Abdul Rahman Kadir
Semua tahu kisah Hang Tuah. Dia difitnah pembesar istana sehingga menyebabkan Sultan Melaka murka dan menjatuhkan hukuman mati ke atas dirinya.
Yang memfitnah Hang Tuah adalah Patih Kerma Wijaya. Beliau memfitnah Hang Tuah kerana cemburu dan dengki terhadap kemasyhuran dan kedudukan Hang Tuah.
Dan atas kepetahan berhujah, beliau berjaya menyebabkanbaginda marah dan lupa segala jasa Hang Tuah terhadap diri baginda.
Maka Hang Tuah yang tidak bersalah dimurkai Sultan dan dijatuhkan hukuman mati!
Hanya kebijaksanaan Datuk Bendahara menyelamatkan Hang Tuah dan sepertimana kita semua tahu, akhirnya Sultan Melaka sendiri kesal dengan sikap terburu-burunya.
Begitulah juga ceritanya dengan Hang Nadim semasa Singapura dilanggar todak. Kebijaksanaan Hang Nadim yang hanya berumur 7 tahun pada masa itu dicemburui pembesar istana.
Mereka menimbulkan kemarahan Sultan dengan menuduh kononnya Hang Nadim apabila sudah dewasa akan merampas tahta baginda!
Akhirnya Hang Nadim yang sepatutnya diberikan ganjaran dan anugerah atas kebijaksanaannya dalam menangani serangan diperintah dibunuh oleh Sultan! Dia dibawa ke tengah laut dan dibuang ke dalam laut sehingga mati lemas.
Dan banyak juga lagi kisah sedemikian rupa dalam sejarah kesultanan Melayu. Pembesar istana kerap memainkan peranan durjana, memangsakan orang yang tidak disenangi atau yang tidak mengikut kehendak mereka dengan menyebarkan fitnah untuk menimbulkan kemarahan Sultan terhadap orang berkenaan.
Sebagai pembesar Istana yang berdamping dengan Sultan, mereka tahu apa yang dirisaukan dan dibenci Sultan. Kepandaian berhujah serta membodek akhirnya boleh menyebabkan Sultan bertindak sepertimana yang diharapkan.
Dalam semua kisah yang sebegitu rupa, didapati Sultan terlalu percaya kepada pembesar istana dan menjatuhkan hukuman tanpa memberi peluang kepada pihak yang difitnah membela diri. Mendengar sebelah pihak merupakan formula pasti menjamin keputusan tidak adil.
Saya menimbulkan kembali kisah-kisah ini kerana tercetusnya kemurkaan Sultan Selangor terhadap salah seorang Ahli Parlimen Selangor Khalid Samad. Titah Baginda pada 15 Julai di majlis berbuka puasa di sebuah Masjid di Sepang di mana baginda menyatakan kemurkaan terhadap Khalid secara terbuka dan memeranjatkan ramai.
Nama Khalid disebut sebanyak enam kali dalam ucapan baginda dan dituduh dengan tuduhan amat berat. Di antaranya adalah tuduhan menentang kuasa Sultan dan bertindak biadap terhadap Sultan.
Namun, apabila ditanya Khalid mengenai tuduhan berkenaan, beliau menyatakan beliau amat terperanjat dan menafikan berniat sebegitu rupa. Sebaliknya apa yang ingin dilakukan ialah menyelamatkan Sultan daripada cemuhan yang mungkin timbul apabila sesuatu keputusan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Apabila mendengar cadangan Khalid, sepertimana yang dijelaskan, saya tidak nampak adanya mala-fide atau niat jahat terhadap Sultan.
Mungkin ada yang setuju dan ada yang tidak terhadap cadangan itu, semua dengan hujah masing-masing, tetapi cadangan ini tidak menjejas kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri Selangor walaupun sedikit. Yang berbeza hanya dari sudut siapa yang ditugaskan untuk melaksanakan dasar yang diputuskan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Oleh itu, timbullah persoalan sejauh mana pembesar istana, atau dalam konteks ini penasihat Sultan dalam Mais benar-benar berperanan secara profesional dan jujur dalam kes ini?
Adakah mereka jelaskan kepada Sultan niat sebenar Khalid atau menokok-nambah mengikut prejudis mereka? Atau adakah ini dilihat sebagai peluang keemasan untuk memukul Khalid atas sebab beliau selalu mempersoalkan cara bagaimana sesuatu tindakan diambil Jais atas arahan Mais?
Atau peluang keemasan untuk menjatuhkan seorang yang memenangi kerusi Parlimen Shah Alam dua kali berturut-turut dengan majoriti undi melebihi sepuluh ribu?
Sekiranya yang menasihati Sultan mempunyai agenda tersendiri, maka amat malanglah rakyat Selngor kerana sudah jelas apa yang pernah berlaku pada zaman Kesultanan Melayu berulang kembali. Dalam keadaan itu, rakyat Selangor wajar bertanya siapakah yang memainkan watak Patih Kerma Wijaya di Istana Selangor?
Apabila dikaji daripada senarai anggota ahli majlis Mais, sememangnya ada ramai yang merupakan penyokong Umno mungkin berkepentingan dalam soal ini. Oleh itu peranan mereka untuk memfitnah Khalid berhubung niat sebenarnya tidak merupakan sesuatu yang mustahil.
Mungkin Umno tiada cara lain untuk menjatuhkan Khalid di Shah Alam selain memfitnahnya sebagai penentang Sultan sehingga menyebabkan Sultan murka terhadapnya.
Dengan itu diharap rakyat Shah Alam akan menolaknya sebagai Ahli Parlimen mereka. Atau dianggap dengan adanya Khalid maka sokongan bukan Melayu dan bukan Islam akan terus bersama PAS kerana sikapnya yang adil terhadap mereka?
Tanpa adanya Khalid, tindakan Jais untuk menimbulkan ketegangan dengan orang bukan Islam dapat diteruskan dan ditingkatkan lagi sehingga menyebabkan mereka kembali kepada BN. Ini kerana mereka hanya menghadapi masalah selepas Selangor dimenangi PR.
Dalam pada itu adalah dianggap wajar sekiranya Tuanku membenarkan Khalid menjelaskan sendiri apa yang ingin beliau cadangkan dari mendengar hanya sebelah pihak. Lebih-lebih lagi apabila diketahui pihak berkenaan adalah merupakan seteru politik Khalid.
Sultan yang adil semestinya menjatuhkan hukuman atau membuat keputusan selepas mendengar kedua-dua pihak dan orang yang tertuduh wajar diberi peluang pembelaan. Kalau tidak, tragedi kezaliman seperti yang melibatkan Hang Tuah dan Hang Nadim boleh berulang kembali.
Dengan itu akan menjadi jelas kita orang Melayu dan Sultan-Sultan Melayu tidak belajar daripada sejarah.
Malaysia Insider
Adakah mungkin Sultan sudah lupa bahawa depa ni dah berada di abad ke-21?
BalasPadamAdalah tidak adil jika kita menghukum seseorang itu tanpa mendengar penjelasannya atau dengan bukti dan fakta kukuh? Polis nak tangkap penjenayah pun perlu bukti malahan perlu pula diadili di mahkamah.
Kuasa Sultan? Siapa nak cabar kuasa Sultan? Adakah dengan mencabar kuasa Sultan membolehkan seseorang itu berkuasa dalam kerajaan demokrasi? Kita patut bersyukur kerana suatu masa dulu, pemerintahan sultan ni tidak ditamatkan ooleh Che Det. Kalau tidak, Sultan yang dok ada la ni entah apa jadinya.
Sebagai Sultan yang adil, baginda patut mendengar penjelasan dari yang tuduh dan bukan menidakkannya. Tindakan sebegini akan menyebabkan Sultan dipandang hina oleh rakyat kebanyakan. Depa akan kata Sultan ini siok sendiri, tumbuk orang dengan tangan orang itu diikat.
Sayang Sultan ni ada banyak caranya. Menegur juga merupakan langkah sayang. Semua orang dah tahu Sultan ni bukan anak Tuhan, depa pun manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan dan kesalahan. Depa bukan keturunan Nabi dan depa bukan maksum. Perhati saja jalan hidup Sultan-sultan yang ada sekarang dan bakal-bakal Sultan. Mungkinkah rakyat akan bertolak ansur dengan semua ni suatu masa nanti? Entahlah. Bak pepatah Melayu, Sesal Dahulu Berpendapatan dan Raja Adil dijunjung.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Tindakan patik hanya semata-mata untuk menjaga imej Tuanku di kalangan rakyat kebanyakan. Apa yang baik tu datang daripada Allah swt dan yang kurang tu tu datang dari diri patik.