Senjata makan tuan: Penyamun cedera ditetak

MUAR: Seorang lelaki cedera parah akibat dipukul dan ditetak dengan senjatanya sendiri ketika cuba menyamun sebuah rumah di Kampung Tanjung Selabu, Bukit Pasir di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Lau Teng Siew, 43, berkata beliau tiba-tiba ditetak dengan parang oleh suspek sebaik sahaja membuka pintu rumahnya.

"Sebaik membuka pintu kayu itu, kepala saya terasa sakit dan darah mula mengalir di bahagian dahi sehingga penglihatan saya menjadi samar-samar. Tanpa berfikir panjang, saya mencapai kerusi dan memukul lelaki bertopeng itu berulang kali hingga patah.

"Saya nekad merampas parang yang dipegang lelaki itu dan menetaknya," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar petang tadi.

Menurutnya walaupun penglihatannya samar-samar, beliau dapat memukul suspek berusia 58 tahun itu berulang kali sehingga senjatanya terlepas dari pegangannya.

Lau berkata, tindakannya itu telah mengejutkan suspek yang kemudian menjerit memintanya berhenti memukulnya.

Mangsa kemudian dibantu oleh jiran-jirannya yang menghubungi polis bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Suspek yang dirawat di hospital sama dipercayai mengalami patah tulang rusuk kanan, cedera parah di kepala akibat ditetak dengan senjata tajam dan cedera di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, yang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan