Shahbudin Husin
Nampaknya pertukaran jawatan menteri besar Selangor sudah tidak dapat dielakkan lagi. Ia hanya bergantung kepada masa saja.
Mungkin cepat, mungkin juga lambat. Penegasan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenainya amat jelas membawa maksud bahawa Khalid Ibrahim pasti akan ditukarkan.
Dalam reaksi terbarunya mengenai kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim, terutamanya selepas Menteri Besar Selangor itu menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Anwar berkata PR tidak akan tergesa-gesa melakukan pertukaran itu dan sedang berunding untuk mencari penyelesaiannya.
"Perbincangan ini dibuat secara tertutup, lebih baik kita tanganinya dengan tertib dan teratur. Persefahaman sudah ada, tetapi saya tidak fikir kita perlu tergesa-gesa," tegas Anwar lagi.
Dalam masa yang sama, Anwar juga memberitahu bahawa Khalid memaklumkan kepadanya dan juga Dr Wan Azizah selaku Presiden PKR mengenai kehadirannya di majlis berbuka puasa bersama perdana menteri dua hari lalu dan beliau jelas tidak bimbang mengenainya.
Apa yang dapat difahami daripada kenyataan Anwar ini ialah Khalid tetap akan ditukarkan apabila tiba waktun yang sesuai, dan Langkah Kajang yang digerakkan beberapa bulan lalu tetap akan dilaksanakan.
Yang kedua, pertukaran itu tetap akan dilakukan kerana sudah ada persefahaman mengenainya.
Apakah persefahaman itu? Adakah persefahaman itu bermaksud sudah ada persetujuan antara parti dalam PR untuk menukar Khalid dengan calon lain atau ianya bermaksud Khalid juga sudah bersetuju untuk ditukarkan?
Jika parti-parti dalam PR sudah bersetuju untuk menggantikan Khalid, mungkinkah tuan punya tubuh bersetuju dengannya? Dan bagaimana pula jika beliau tidak bersetuju?
Bagaimana pula jika Khalid sudah ada pengakuan bersetuju dengan pertukarannya sebelum ini, tetapi tiba-tiba berubah fikiran pula?
Atau mungkin Khalid hanya bersetuju jika tempatnya digantikan oleh Anwar sahaja sebagaimana yang dihasratkan melalui Langkah Kajang dan bukannya dengan calon lain seperti Dr Wan Azizah ataupun Azmin Ali?
Meskipun dalam kemelut jawatan menteri besar Selangor ini, Khalid seakan bakal dimangsakan, bukan saja melalui jawatannya dalam kerajaan tetapi juga dalam PKR, namun beliau terlihat masih lagi mempunyai rasa hormat terhadap Anwar dan Dr Wan Azizah apabila masih sudi menjelaskan mengenai kehadirannya berbuka puasa bersama Najib yang menimbulkan banyak spekulasi sebelum itu.
Jika Khalid mahu menunjuk degil, beliau boleh saja tidak bercakap apa-apa mengenai kehadirannya bersama Najib itu.
Tetapi Khalid tentulah juga mengenang persahabatannya yang lama dengan Anwar dan kerana Anwarlah, beliau dapat menjadi menteri besar Selangor.
Namun kenyataan terbaru Anwar ini turut juga dilihat sebagai asakan terbaru Anwar dan PR untuk memastikan pertukaran jawatan menteri besar Selangor tetap menjadi kenyataan.
Ia dilihat seolah-olah ada tempoh masa tertentu untuk melakukan pertukaran itu dan Khalid sedang cuba diingatkan mengenainya.
Pertukaran Khalid dilihat penting untuk memastikan kebangkitan dan penolakan rakyat yang lebih berganda kiranya Anwar terpaksa dimasukkan ke penjara sekali lagi memandangkan pengurusan kes rayuannya terhadap hukuman lima tahun penjara atas dakwaan liwatnya di Mahkamah Persekutuan sudah pun ditetapkan pada 8 Ogos depan.
Jika tidak banyak halangan, Mahkamah Persekutuan yang akan menentukan sama ada Anwar akan bebas atau ke penjara sekali lagi, dijangka bakal bersidang sebelum berakhirnya tahun 2014 ini.
Kebarangkalian Anwar akan menghuni penjara sekali lagi adalah amat tinggi berdasarkan perkembangan politik yang berlaku kebelakangan kni.
Di sinilah pentingnya orang yang benar-benar rapat dengan Anwar untuk mengisi kerusi menteri besar Selangor itu bagi menggerakkan kebangkitan rakyat menolak penganiyaan dan kezaliman terhadap ketua pembangkang itu.
Berbanding jika Khalid yang kurang aura politik terus kekal sebagai menteri besar, gerakan politik yang boleh dilakukan ketika Anwar menuju ke penjara tentulah jauh lebih besar kiranya Dr Wan Azizah yang duduk di kerusi itu dan Azmin Ali sebagai Timbalan Menteri Besar atau Exco Kanannya.
Dr Wan Azizah akan berperanan menaikkan simpati, manakala Azmin sebagai penggerak mobilisasi.
Dengan menggerakkan kebangkitan rakyat yang lebih menyeluruh, meskipun Anwar akan di penjara tetapi ia juga akan menjadikan laluan yang sukar untuk Najib dan BN menghadapi PRU 14 nanti.
Oleh itu, meskipun Anwar dilihat boleh bersabar dan tidak mahu tergesa-gesa menukar Khalid tetapi pertukaran itu tidak akan melangkaui tarikh bersidangnya Mahkamah Persekutuan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan