di bulan Ramadan ini dengan tampil menyatakan bantahan keras dan menghulurkan bantuan segera kepada rakyat Gaza.
-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan